TOYOTA GR SUPRA KINI TERIMA PENAMBAHAN KUASA

Sebagai model global pertama yang dibangunkan oleh Toyota Gazoo Racing, Toyota GR Supra telah memberi impak yang besar sejak ia dilancarkan, termasuk di Malaysia. Ia menyambung susur-galur warisan bagi kereta sport Toyota, mengukuhkan statusnya sebagai sebuah kereta sport dalam bentuknya yang paling asli, dan direka dengan kejuruteraan untuk menawarkan keseronokkan memandu.

Sebagai model legenda dari generasi kelima dalam sejarah permotoran dunia, GR Supra merupakan sebuah kereta sport yang canggih, lengkap dengan sistem janaan kuasa, casis dan teknologi keselamatan termaju. Dengan semangat Kaizen (falsafah Jepun berkaitan “penambahbaikan berterusan”), GR 2020 kini diberikan peningkatan untuk memperkasakan lagi kemampuannya. Enjin 3.0 liternya kini menerima pertambahan output yang akan memberikan prestasi lebih baik untuk dinikmati semua pemandu.

Peningkatan berkenaan tertumpu kepada enjin enam-silinder turbocas yang digunakan, dengan kini menghasilkan 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm; peningkatan sebanyak 14%. Tork maksimum pula kekal pada angka 500 Nm, tetapi dicapai pada julat yang lebih luas antara 1,800 rpm – 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm – 4,500 rpm sebelum ini.

Barisan jurutera meningkatkan output kuasa ini tidak hanya melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port (berbanding hanya dua), bertujuan memperbaiki pengurusan haba enjin. Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1.

Enjin yang dipertingkat dengan julat tork yang lebih tinggi ini mengekalkan
keupayaan rev yang tinggi dengan kelancaran optimum. Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF sebagai standard, tempoh pecutan 0-100 km/j kini menjadi 4.1 saat, berbanding 4.3 saat sebelum ini.

Turut melengkapi pertambahan kuasa ini ialah penambahbaikan pada casis, yang bertujuan untuk meningkatkan kestabilan dan mengurangkan olengan badan. Dengan mengambil kira maklum balas pemandu-pemandu jentera berprestasi tinggi setakat ini, GR Supra terbaru telah menerima talaan semula casis dengan pertambahan rod prestasi untuk meningkatkan lagi ketahanannya.

Selain penggunaan angkup brek berwarna merah dengan logo Supra di depan, lain-lain spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ada kekal sama. Warna badan Deep Blue Metallic kini tidak lagi ditawarkan, tetapi pelanggan masih boleh memilih dari tujuh warna lain — Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.Turut didatangkan standard untuk GR Supra ialah suspensi pemboleh ubah adaptif dan Limited-Slip Differential (LSD) kawalan elektronik.

Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Toyota, dan itu bertambah penting bagi model seperti GR Supra yang berprestasi tinggi. Teknologi keselamatan Toyota Supra membolehkan pemandu untuk mengoptimumkan kemampuan sebenar kereta berkenaan dalam aspek keselamatan. Ini termasuk sistem-sistem aktif yang bekerjasama untuk membantu pemandu sekiranya perlu. Sebagai tambahan, ada juga ciri seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi
brek kecemasan serta peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang.

Ciri standard ruang dalaman pula menampilkan gabungan antara kemwahan dan fungsi, serta tumpuan kepada pemandu. Sebagai contoh, paparan Head-Up Display membolehkan pemandu terus menumpukan penglihatan pada jalan dan dalam masa sama tahu maklumat-maklukat penting pemanduan. Kerusi berkuasa elektrik dengan fungsi memori pula memudahkan pemandu untuk menetapkan serta mengekalkan kedudukan sekiranya ada orang lain mengubahnya. Berkaitan aspek hiburan, sistem
audio JBL lengkap dengan 12 pembesar suara menyediakan kualiti bunyi terbaik.

Dijual pada harga bermula RM589,987 (dengan pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans) dan RM611,880 (tanpa pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans), GR Supra terbaru kini boleh ditempah melalui bilik-bilik pameran terpilih Toyota GR Garage di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-8-TOYOTA
(869682).