Kebanyakan kita suka dengan jentera supersport atau superbike. Samada sekadar suka melihat sahaja atau sudah memilikinya. Kebiasaannya, apabila memilih sebuah jentera berkuasa besar bersesaran bawah 1000 cc, kita akan membayangkan sebuah jentera “Sport bike” atau “Superbike” yang laju, agresif dan dengan posisi membongkok kehadapan, gaya menunggang agresif sebuah jentera kelajuan cahaya (orang kata). Tetapi dalam dunia motosikal masakini, aktiviti menunggang semakin berkembang dengan mengikut trend semasa seperti aktiviti menunggang secara berkumpulan atau bersendirian terutamanya di hujung minggu dan cuti umum, ada sahaja destinasi yang akan diterjah. Dalam proses memilih jentera yang bersesuaian dengan gaya dan minat, kita sering terlupa akan keperluan fizikal dan keupayaan seseorang itu untuk mengawal jentera yang bersesuaian. Pada waktu inilah akan terjadi perkara “tersalah beli” yang akhirnya menjadikan motosikal itu seperti barang pameran, hanya tersadai di rumah mengumpul habuk atau dijual akibat tidak serasi dan tidak sesuai dengan keperluan. Situasi ini terjadi akibat terlalu mengikut trend atau gaya pengaruh daripada iklan dan kawan-kawan.
Pasaran motosikal ketika ini hadir dengan pilihan pelbagai jenis model yang sesuai untuk berbagai tujuan. Melancong, kegunaan harian, untuk bergaya, melayan kuasa enjin dan menikmati posisi menunggang motosikal itu sendiri. Model yang menawarkan pakej seperti ini adalah daripada jenama Triumph dengan Street Triple RS. Model ini pertama kali dikeluarkan pada akhir tahun 2007 dengan sesaran 675 cc berasaskan rekaan model Speed Triple 1050. Enjin 675 cc ini diambil dari model Daytona 675 yang diperkenalkan pada tahun 2006 dan pada tahun 2017, enjin bersesaran 765 cc menggantikan enjin lama. Berkonsepkan streetfighter yang popular di negara kelahiran jentera ini di United Kingdom, ia dengan segera menarik perhatian peminat jentera dua roda di seluruh dunia dan pengeluar lain mula bersaing untuk mengeluarkan jentera seumpamanya. Jentera ini amat ringan dengan berat kering 166 kg, tidak terasa ia sebuah jentera bersesaran 765 cc. Ini membuatkan anda yakin mengawalnya dan meluncur lancar di setiap jalan dan selekoh. Walaupun menunggang Triumph Street Triple RS ini di kawasan bandar yang sibuk, ia tidak memenatkan untuk mengawalnya meredah kesesakan jalan raya, sungguh lincah dan mudah.
Triumph Street Triple RS menggunakan enjin tiga silinder yang menjana kuasa sebanyak 121 hp pada 11,750 rpm dan tork 79 Nm pada 9,350 rpm – kuasa yang anda boleh gunakan pada bila-bila masa. Walaupun sesaran enjin ditingkatkan kepada 765 cc pada tahun 2017, rekaan casis dan suspensinya masih kekal seperti model sebelumnya. Di bahagian depan adalah sepasang Showa Big Piston Forks 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, digabungkan dengan suspensi piggyback Öhlins STX40 dengan spesifikasi terbaik di bahagian belakang yang juga boleh dilaraskan. Brek hadapan ialah daripada Brembo M50 4 piston dengan ABS dan brek belakang juga daripada Brembo dengan ABS.
Terdapat empat mod menunggang yang telah ditetapkan oleh Triumph – Rain, Road, Sport dan Track – serta mod Rider yang dapat disesuaikan mengikut pilihan penunggang. Mod tunggangan berbeza membekalkan kuasa dan keperibadian berbeza mengikut keadaan. Mod Rain memberi tindak balas pendikit yang tenang dan memberi kuasa enjin yang dihadkan kepada 99 hp, menjadikannya sesuai untuk tunggangan dalam situasi cengkaman rendah. Mod Road pula memberi tindak balas pendikit yang bagus untuk menunggang di dalam bandar sementara mod Sport mengubah karakter Triumph Street Triple RS ini menjadi lebih galak di atas jalan raya dan tindak balas pendikit yang lebih responsif. Mod Track pula menggunakan pemetaan mod Sport namun dalam mod ini, kombinasi ABS, TC, atau peta pendikit dapat digunakan, dan tuas laras MCS di depan dan caliper piston tunggal Brembo di bahagian belakang Walaupun kosnya lebih tinggi dan sifatnya yang lebih agresif, spesifikasi Triumph Street Triple RS adalah lebih daripada model asas Street Triple S dan model Street Triple R yang juga berprestasi tinggi tetapi berorientasikan jalanan. Seperti Street Triple yang asal, ia meneruskan gaya dan imej lampu depan uniknya. Penampilan ini diilhamkan daripada reka bentuk streetfighter yang mencipta genre tersendiri. Sepanjang masa Triumph Street Triple RS ini bersama dengan admin, keserasian dan keseronokan menunggang semakin dirasai. Ini kerana ia mudah dikawal, ringan, dan yang paling penting kuasa jentera ini cukup untuk digunakan bila-bila masa dan dilengkapkan lagi dengan brek dari Brembo yang cekap. Suspensi yang terdapat pada Triple Street RS ini amat selesa untuk kegunaan di jalan raya awam di dalam dan luar bandar.