XC60, Lebih Pintar Ke Hadapan

Volvo Car Malaysia mengorak langkah ke arah, elektrifikasi dengan menambah lebih banyak lagi teknologi dan inovasi pada model terbaharunya – Volvo XC60. Digelar “Smarter XC60″, model baharu ini muncul dengan ciri-ciri keselamatan tambahan, rupa luaran yang segar dan integrasi teknologi terkini dengan Perkhidmatan Google.

Volvo XC60 baharu adalah kemuncak perkongsian antara Volvo Cars dan Google untuk menyediakan sistem infotainment yang pertama seumpamanya, lengkap dengan pelbagai Perkhidmatan Google. Model yang dipertingkatkan ini akan menampilkan Pakej Perkhidmatan Digital baharu yang terdiri daripada Google Assistant dikawal suara bersepadu yang membolehkan kawalan ke atas banyak aplikasi dalam kereta termasuk Google Maps, membolehkan lebih banyak perkara dapat dilaksanakan tanpa gangguan pemanduan, sekaligus menghindari keperluan untuk melepaskan tangan dari stereng.

“Smarter XC60 dengan Perkhidmatan Google menawarkan pengalaman infotainment paling intuitif dalam industri automotif. Ia menepati sepenuhnya janji jenama kami untuk memberikan kebebasan untuk bergerak secara peribadi, mampan dan selamat,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

Volvo XC60 baharu menampilkan reka bentuk Scandinavia yang kaya dengan penambahan halus pada bahagian luar. Perubahan itu termasuk gril, bampar hadapan dan warna luaran yang baharu. Untuk Recharge T8, Volvo XC60 baharu bakal muncul dengan reka bentuk roda aloi potongan berlian hitam 19” 6-multispoke hitam dan sistem bunyi Bowers dan Wilkins untuk bahagian dalam.

Smarter Volvo XC60 juga mempersembahkan pelbagai rangkaian mod pemanduan, disesuaikan dengan pilihan pemandu, daripada mod Elektrik Tulen dengan pelepasan paip ekor sifar untuk kesedaran alam sekitar kepada mod Kuasa untuk mereka yang suka memandu.

Volvo XC60 dilengkapkan enjin berkembar 4 silinder 2.0L dengan transmisi automatik 8-kelajuan dengan Geartronic. Enjin dibantu oleh pengecas super serta pengecas turbo, menghasilkan 407hp dengan tork 640Nm, dengan 87hp dan 240Nm daripada bateri. Volvo XC60 baharu telah menjalani century sprint (0-100) dalam 5.3 saat, serta memiliki kecekapan bahan api 2.2 liter setiap 100km.

Keselamatan dan Perlindungan Selaras dengan keutamaan kepada keselamatannya, Volvo XC60 baharu dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif Volvo yang terkini dan cemerlang, Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), dengan pengelakan perlanggaran, bantuan menjaga lorong, mitigasi laluan, lintasan -amaran lalu lintas dengan brek automatik, Sistem Maklumat Titik Buta dan kamera pandangan keliling.

GALERI