Motosikal jenama Triumph. (Motosikal ye, bukan jenama pakaian berkaitan wanita itu.) Jika anda tidak mengenali jenama motosikal ini, anda mungkin dalam golongan generasi muda kini yang tidak biasa dengan motosikal terkenal British ini. Jenama ini bukan nama baru dalam industri motosikal, ia sudah lama bertapak dan berada di jalan raya Malaysia ini sejak zaman datuk dan ayah kita dahulu. Biar pun ia tidak banyak di atas jalan raya seperti motosikal berjenama Jepun, ia tetap ada pengikut dan peminat tersendiri. Zaman telah berubah dan teknologi semakin maju dan motosikal sekarang semakin padat dengan kemajuan pada jentera yang diperkenalkan, masing-masing bersaing hebat. Triumph tidak ketinggalan. Selain enjin dan reka bentuknya, admin tertarik dengan kekemasan setiap bahagian yang terdapat di setiap jentera Triumph. Kualiti jentera ini amat baik sekali.
Zaman sekarang, semakin ramai yang meminati motosikal yang lebih santai dan praktikal untuk kegunaan harian dan melayan hobi menunggang di hujung minggu. Admin tertarik dengan Triumph Speed Twin ini dari awal kemunculannya. Bentuknya yang ringkas tetapi berseni lagi bergaya. Bunyi yang mengasyikkan mengimbau zaman silam. Motosikal ini mempunyai kerektor yang akan membuat anda merasa sunggah teruja dan bergaya, terutamanya kepada yang sukakan fesyen bermotosikal.
Ketika admin mengambil motosikal ini di ibu pejabat dan bilik pameran Triumph Malaysia di Petaling Jaya, mata hanya asyik tertumpu dengan model ini. Kagum. Ia ringkas dengan reka bentuk klasik tetapi penuh dengan teknologi moden, walaupun banyak lagi model-model hebat di sana. Seperti ada tarikan tersendiri. Setelah sekian lama banyak tertumpu kepada motosikal berkuasa besar dengan reka bentuk dan jenama lain, kini admin beralih selera mencuba gaya santai dan bergaya. Tidak terlalu agresif.
Pertama kali admin dapat melihat dari dekat Triumph Speed Twin ini. Walaupun sebelum ini pernah melihatnya, tapi segan nak dekat kerana orang punya. Kali ini dapat lihat dan uji lagi, memang puas hati! Kena pula dengan konsep ENJIN DOTcom, kita santai dan nikmati keseronokan menunggang motosikal sambil melancong selagi ada tempat menarik untuk kita jalan. Baiklah, kita cerita apa yang menarik tentang Triumph Speed Twin ini. Sebenarnya model ini telah lama wujud. Mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1937 dengan enjin bersesaran 500cc, kini ia muncul kembali dengan konsep moden klasik bersama enjin yang lebih bertenaga dan moden. 1,200cc, 8 injap, sejukan cecair, silinder kembar selari menghasilkan 95 kuasa kuda pada 6,750rpm dan tork 112Nm pada 4,950rpm, sama dengan Triumph Thruxton. Berat Triumph Speed Twin ini sekitar 196kg dan amat sesuai untuk kegunaan setiap hari dengan mudah. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan brek hadapan Brembo dengan angkup empat omboh pada rim aloi 7 bilah yang menarik. Menariknya, Triumph seolah-olah ingin mengekalkan setiap inci modelnya dengan barang dan peralatan yang berkualiti. Triumph Speed Twin dilengkapi standard dengan tayar Pirelli Rosso Corsa 3 dan juga 3 mod tunggangan (Road, Rain dan Sport), sistem brek ABS dan traction control.
Tangki minyak Triumph Speed Twin mampu menampung petrol sebanyak 14 liter, cukup untuk membawa anda ke mana-mana destinasi. Unit yang diuji ini dilengkapi dengan penyerap hentak belakang berkembar dari Öhlins yang di tambah oleh Triumph Malaysia, hasilnya bertambah padu. Kedudukan menunggang yang ergonomik dan cukup selesa, membuatkan anda ralit dalam setiap perjalanan anda. Cuma masalah biasa motosikal seperti ini adalah tamparan angin yang kuat ketika mencecah kelajuan 120kmj dan ini adalah biasa untuk sebuah roadster. Tempat duduk yang lebar dengan hendal bar yang selesa dicapai, membuat kedudukan menunggang hampir tegak. Walaupun perjalanan anda sejauh 200km, ia tidak memenatkan.
Seperti biasa dengan masa terhad, admin memilih jalan yang sesuai dengan gaya tunggangan dan keadaan jalan raya disekitar kita, dari Bandar Baru Bangi – Putrajaya – Dengkil – Morib – Batu Laut (pusat latihan perahu layar) – Kampung Kundang (Kafe Cikgu) – Sepang dan kembali semula ke Bandar Baru Bangi. Lebih kurang 87 kilometer untuk separuh hari perjalanan diselangi sesi bergambar dan aktiviti wajib, makan di Kafé Cikgu dengan menu kari kambing dan cendol durian yang padu!
Triumph Speed Twin ini menjanjikan satu pengalaman yang menarik setiap kali anda menunggangnya. Jentera ini penuh dengan watak, salah satu kualiti yang penting dalam menikmati pengalaman menunggang di sepanjang perjalanan anda. Pengendalian yang hebat bersahaja tidak terasa dan ia sebuah motosikal bersesaran besar yang amat mudah dikawal. Admin yakin, ia pasti membuat anda tersenyum. Triumph Speed Twin sebuah jentera yang kelihatan hebat dan menyerikan garaj anda sebelum ia bergerak lagi, yang menjana semula semangat anda di hujung minggu.