Yamaha MT-09 2018

Pengembaraan yang “garang”.

Dikalangan peminat motosikal di Malaysia hari ini, Yamaha MT-09 adalah tidak asing lagi sejak kemunculan model pertamanya dahulu. Dari mula diperkenalkan sehingga kini, ia berjaya menarik perhatian peminat dua roda lebih-lebih lagi dengan enjin 3 silindernya yang terkenal dengan bunyi yang unik, apatah lagi jika sistem ekzosnya ditukar. Hingga kini, sudah hampir 4 tahun jentera ini berada di atas jalan raya Malaysia dan merancakkan lagi industri permotoran dengan gaya ala “Supermotard” yang bertenaga. Jika kita seorang yang berkemahiran dan suka dengan tunggangan yang agresif, Yamaha MT-09 adalah mesin yang sesuai bagi tujuan ini.

MT adalah singkatan bagi “Master of Torque” dan sudah tentu ia mempunyai sebab. Bermula dari model pertama semasa Admin mula-mula mencubanya, kuasa yang terhasil dari jentera ini benar-benar mengujakan. Gaya tunggangan yang tidak terlalu menunduk menyumbang kepada kesediaan dan fokus penunggang pada jentera dan jalan raya. Ia amat selesa dan tepat, seolah-olah kita menunggang sebuah jentera supermotard yang sasa dan bertenaga. Jika kebanyakan model supermotard agak ringkas dan tidak besar saiznya, MT-09 berbeza walaupun gayanya hampir sama. Yang pasti, ia sebuah jentera yang boleh menjadi agak liar dan bukan untuk penunggang yang gaya tunggangan tenang-tenang sahaja kerana kelincahannya.

Pada tahun 2018 ini, Yamaha telah melancarkan model MT-09 yang telah dikemaskini dari model terdahulu. Rekabentuk asas ia hampir sama dengan model sebelumnya tetapi Yamaha telah membuat beberapa penambahan kosmetik seperti rekaan lampu hadapan yang lebih agresif, seolah-olah seperti seekor harimau kumbang, sama seperti saudaranya yang lebih besar, MT-10. Lampu belakang telah direka dengan lebih kemas daripada model terdahulu yang kelihatan tergantung. Ia juga telah ditambah dengan penghadang lumpur dan tempat nombor plat di bahagian tayar belakang yang efektif terutama semasa hujan. Satu lagi ciri menarik pada Yamaha MT-09 2018 ini ialah sistem quickshifter standard yang berfungsi lancar pada model ini. Sistem quickshifter membenarkan penunggang menukar gear dengan lebih cekap dalam kelajuan tinggi dan sistem ini bertindak cepat seperti yang terdapat pada Yamaha MT-09 ini. Penukaran ke gear lebih tinggi dapat dilakukan dengan lancar dan pantas tanpa penunggang perlu menarik klac dan melepaskan pendikit.

Yamaha MT-09 ini juga dilengkapi dengan sistem ABS dan sistem kawalan cengkaman. Sistem kawalan cengkamannya terdapat dalam dua mod dengan tindak balas yang berbeza, dan ia boleh dinyah aktif sepenuhnya bagi penunggang yang lebih agresif. Mod A adalah yang paling agresif, Mod Standard sesuai untuk kegunaan harian bagi Admin dan Mod B adalah yang paling jinak. Semasa diuji, Admin merasakan mod B adalah mod yang paling selesa dan sesuai untuk kegunaan harian. Walau apa pun, Yamaha MT-09 ini bukan sebuah motosikal yang jinak jika anda menginginkan tunggangan yang terlalu santai. Gaya dan kuasa enjinnya yang agresif kurang sesuai bagi tujuan itu.

MT-09 dikuasai oleh enjin CP3 Yamaha. Enjin tiga silinder 847 cc DOHC ini bertepatan dengan akronim MT iaitu “Master of Torque“. Yamaha menyediakan tiga mod bagi pemilik MT-09 2018 menikmati kuasa maksimumnya sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Tayar hadapannya berukuran 120/70ZR17M/C (58W) (Tubeless) dan belakang berukuran  180/55ZR17M/C (73W) (Tubeless).