HABIB, MEKANIK TUNGGAL MALAYSIA DI MOTOGP MEMBANGKIT SEMANGAT LEBIH 250 ORANG PELAJAR DENGAN GAMBARAN SEBENAR INDUSTRI.

Kuala Lumpur, Malaysia, 13 Julai 2021 – Sebagai satu-satunya mekanik Malaysia dalam kejohanan MotoGP, Habib telah berjaya membangkitkan semangat lebih 250 orang pelajar bidang automotif dari Kolej Despark menerusi gambaran sebenar industri yang disampaikan oleh beliau bagi memperkasakan generasi baru para profesional dalam industri sukan pemotoran.

Sejak timbulnya krisis kesihatan global, para pelajar kolej dan universiti di Malaysia terpaksa melalui pembelajaran secara maya selama lebih setahun dan ini membawa pelbagai cabaran kepada mereka. Bagi para pelajar di sekolah-sekolah vokasional yang melibatkan latihan kemahiran secara amali, cabaran ini menjadi bertambah berat.

Sesi ceramah maya ini dianjurkan oleh PETRONAS Lubricants International, anak syarikat PETRONAS yang merupakan pengeluar dan pemasaran pelincir global, dengan kerjasama Kolej Despark, sebuah kolej automotif dan penyelenggaraan pesawat yang terkemuka di Malaysia, sebagai acara kedua dalam siri ‘Menyediakan Graduan untuk Industri’. Para pelajar Kolej Despark sungguh teruja mendengar kisah perjalanan profesional Hibbatuulah Bin Mohamad Fuad, ataupun Habib yang bermula daripada seorang mekanik muda dan kini menjadi mekanik profesional untuk PETRONAS Sprinta Racing, sebuah pasukan Moto2 dalam Kejohanan MotoGP Dunia.

“Kami di PETRONAS Lubricants percaya bahawa para peneraju industri dari kalangan warga Malaysia berpeluang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka yang luas untuk menyuntik semangat kepada generasi baharu dalam industri automatif. Kerjasama dengan Kolej Despark ini bertujuan merebut peluang yang sama – menambah pengalaman pembelajaran para pelajar dengan gambaran keseluruhan dan pengalaman industri yang eksklusif dan yang paling penting iaitu merapatkan jurang antara teori dan pengetahuan praktikal,” jelas Giuseppe Pedretti, Pengarah Urusan Rantau Asia, PETRONAS Lubricants International.

Para pelajar Kolej Despark berpeluang memperoleh gambaran yang menyeluruh tentang industri automatif selain mendengar sendiri kisah pengalaman Habib sebagai salah seorang mekanik PETRONAS Sprinta Racing yang bekerja sebaris dengan jurutera dan ahli sains antara yang terbaik dalam bidang ini. Antara peranan Habib sebagai mekanik pasukan Moto2 adalah bekerja dengan cecair dan pelincir yang dibangunkan oleh Fluid Technology Solutions™ PETRONAS. Jenama ini telah memberi sumbangan yang besar kepada prestasi pasukan dan memberikan kelebihan daya saing untuk pasukan ini.  

Mengulas lebih lanjut tentang kerjasama ini, Ahmad Firdaus Mansor, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kolej Despark berkata, “Kami di Despark College sangat prihatin dengan kualiti pendidikan dan pengalaman pembelajaran para pelajar kami, terutamanya dalam keadaan semasa yang mencabar. Kerjasama dengan PETRONAS Lubricants telah membuka peluang yang luas kepada para pelajar untuk menimba pengetahuan bagi menyediakan mereka untuk menyertai industri pada masa akan datang.”

Selain menerangkan tentang ciri teknikal sebagai seorang mekanik pasukan, Habib turut berkongsi cerita tentang cabaran dan keseronokan dalam membantu PETRONAS Sprinta Racing Team selain memberi nasihat tentang kerjaya kepada para pelajar.

Acara ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada Siri ‘Menyediakan Graduan untuk Industri’ oleh PETRONAS Lubricant International dengan objektif untuk merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan praktikal dalam industri sukan pemotoran. Siri pertama yang telah diadakan pada bulan April 2021, menampilkan En De Liow,  Jurutera Bendalir Litar Lumba PETRONAS yang bekerja rapat dengan pasukan lumba Mercedes-AMG PETRONAS F1. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *