5 DESTINASI PERCUTIAN BERKONSEPKAN ALAM SEMULA JADI DI NEGERI SELANGOR

Percutian berkonsepkan alam semula jadi dan “glamping” merupakan konsep percutian yang menarik selain daripada penginapan di hotel. Sememangnya keunikan alam semula jadi mempunyai pesona tersendiri terutamanya kepada pencinta alam sekitar. Sudah tentu ramai yang merindui keindahan flora dan fauna, ketenangan alam atau menikmati suasana hijau itu sendiri. Percutian alam semula jadi di Negeri Selangor pastinya menjadi pilihan terbaik selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak. Di sini, pihak Tourism Selangor menyenaraikan 5 tempat percutian yang berkonsepkan alam semula jadi yang mungkin menjadi pilihan anda:

  1. Resort Taman Eko Rimba Komanwel

Tempat penginapan yang unik dengan dikelilingi oleh tumbuhan malar hijau tentunya memberikan pengalaman istimewa. Resort Taman Eko Rimba Komanwel terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong, Rawang merupakan pilihan yang tepat buat orang ramai untuk dijadikan sebagai destinasi percutian ideal. Anda boleh memilih untuk menginap di bilik biasa atau khemah. Walaupun terletak di kawasan hutan tetapi ianya masih menawarkan keselesaan. Para tetamu dapat menghayati pengalaman berehat di dalam hutan yang jauh dari hiruk-pikuk kota.

  • The Nahara Kalumpang

Jika anda inginkan percutian tenang dan santai di tepian sungai, antara lokasi percutian yang sangat cantik dan dikelilingi dengan alam semula jadi ialah di The Nahara Kalumpang. Terdapat beberapa unit chalet dan villa yang ditawarkan kepada para pengunjung. Bukan itu sahaja, aktiviti berkelah juga boleh dilakukan di sini, menjadikan The Nahara Kalumpang antara pilihan menarik di Negeri Selangor bagi percutian seisi keluarga.

  1. Nur Laman Bestari Eco Resort

Nur Laman Bestari Eco Resort terletak berdekatan dengan Ulu Yam dan hanya mengambil lebih kurang 15 minit perjalanan dari Batu Caves. Ianya lokasi yang sangat sesuai untuk kembali bercuti apabila keadaan pandemik Covid-19 Negara sudah semakin pulih. Ianya terletak bersebelahan dengan Sungai Tua Recreational Forest dan menawarkan beberapa jenis penginapan yang boleh dipilih oleh para pengunjung seperti chalet dan khemah. Terdapat pelbagai aktiviti ditawarkan di sini seperti berkayak, menyelusuri hutan dengan menggunakan kenderaan ATV dan banyak lagi!

  • Dusun Bonda

Dusun Bonda merupakan lokasi percutian yang terletak di Ulu Tamu, Batang Kali. Destinasi ini menawarkan penginapan berlandskapkan tropika yang ditumbuhi pokok-pokok yang mekar. Selain itu, Dusun Bonda juga menawarkan penginapan yang harmoni dengan suasana persekitaran yang menarik. Pemandangan indah di tepian sungai dan air terjun buatan juga menjadi tarikan utama kepada orang ramai untuk menghabiskan masa terluang di sini selepas tamat tempoh PKP nanti.

  • Taman Eko Rimba Sungai Tua 

Taman Eko Rimba Sungai Tua merupakan kawasan rekreasi hutan yang popular di Negeri Selangor. Ianya terletak kira-kira 10km dari Bandar Baru Selayang dan berada dalam kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak. Terdapat pelbagai aktiviti dan kemudahan di Taman Eko Rimba Sungai Tua termasuklah aktiviti berkhemah, berkelah, joging dan banyak lagi! Anda boleh bersiar-siar sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta flora dan fauna di sekitar kawasan ini. Sememangnya Taman Eko Rimba Sungai Tua  merupakan pilihan yang sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga atau sahabat handai kelak.

Percutian yang berkonsepkan alam semula jadi tentunya menyeronokkan, apatah lagi disertai bersama keluarga atau rakan-rakan. #DreamNowTravelLater – jadikan destinasi yang tersenarai di atas sebagai pilihan percutian anda hanya setelah tamat tempoh PKP. Di samping itu, adalah diingatkan kepada setiap pengunjung untuk sentiasa mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi kesejahteraan bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *