Yamaha Xmax 250, Saling Melengkapi
Skuter kini menjadi model yang semakin popular. Bukan apa, ini kerana skuter merupakan kenderaan yang praktikal untuk digunakan di dalam atau di luar bandar. Tidak perlu menukar gear secara manual dan kebiasaannya, skuter direka dengan ruang simpanan yang agak besar dan selamat di bawah tempat duduknya dan bermacam lagi aspek yang boleh diketengahkan mengikut trend semasa.
Kali ini admin diberi peluang untuk menguji skuter dari Yamaha, Xmax. Yamaha Xmax ini adalah antara skuter maxi yang selalu admin jeling-jeling. Rekabentuk dan penampilannya memang membuat admin tergoda. Maka bermulalah episod epilog cinta admin bersama Xmax. (Manalah hendak kuletakkan Nmax ni, pasti dia cemburu.)
Setelah melakukan pemeriksaan ringkas, maka bemulalah perjalanan ujian dengan menuju ke Lembah Beringin menggunakan lebuhraya. Respon dari enjin silinder tunggal 250cc ini dirasakan sesuai dengan saiznya yang besar. Tanpa sedar, tengok-tengok meter kelajuan dah menunjukkan 147km/sejam. Entah macam mana boleh selaju tu pun admin tak tahu. Windshield hadapan yang cukup besar memberikan perlindungan dari rintangan angin hadapan kepada badan penunggang hingga hampir tidak terasa tolakan angin. Bagus rekabentuk aerodinamik Yamaha Xmax ni. Kombinasi sistem suspensi pada Yamaha Xmax ini juga menjadikannya stabil ketika menunggang agak laju. Apa pun, reputasi Xmax ini baik secara keseluruhannya terutama bagi yang berulang alik untuk jarak yang jauh.
Bagi pergerakan di dalam bandar, tiada masalah untuk mengharungi kesesakan lalu lintas. Yamaha Xmax agak stabil ketika bergerak perlahan, sambil menjeling akak dan anak dara melintas di lampu isyarat. Kawalan Yamaha Xmax yang mudah membolehkan admin berasa yakin untuk mencelah antara kenderaan. Apa yang nak dirisaukan lagi? Ia skuter maxi auto dan hanya perlu beri tumpuan pada tunggangan sahaja.
Pada pandangan admin, setelah beberapa hari menguji Yamaha Xmax ini, ia merupakan sebuah skuter maxi yang lengkap dengan ciri-ciri yang perlu untuk penunggang dan pembonceng. Enjin silinder tunggal 4 lejang dengan sejukan cecair, SOHC 4 injap bersesaran 250cc yang berupaya menghasilkan 20.12hp ini memberikan kuasa yang cukup untuk perjalanan jauh. Ia juga mudah untuk mendapatkan kelajuan 130km/sejam dengan konsisten. Tiada masalah.
Ruangan simpanan di bawah tempat duduknya amat luas dan boleh memuatkan 2 unit helmet full face bersaiz XL dan juga kelengkapan lain seperti baju hujan. Kalau ke tempat kerja, tak perlu risau dimana nak letak beg laptop. Terdapat juga 2 ruang penyimpanan yang kecil di bahagaian hadapan beserta sumber elektrik 12V yang membolehkan kita mengecas gajet elektrik berkapasiti rendah seperti telefon bimbit.
Antara teknologi terkini yang tidak terdapat pada skuter yang sama di dalam kelasnya ialah sistem kunci pintarnya (keyless). Memang banyak membantu dan memudahkan
kita untuk menghidupkan enjin, membuka ruangan penyimpanan barang dan juga tempat mengisi minyak. Kita hanya perlu berada rapat dengan Yamaha Xmax ini tanpa mengeluarkan kunci dari dalam poket. Sangat memudahkan. Yamaha Xmax dilengkapi dengan “Traction Control” dan brek ABS bagi memastikan tunggangan yang selamat lebih-lebih lagi ketika menunggang dipermukaan yang licin.
Rekabentuk Yamaha Xmax ini diserlahkan lagi dengan lampu LED di bahagian hadapan dan belakang dan juga windshield boleh laras mengikut kesesuaian penunggang. Tidak lupa juga panel meter LCD Yamaha Xmax memudahkan penunggang untuk melihat segala maklumat dengan terang dan jelas.
Yamaha Xmax ini didatangkan dengan 2 warna pilihan, Rusty Bronze dan Pearl White. Harga ketika ini tanpa GST adalah dari RM 21,225.00.
Yamaha Xmax ini bagi admin, adalah pelengkap urusan kita seharian. Kena mula menabung ni…
#hongleongyamaha #yamahaxmax #yamaha #xmax #maxiscooter #enjindotcom #revsyourheart