BMW Malaysia hari ini telah memperkenalkan BMW X3 dalam tiga varian baharu, bersama dengan variant terbaharu BMW X4 di dalam negara.
BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport bersama BMW X4 xDrive30i M Sport buat julung kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, sekali gus memaksimumkan kemampuan kuasa dan elektrifikasi jentera Sports Activity Vehicle bersaiz sederhana dari famili BMW X.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Portfolio BMW X telah membina reputasinya di seluruh dunia buat sekian lama, dan khususnya di Malaysia dalam pengeluaran jentera Sports Activity Vehicles (SAV) idaman ramai. Tahun lalu, portfolio BMW X telah merekodkan lebih 3,200 penyerahan di Malaysia – menyumbang kepada lebih 38% daripada bilangan penyerahan yang dibuat oleh jenama BMW. Kejayaan portfolio BMW X ini membayangkan kekukuhan pasaran Malaysia, lantas membuktikan keyakinan kami untuk terus membangunkan serta merevolusi industri automotif di sini menerusi penubuhan lebih banyak fasiliti dan infrastruktur pemasangan tempatan.”
Tambah de Visser, “Sementara kita melangkah ke tahun 2022 yang bakal diwarnai dengan pelbagai kemungkinan elektrifikasi, BMW Group Malaysia juga teruja untuk memperkenalkan jentera BMW X3 berelektrik kami yang dipasang di dalam negara buat kali pertamanya, di samping menyediakan pelbagai opsyen rangkaian kuasa bagi mereka yang ingin merasai pengalaman pemanduan yang berbeza. Ia mencerminkan janji kami untuk meletakkan Kuasa Pilihan di tangan para pelanggan menerusi aneka jentera petrol, hibrid ‘plug-in’ (PHEV) dan elektrik tulen di Malaysia.”
Dinamakan sebagai dua model yang paling popular di dunia, varian-varian baharu BMW X3 dan BMW X4 bakal menaikkan tanda aras dalam segmen SAV premium dengan reka bentuk sporty miliknya yang penuh sofistikasi, banyak ciri-ciri dan perwatakan pemanduan yang terkini, serta rangkaian kuasa tambahan untuk menterjemahkan Kenikmatan Pemanduan Sempurna yang dijanjikan oleh BMW dalam pelbagai bentuk.
Menawan, sporty, penuh sofistikasi.
Setelah melalui beberapa iterasi dari segi visual, BMW X3 dan BMW X4 hadir dengan iras sporty yang menampilkan gril ‘kidney’ lebih besar dengan sambungan perangkai di tengah, rekaan apron hadapan baharu dengan salur masuk udara vertikal, bampar baharu, lampu hadapan yang dilangsingkan sebanyak 10 mm, didatangkan dengan teknologi LED penuh sebagai standard. Bonet yang sedikit menaik, rungkup hadapan yang singkat serta siluet jentera ini yang berbentuk tirus menyerlahkan dinamik pemanduannya yang luar biasa. Versi hibrid plug-in jentera BMW X3 mudah dicam dengan port pengecasan yang terletak di belakang roda kiri hadapan.
Meskipun dimensi varian-varian baharu yang dipasang di Malaysia ini masih sama, BMW X3 baharu kini akan menampilkan roda aloi yang diubah suai dengan saiz sehingga 20 inci, termasuk lampu belakang LED penuh dengan kontur tiga dimensi di sekelilingnya, di samping paip ekzos yang lebih besar. BMW X4 baharu pula mengekalkan garis bumbung persis coupe dan akan dilengkapi dengan komponen pemantul berkedudukan vertikal serta bampar belakang dengan sisipan baharu. BMW X3 dan BMW X4 akan didatangkan dengan bibir ekzos berbentuk bebas.
Pakej M Sport, yang disediakan sebagai standard dalam varian-varian BMW X3 dan BMW X4 baharu menaik taraf kelengkapannya, turut hadir dengan pelbagai konfigurasi kenderaan yang diperhalusi. Ia dapat dilihat pada komponen salur masuk udara dan apron hadapan pada kedua-dua model, berserta dengan tawaran warna, rim dan kemasan trim interior yang baharu.
Aneka rangkaian kuasa yang serba komprehensif.
BMW X3 baharu akan hadir dalam dua varian petrol – sDrive20i dan xDrive30i, di samping varian berelektrik, xDrive30e. Masih menguasakan BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i baharu ialah enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kk dan puncak tork bernilai 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 kk dengan puncak tork bernilai 350 Nm bagi xDrive30i. BMW X3 sDrive20i berupaya untuk membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j, manakala BMW X3 xDrive30i mampu memecut dari 0-100 km dalam masa 6.3 saat pada kelajuan tertinggi mencecah 240 km/j. Transmisi dibekalkan kepada BMW X3 sDrive20i dalam bentuk Automatic Steptronic 8 kelajuan dengan Fungsi Pengekalan Automatik, manakala BMW X3 xDrive30i dilengkapi dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan.
Sebagai alternatif, BMW X3 xDrive30i baharu menggandingkan jarak operasi enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan motor elektrik berkuasa tinggi dan bateri yang mempunyai kapasiti kasar berjumlah 12 kWj untuk membekalkan jarak operasi sejauh 50 kilometer (WLTP) dalam mod elektrik sahaja – menjanjikan pengalaman pemanduan sporty yang tiada bandingannya dengan output emisi yang lebih rendah.
Pusat graviti yang rendah, distribusi gandar 50/50, casis lebih canggih dan sistem pacuan semua roda xDrive yang pintar menjamin varian-varian BMW X3 dan BMW X4 sebagai salah sebuah kenderaan yang paling dinamik dalam segmennya, sementara masih menawarkan keupayaan pemanduan yang benar-benar menyelesakan. Para pemilik BMW X3 baharu juga dapat memilih antara versi pacuan semua roda seperti yang ditawarkan menerusi BMW X3 xDrive30i dan BMW X3 xDrive30e, atau pacuan roda belakang seperti yang ditawarkan melalui BMW X3 sDrive20i – kedua-duanya menampilkan suspensi M Sport dengan penalaan pecutan dan redaman khas untuk menaik taraf lagi aspek pengendalian. Manakala BMW X4 xDrive30i pula membawakan suspensi adaptif.
Keupayaan keterhubungan dan digitalisasi yang lebih mengagumkan.
Ruang interior BMW X3 dan BMW X4 telah dioptimumkan untuk memuatkan Paparan Kawalan 10.25 inci dengan fungsi sentuh, elemen bersadur zink dalam lohong udaranya, serta elemen kawalan baharu di bawah skrin paparan yang terletak di konsol sentral. Model-model baharu ini juga menampilkan kerusi sport dengan penyokong sisi yang lebih menyerlah, berserta upholsteri kulit untuk sentuhan premium. BMW X3 xDrive30e akan didatangkan dengan perincian dalam BMW i Blue, misalnya gelung yang melingkari logo BMW – mempamerkan keupayaan pacuan hibrid plug-in model ini.
BMW Live Cockpit Plus dengan teknologi panel hitam, dail bulat analog dan paparan 5.1 inci di kluster instrumen menyempurnakan ruang kabin BMW X3 sDrive20i, manakala varian-varian yang lain dipadankan dengan BMW Live Cockpit Professional sebagai standard. Kesemua varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu diperkasakan oleh Sistem Operasi BMW 7, Pembantu Peribadi Pintar BMW dan pelbagai pakej BMW Connected sebagai opsyen tambahan. Pengemaskinian Perisian Berjarak Jauh memastikan kenderaan ini memuatkan perisian yang paling terkini.
Ciri kefungsian BMW Intelligent Personal Assistant juga telah diperluaskan lagi, kini membolehkan pengguna membuka tingkap dan menyesuaikan sistem penyaman udara menggunakan arahan suara. Peta BMW, iaitu sebuah sistem navigasi berasaskan awan yang juga baharu menggandingkan tahap kejituan yang lebih tinggi dengan titik masuk destinasi serba ringkas dan perkembangan trafik yang lebih komprehensif.
Berlapang dada ketika memandu.
Sistem bantuan memandu dalam BMW X3 dan BMW X4 baharu meliputi Pembantu Pemandu yang menyediakan fungsi Amaran Penukaran Laluan, Amaran Pengeluaran Laluan, dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek sebagai standard. Varian-varian baharu ini juga dilengkapi dengan Bantuan Parkir, termasuk Bantuan Mengundur. Eksklusif bagi BMW X3 xDrive30e ialah Parking Assistant Plus dengan Bantuan Parkir dirumus untuk ruang parkir selari dan menegak, termasuk fungsi pengeluaran parkir automatik. Kawalan Jarak Parkir Aktif juga disediakan untuk jentera PHEV ini, berserta dengan bantuan parkir lateral. Pemandu dapat melihat sistem bantuan pemandu yang diaktifkan dengan mudah melalui kluster instrumen.
Kesemua varian BMW X3 akan didatangkan dalam aneka kombinasi warna interior dan eksterior, ia meliputi tawaran eksterior Alpine White, Brooklyn Grey, Phytonic Blue atau Carbon Black – yang kesemuanya dipadankan dengan Leather Vernasca Black dengan sulaman biru di dalam. Para pemilik juga boleh memilih interior Leather Vernasca Mokka dengan tawaran eksterior Alpine White dan Carbon Black.
BMW X4 pula akan disediakan dalam Alpine White, Piemont Red, Phytonic Blue dan Carbon Black – kesemuanya juga disinambungkan dengan Leather Vernasca Black dengan sulaman berkontras. Sebagai alternatif, pemilik juga boleh memilih Leather Vernasca Tacora Red dengan tawaran eksterior Alpine White dan Carbon Black.
Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Pemilik varian-varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu juga dapat merasai Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:
• Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
• Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
• Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’- BMW Privileges Card
• Servis Dalam Talian BMW
Harga jualan bagi varian-varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu dengan BMW Service and Repair Inclusive, dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
BMW X3 sDrive20i M Sport Baharu RM 315,800.00
BMW X3 xDrive30i M Sport Baharu RM 358,800.00
BMW X3 xDrive30e M Sport Baharu RM 356,800.00
BMW X4 xDrive30i M Sport Baharu RM 398,800.00