TRIUMPH “TIGER RALLY PRO”

Jika dahulu kami telah berpeluang menguji sebuah keluarga Triumph Tiger iaitu Tiger GT Pro yang berjaya membuatkan admin teruja dengan kemampuan dan penampilannya di jalan raya serta di kawasan pedalaman kampung ketika mengujinya di Gopeng, Perak tempoh hari, kali ini kita cuba pula sebuah lagi model flagship Triumph iaitu Tiger Rally Pro, antara salah satu model Tiger yang dihasilkan. Sebuah model off road yang dinanti-nantikan oleh peminat motosikal pengembaraan lasak. Rekaannya menarik dan kelihatan lasak mampu menjadikannya idaman kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan adventure bike seperti ini. Ia cukup berkuasa dan ringan untuk sesiapa sahaja mengendalikannya di atas sebarang permukaan jalan dan tidak merasa terlalu berat dengan beban serta saiz jentera ini, anda pasti akan bertambah yakin pada setiap ketika mengendalikan Tiger ini.

Melihat sahaja reka bentuk dan susuk badan motosikal ini pun kita sudah jangka tujuan khusus rekaannya. Bagi penggemar aktiviti pengembaraan lasak, ia cukup memenuhi keperluan itu dengan reka bentuknya yang ramping dan lebih ringan dari model terdahulu. Triumph Tiger Rally Pro ini sarat dengan gajet yang tidak terdapat pada saingannya. Walaupun tempat duduknya tampak tinggi, ia masih boleh dilaras untuk diturunkan sedikit bagi mereka yang memerlukan jangkauan kaki lebih baik. Sebenarnya motosikal ini direka untuk lebih seronok ditunggang di kawasan jalan yang lasak bagi menguji keupayaannya yang sebenar. Bukannya ia tidak bagus di jalan raya tar, cuma karakternya lebih untuk melayan persekitaran lasak di kawasan yang penuh dengan debu dan lumpur. Admin sempat juga mencuba kelasakannya tetapi tidaklah serius kerana kuasa yang dihasilkannya bukan mudah untuk dikawal jika leka, perlu betul-betul mahir untuk menunggang secara lasak. Bagi model GT Pro sebelum ini, admin pernah melalui detik-detik cemas di jalan berlumpur tetapi dengan cemerlang dapat mengawalnya tanpa masalah. Jika dengan model Rally Pro ini, pastinya lebih padu!!!

Triumph Tiger terbaharu ini menggunakan brek dengan kaliper empat piston Brembo Stylema, model Brembo yang biasa digunakan pada jentera superbike. Ia menggantikan kaliper Nissin pada model terdahulu. Saiz rotor brek hadapan telah ditingkatkan daripada 305mm kepada 320mm dengan silinder induk radial sementara brek belakang adalah jenis Brembo piston tunggal dengan cakera 255mm. Tiger 900 Rally dan Rally Pro baharu ini menggunakan sepasang rim dan tayar tubeless, ciri yang tidak terdapat pada model Tiger 800 XC sebelumnya. Ini bermaksud bahawa penunggang model ini boleh meluncur dengan penuh yakin di jalan raya. Tiger 900s baharu dibekalkan dengan tayar Bridgestone Battlax Adventure A41 yang lebih berorientasikan jalan raya.

Antara ciri menarik yang terdapat pada Triumph Tiger Rally Pro ini adalah suspensi belakang boleh laras yang boleh dikawal melalui skrin TFT tujuh inci baharu (hanya terdapat pada model GT Pro dan Rally Pro). Terdapat empat pilihan preload untuk dipilih dan sembilan tahap rendaman pantulan yang tersedia, daripada perjalanan biasa hingga sport. Terdapat 6 mod tunggangan, Road, Sport, Rain, Off-Road, Off Road Pro dan Rider. Mod tunggangan ini membenarkan anda untuk menyesuai dan menetapkan motosikal dengan cara tunggangan yang anda mahukan. Penunggang Triumph Tiger akan berpuas hati dengan model GT Pro atau Rally kerana sistem suspensinya boleh  ditetapkan mengikut kesesuaian dan gaya tunggangan serta keadaan jalan. Dua model top-of-the-line Triumph ini juga hadir dengan unit pemanas untuk pemegang hendal dan tempat duduk (penunggang dan pembonceng) yang boleh dipanaskan, fungsi yang tentunya boleh digunakan jika cuaca terlalu sejuk. Model ini turut dilengkapi dengan sistem pemantauan tekanan tayar yang amat berguna terutamanya untuk perjalanan jauh dan Triumph’s Shift Assist Pro. Terdapat juga versi baharu program Triumph MyApp untuk memudahkan penunggang mengunakan penunjuk arah yang tersedia pada model-model ini. Melalui pemerhatian admin, ketinggian tempat duduk bagi model GT adalah lebih rendah daripada Rally. Terdapat dua kedudukan berbeza untuk setiap model. Tempat duduk GT Pro boleh dilaras pada 810mm untuk kedudukan rendah dan 830mm untuk kedudukan paling tinggi. Tempat duduk Rally Pro pula boleh dilaras ketinggiannya antara 850mm hingga 870mm. Berat kering model ini adalah sekitar 201kg dan ia secara keseluruhannya mudah dikawal oleh penunggangnya.

Versi Rally dan Rally Pro lebih fokus kepada tunggangan di atas jalan kasar yang lasak. Model  ini menggunakan suspensi Showa, di mana bahagian hadapan terdapat unit penyerap hentak jenis USD 45mm yang boleh dilaras pra beban, lantunan serta serapannya manakala di bahagian belakang pula terdapat unit yang boleh dilaras pra beban dan lantunan. Pelarasan untuk suspensi ini perlu dilakukan secara manual dan jarak pergeraknya masing-masing,  240 mm untuk hadapan dan 230 mm untuk belakang. GT Pro dan Rally Pro ditambah lagi dengan “quickshifter” naik dan turun, menjadi kewajibpan untuk model era baru kini yang berprestasi tinggi, menarik bukan?.

Dengan enjin  888 cc DOHC (sebelum ini 800 cc) ianya mampu menghasilkan kuasa 93.9 hp pada 8,750 rpm dan 87 Nm tork pada 7,250 rpm. Kuasa maksimum masih sama seperti sebelum ini, tetapi tork telah meningkat sebanyak 8 Nm serta kotak gear yang sama enam kelajuan masih digunakan.

Secara keseluruhan pihak Triumph telah berjaya menghasilkan sebuah motosikal adventure yang mudah dikawal ringan serta tambah pula dengan teknologi terkini yang amat membantu untuk penunggang motosikal masa kini. Dengan kuasa enjinnya tak perlu dipertikaikan amat bertenaga dan cukup untuk kegunaan perjalanan pengembaraan anda, cuma hanya pilih sahaja destinasi kesukaan yang diinginkan. Motosikal yang mudah dikawal serta tidak terlalu beban dengan berat amat penting kerana ia mempengaruhi  tenaga dan fizikal sesorang untuk mengawalnya, benar bersaiz besar dan kuasa enjin yang bertenaga nampak hebat akan tetapi keseronokkan ia terbatas jika terlalu berat, ianya merosakkan keseronokkan perjalanan anda terutama apabila menempuh perjalanan yang sukar,  ketika berhenti atau perlahan, semasa menolak di permukaan jalan tidak rata atau di kesesakan jalanraya  menjadi semakin sukar untuk mengawalnya. Pemilihan jentera yang sesuai amat penting bukan semata-mata cantik pada pandangan mata dan popular dari mulut ke mulut, pemilihan yang tepat amat penting. Ternyata model terbaru dari Triumph Tiger baru ini cukup dengan keseronokkan yang anda impikan sebagai pengembara atau kegunaan harian, dengan harga RM85,000.00 anda akan menerima keseronokkan yang lengkap untuk kegunaan anda sebagai pengembara jarak jauh yang lasak!