Kuala Lumpur, 14 Ogos 2020 – BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung di Secret Garage @ M Town, sekali gus mengembangkan segmen saiz pertengahan premium dengan barisan jentera yang berkuasakan M.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Sejak lebih dari dua dekad yang lalu, model-model BMW X tidak dapat ditandingi dalam segmen saiz pertengahan berprestasi tinggi, setelah merintis pelbagai teknologi pacuan empat roda yang tercanggih dalam industri. Malam ini, BMW Malaysia teruja untuk memperkenalkan dua ahli baharu bukan sahaja dalam famili BMW X, malah dalam barisan model berprestasi tinggi – BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung.”
“Di BMW Malaysia, kami juga memahat tanda aras demi tanda aras yang baharu dalam perihal melibatkan kejituan dan kelincahan dalam portfolio BMW M dengan model-model baharu ini; kedua-duanya bukan sahaja mempersembahkan huruf yang terunggul di dunia, malah hadir dengan DNA sukan permotoran M yang ikonik,” tambah Hoelzl.
BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition terbaharu menyebarluaskan lagi portfolio BMW X yang terdiri daripada kenderaan Sports Activity Vehicle (SAV) dan Sports Activity Coupé (SAC). Kedua-dua jentera menaik taraf aspek kelajuan dan prestasi dalam segmennya menerusi enjin BMW M TwinPower Turbo yang mampu menjana 510 kk (kuasa kuda).
Selain kuasa, jentera SAV dan SAC berprestasi tinggi ini turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang canggih, serta ciri-ciri keterhubungan yang pintar. Ia meliputi Driving Assistant Plus yang menawarkan bantuan optimum ketika pemanduan yang lincah.
Secret Garage @ M Town adalah berdasarkan BMW M Secret Garage – tersembunyi di fasiliti BMW M yang terletak di Munich, Jerman. Pelbagai kenderaan ikonik BMW M telah dipamerkan di Secret Garage @ M Town, termasuk BMW M850i, BMW M5 dan BMW M4.
Acara tersebut juga disokong oleh usahawan-usahawan tempatan seperti Halo Doughnut – iaitu sebuah perusahaan donut ‘sourdough’ artisan yang dibangunkan oleh dua individu hanya dalam masa 10 hari setelah PKP berkuatkuasa, serta Monsterchef – pakar penggubah makanan dan katering yang telah menyesuaikan perniagaan mereka berdasarkan situasi semasa melalui inovasi dengan menawarkan kelas belajar memasak dalam talian secara percuma, di samping menjual makanan yang dimasak dari rumah di kawasan perumahan.
Simbiosis gaya dan kelajuan.
BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung tampil dengan elemen-elemen reka bentuk M, disinambungkan dengan estetika BMW X yang sporty.
Seksyen hadapan yang tampak gah terdiri daripada apron yang khas dan komponen salur masuk udara yang besar dalam bentuk heksagon – dirumus untuk menjamin ventilasi yang optimum bagi brek hadapan ketika ia dibebani dengan tahap termal yang tinggi. Model-model BMW M terbaharu ini juga menampilkan lampu hadapan LED adaptif dengan ciri bantuan lampu puncak, berserta dengan lampu belakang LED penuh sebagai standard.
Bonet dan jarak roda yang panjang, cermin hadapan yang curam, serta arkus roda dengan bentuk segi empat yang halus membuahkan siluet yang sporty pada model-model baharu ini. Sistem ekzos M Sport – dapat dicam menerusi empat paip ekzos krom hitam – ia menzahirkan bunyi yang luar biasa ketika memecut. Model-model BMW M ini turut hadir dengan set roda aloi ringan M bersaiz 21 inci dalam dwiwarna dan dilengkapi dengan Adaptive M Suspension. Lingkaran gril ‘kidney’ hitam dan pelitup cermin sisi turut ditawarkan sebagai standard.
BMW X3 M Competition khususnya hadir dengan peresap yang langsing dalam warna hitam berglos tinggi dan spoiler bumbung ‘M-specific’. BMW X4 M Competition pula didatangkan dengan spoiler aerodinamik hitam di belakang.
Kuasa M bertemu kelincahan BMW X.
Jantung yang menguasakan model-model BMW M ini ialah enjin petrol ‘straight-six’ M TwinPower Turbo berkapasiti tiga liter yang baharu. Dengan puncak tork bernilai 600 Nm pada paras 2,600 – 5,950 rpm, model-model BMW M ini mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j (terhad) dan membuat pecutan abad hanya dalam masa 4.1 saat. Kedua-dua jentera tersebut mengguna pakai bahan api yang berjumlah 10.6 liter bagi setiap 100 km, dan emisi karbon berjumlah 244 g/km.
Kuasa disalurkan melalui transmisi lapan kelajuan M Steptronic dengan Drivelogic – penukaran gear boleh dibuat secara automatik mahupun manual melalui tuil pemilih gear atau padel gear yang terletak di stereng. Tiga mod Drivelogic turut disediakan: Efficient, Sport, dan Sport Plus – untuk menyingkatkan jarak waktu penukaran gear. Casis model-model BMW M ini telah dinaik taraf dengan komponen-komponen M-specific yang lampai untuk membuahkan karakteristik pemanduan serba sporty – yang bukan sahaja menambah baik prestasi, malah pengendalian dan dinamik lateralnya juga.
Kerangka dalam kompartmen enjin meningkatkan kekuatan seksyen hadapan ketika menghadapi tahap pecutan lateral yang tinggi. Ia dilengkapkan dengan peredam adaptif, komponen penstabil yang lebih kuat, berserta dengan Active M Differential dan M Compound Brakes yang diperbuat daripada material komposit untuk menurunkan berat dan mencapai daya nyahpecutan yang lebih besar. Pacuan semua roda M xDrive yang pintar juga mewujudkan distribusi kuasa pemboleh ubah yang konvensional, atau mod Sport dengan bias tayar belakang yang lebih ketara dan dinamik.
Dirumus untuk keselesaan – biar di jalan raya mahupun litar lumba.
Ruang kokpit BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung menyambut penumpang dengan ambien interior M yang sporty lagi elegan. Penumpang hadapan dapat mengamati designasi model M yang dipamerkan pada ambang pintu, termasuk kerusi yang menyelesakan dengan ciri ventilasi aktif dan sokongan lumbar. Trim-trim khas juga mencerminkan keunggulannya, berserta stereng berkulit M dengan padel gear, butang M Drive merah, dan butang Mula/Henti merah.
Ia digandingkan dengan tuil pemilih gear M yang diperbaharui, dan tiga aras kawalan bagi respons enjin, peredam dan stering. Rangkuman M-specific yang lain pada model-model BMW M ini turut meliputi kemasan trim ‘Gentian Karbon’, sulaman yang menggunakan pelet warna BMW M, tali pinggang keledar M, pedal M, kluster instrumen M-specific, dan pad lutut.
Ciri keselesaan ditawarkan melalui kerusi M Sport dengan jata M beriluminasi terletak di bawah penyandar kepala separa berintegrasi, dihiasi dengan upholsteri Kulit Merino bertaraf premium. Dari segi kapasiti muatan, BMW X3 M Competition mempunyai ruang but bersaiz 550 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,600 liter. Kapasiti muatan BMW X4 M Competition pula boleh dinaikkan daripada 525 liter kepada 1,430 liter dengan melipat kerusi belakang.
Ditawarkan secara eksklusif untuk BMW X3 M Competition ialah pelaras tempat sandar bagi kerusi belakang, serta tirai gulung khas bagi tingkap sisi di belakang.
Sistem bantuan dan keselamatan tercanggih.
Model-model BMW M ini memanfaatkan sistem bantuan yang canggih serta ciri-ciri keterhubungan yang pintar, ia meliputi Papar Pandu (Head-Up Display) dengan pelbagai varian paparan M-specific, serta Parking Assistant Plus yang menampilkan Pandangan Keliling (Surround View) serta Remote 3D Service.
Sistem maklumat hibur yang tercanggih memperlihatkan keupayaan teknologi model-model BMW M ini dengan Paparan Kawalan (Control Display) 10.25 inci yang boleh dioperasikan menggunakan Pengawal iDrive (iDrive Controller) melalui fungsi sentuhan dan Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control). ConnectedDrive Services yang ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua model melengkapi para pemilik dengan Servis Rencam (Concierge Services), Teleservices, Servis Jarak Jauh (Remote Services), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) dan Apple CarPlay.
Model-model ini juga hadir dengan sistem bantuan pintar seperti Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus. Sistem Comfort Access pula menawarkan kemudahan dan keselamatan dengan operasi pintu but automatiknya.
Sistem bunyi keliling Harman Kardon dengan kuasa amplifier 600 W, sembilan saluran dan 16 pembesar suara membekalkan hiburan tanpa henti. Fungsi pengecas telefon pintar di dalam kenderaan berkenaan juga mengelakkan gangguan ketika memandu.
Penawaran warna bagi BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung merangkumi Alpine White, Black Sapphire, Donington Grey, Phytonic Blue, Sophisto Grey dan Toronto Red. Bergantung kepada eksterior yang dipilih, model-model baharu ini boleh dilengkapi dengan upholsteri interior Kulit Merino dalam warna Hitam, Sakhir Orange atau Adelaide Grey.
BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung akan disediakan di pusat pengedaran BMW bertauliah di seluruh negara mulai 14 Ogos 2020. Para pelanggan juga boleh menempah model-model BMW M baharu ini di http://www.shop.bmw.com.my/dengan bayaran RM 5,000 bagi setiap kenderaan dan berpeluang untuk memenangi BMW i8 Coupe.
Program Khas danTerhad Bersempena Secret Garage @ M Town.
Untuk masa yang terhad sahaja, BMW Group Malaysia menawarkan program-program dan kempen khas untuk pelbagai model BMW M dari 15 Ogos hingga 30 September 2020. Sokongan Khas M Town Sokongan yang Terhad menawarkan pemilik baru BMW M2, BMW M4 Coupé , BMW M5 Sedan dan BMW M850i xDrive Coupé penurunan harga yang menarik, dari RM25,000, RM45,000, RM70,000 dan RM75,000 masing-masing.
Program pembiayaan dinamik.
Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang masing-masingnya bermula daripada RM 10,118.00 dan RM 10,318.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).
Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Pemilik jentera BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition baharu ini juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:
- Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
- Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
- Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
- Servis Dalam Talian BMW
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, dan Program Servis Berjadual Percuma) BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition yang sulung ialah:
BMW X3 M Competition Baharu RM 886,551.58
BMW X4 M Competition Baharu RM 904,276.60