MENTERI BESAR SELANGOR TINJAU AMALAN DAN PROSEDUR BARU DI KILANG PEMASANGAN TOYOTA

Shah Alam, 18 Jun 2020 — Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), sebuah anak syarikat milik penuh UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terlibat dalam kerja-kerja pemasangan tempatan bagi kenderaan-kenderaan Toyota telah menerima kunjungan daripada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari yang telah meninjau sendiri amalan dan prosedur terbaru yang diamalkan di kilang tersebut yang selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghentikan penularan Covid-19.

Kehadiran Dato’ Seri Amirudin Bin Shari ke kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Raja itu disambut oleh barisan pengurusan tertinggi UMW Toyota Motor dan ASSB. Selepas menerima taklimat berkaitan operasi kilang, beliau dibawa meninjau sekitar kemudahan yang ketika ini menjadi pusat pemasangan bagi model-model seperti Toyota Yaris dan Toyota Vios.

Di beberapa bahagian seperti di tempat letak motosikal, bilik simpanan barang pekerja dan kantin, perubahan telahpun dilakukan untuk mengambil kira keperluan mengekalkan jarak sosial. Selari dengan SOP yang digariskan kerajaan, pemeriksaan suhu badan dijalankan setiap hari, manakala cecair pembasmi kuman dan penggunaan pelitup muka dijadikan kelaziman baru. Di kantin misalnya, posisi tempat duduk telah diatur untuk memberikan jarak selamat antara individu dan menu pula terdiri daripada makanan yang siap dibungkus.

Selain waktu bekerja yang berperingkat, prosedur baru ini disasarkan untuk tujuan meminimumkan interaksi agar risiko penyebaran coronavirus boleh dikurangkan. ASSB juga mengamalkan langkah-langkah sama yang dipraktikkan oleh kilang-kilang Toyota di negara lain sebagai maklum balas kepada pandemik berkenaan. Satu contoh yang ditunjukkan kepada Menteri Besar ialah pemasangan pembahagi tambahan di bahagian Proses Pemasangan Pintu.

Ketika di lokasi, Menteri Besar juga sempat melawat Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Toyota Boshoku dan UMW Toyota Motor yang membuat dan mengeluarkan tempat duduk, kemasan pintu, lapik bumbung serta dulang barangan yang digunakan dalam model-model kenderaan pemasangan tempatan Toyota.

Oleh kerana kilang ini memiliki kelengkapan yang sesuai, Toyota Boshoku UMW sebelum ini membantu mengeluarkan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) yang diperlukan oleh petugas medik yang menguruskan pesakit-pesakit Covid-19. Lebih 10,000 unit PPE yang terdiri daripada pelindung kasut, penutup kepala dan baju pelindung telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk diedarkan ke hospital-hospital seluruh negara.

Sebuah majlis sederhana juga telah diadakan untuk ASSB dan Toyota Boshoku UMW bagi menyerahkan kelengkapan PPE berkenaan kepada Menteri Besar sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor. Serahan berkenaan terdiri daripada 100 helai baju pelindung, penutup kepala dan pelindung kasut.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor diatas kelulusan dan bimbingan yang membolehkah ASSB menyambung semula operasi selepas memberhentikannya untuk tempoh yang lama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini. Kilang kami telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mematuhi SOP seperti yang digariskan, serta kami juga telah menerapkan amalan terbaik lainnya yang dipinjam dari kilang-kilang Toyota di negara lain,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. “Toyota Motor Corporation juga sangat serius dalam menyediakan persekitaran yang baik dan selamat kepada semua pekerja. Sebagai ahli keluarga Toyota peringkat global, ASSB juga boleh mendapatkan nasihat dan panduan amalan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh digunakan di Selangor juga,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

GALERI