Program Toyota Eco Youth 2020/2021″Lima pasukan teratas diumum melalui acara dalam talian”

Edisi ke-20 program Toyota Eco Youth (TEY) sekali lagi tiba ke tahap membanggakan dengan
pengumuman lima pasukan teratas dari sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia.
Keseluruhannya terdapat 16 pasukan terlibat dalam program yang telah dikemaskini format
penganjuran serta pembentangannya akibat penularan wabak Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
Susulan fasa akhir penilaian selepas setiap daripada 10 peserta akhir melakukan saran idea
masing-masing melalui pembentangan secara langsung pada 29 Mei 2021, pasukan yang menang
pun dipilih. Mereka adalah, di tempat pertama, Maktab Tentera Diraja, Kuala Lumpur (We-Sea-It
Smart Tool); tempat kedua, SMAP Labu, Negeri Sembilan (UCOnverter Smart Tool); tempat ketiga,
SMK Kubang Kerian, Kelantan (Recybin App); tempat keempat, SMK Chung Hua, Sarawak (Recyclo
Smart Tools), dan tempat kelima, SMJK Katholik, Selangor (MOSS AFV Smart Tools).
SMK Saujana Utama, Selangor pula memenangi Penglibatan Komuniti Terbaik dan seorang guru,
Cik Noor Liyana Shamsudin dari Maktab Tentera Diraja telah dianugerahkan sebagai Guru
Sokongan Terbaik. Tiga pelajar juga dipilih sebagai Agen M Terbaik. Mereka ialah Hani Nabila dari
SMAP Labu, Negeri Sembilan; Lim Bo Jing dari SMJK Katholik, Selangor dan Muhammad Uwais
Darwis dari SMK Majakir, Sabah.
Untuk tahun 2021, jumlah hadiah wang tunai telah digandakan menjadi RM64,000 untuk lebih
menghargai kepintaran dalam kalangan belia. Tahun ini, pasukan yang menang akan menerima
RM20,000 tunai, diikuti dengan RM15,000 bagi tempat kedua; RM10,000 bagi tempat ketiga;
RM7,000 bagi tempat keempat dan RM5,000 bagi tempat kelima. Bagi hadiah Guru Sokongan
Terbaik pula berupa RM3,000 manakala RM1,000 diberikan masing-masing bagi Penglibatan
Komuniti Terbaik serta Agen M Terbaik.
Penularan wabak Covid-19 dan keterhadan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) telah
membawa bersama cabaran baru kepada penganjur. Sejak mula, aktiviti yang ada melibatkan
interaksi secara berdepan, namun keperluan untuk memastikan jarak sosial dan melindungi
sesama sendiri bermaksud pendekatan ini tidak boleh lagi digunakan.
Untuk itu, semua aktiviti dipindahkan ke dalam talian melalui sesi pembelajaran elektronik dan
bengkel. Di dalam semua sesi tersebut, peserta dilatih dengan kemahiran pengurusan projek yang
memanfaatkan Kaedah Penyelesaian Masalah cara Toyota. Pendekatan baru pembelajaran
elektronik ini, yang dijalankan selama beberapa bulan, terbukti berjaya dan akan diterapkan ke
dalam program-program akan datang.
Program tahun ini mengenakan tema “Reimagining Mobility”, dengan semangat inklusif dan
kebebasan idea sebagai asasnya, sekaligus mencadangkan penghasilan mobiliti yang selamat dan
mesra alam.
Majlis penutupnya diadakan secara langsung melalui platform maya dengan Penolong Pengarah
Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan, Dato’ Haji Adzman Bin
Talib sebagai tetamu kehormat. Turut hadir ialah Pengarah Pemasaran, UMW Toyota Motor,
Mohd Shamsor Mohd Zain serta wakil-wakil lain dari Kementerian Pendidikan serta UMW Toyota
Motor.
Dalam ucapannya, Dato’ Haji Adzman memuji usaha UMW Toyota kerana telah berjaya
menganjurkan TEY secara berterusan sejak tahun 2001. “Saya ingin meluahkan penghargaan tidak
terhingga kepada UMW Toyota Motor di atas usaha mereka untuk menganjurkan program yang
penuh makna ini, dalam mendidik belia setiap tahun serta usaha yang tidak kenal penat lelah
untuk membangkitkan kesedaran terhadap pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan habitat
kita,” ujarnya.
“Program TEY tahun ini mencerminkan kemampuan generasi baru untuk beradaptasi dengan
kemajuan teknologi dan mengambil pendekatan inovatif dalam menyelesaikan masalah alam
sekitar. Latihan asas iaitu kaedah Penyelesaian Masalah Toyota dijalankan secara maya dan saya
bangga untuk menyatakan bahawa semua pelajar sangat terbuka dengan peralihan itu,” jelas
Mohd Shamsor.
“Sepanjang program, dengan panduan daripada guru dan mentor, para peserta sempat
mempelajari tentang semangat berpasukan, keyakinan, komunikasi, kemahiran pembentangan,
dengan kesemuanya menjurus kepada pengalaman pembelajaran yang lebih holistik,” tambah
beliau.
Proposal menyeluruh daripada 16 pasukan terlibat dinaikkan ke saluran media sosial untuk
capaian umum. Sebagai tambahan, setiap pasukan juga mempunyai episod podcast yang
dimuatkan dalam saluran khas di dua platform — Agency di Leaderonomics FM dan di TEY
Channel.
Bagi semua pemenang, program berkenaan masih belum selesai, sama seperti tahun-tahun
sebelumnya. Jangka masa program kini menjadi tiga tahun dan pemenang bagi edisi 2020/2021
akan terus bertindak selaku pemudahcara bagi kumpulan peserta tahun berikutnya. Mereka akan
menyumbang pengalaman terhadap peserta seterusnya. Dalam masa sama, pendigitalan TEY kini
melangkah setakuk lagi ke hadapan dengan adanya kelab dalam talian TEY Apprentice.

Tentang program Toyota Eco Youth
Program Toyota Eco Youth (TEY) bermula sejak 20 tahun lalu dengan kerjasama Kementerian
Pendidikan Malaysia. Dalam tempoh dua dekad, pesertanya telah melibatkan 258 sekolah, 1,910
sekolah menengah dan 762 guru.
Setiap tahun, tema-tema menarik dan mencabar diberikan, dan peserta perlu hadir dengan
penyelesaian inovasi menarik dengan cadangan yang boleh diaplikasikan di dalam lingkungan
sekolah atau komuniti mereka. Lebih RM7 juta telah dibelanjakan oleh UMWT untuk menjayakan
projek tahunan ini.
“Toyota Eco Youth merupakan acara unik bagi Toyota, kerana ia hanya dianjurkan di Malaysia.
Toyota Motor Corporation dan UMW Toyota Motor sangat berbangga untuk memainkan peranan
dalam memupuk kesedaran alam sekitar serta pemikiran inovatif generasi muda. Melegakan
untuk tahu bahawa generasi mendatang akan bersedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran
baru yang akan muncul nanti, dalam usaha kita untuk menjadikan bumi ini tempat yang lebih baik
untuk semua,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *