BMW Malaysia Memperkenalkan BMW X5 xDrive45e M Sport Terbaharu

Kuala Lumpur, 17 Jun 2020 – BMW Malaysia telah merungkaikan ahli BMW X baharu, BMW X5 xDrive45e M Sport yang merupakan model elektrik terkini dipasang secara domestik.

“Pengenalan BMW X5 xDrive45e M Sport bukan sahaja meluaskan portfolio kami yang terdiri daripada kenderaan yang dipasang di dalam negara, malah turut memperkukuhkan strategi kami buat mobiliti berelektrik di Malaysia. Selain menggariskan komitmen kami untuk melangsungkan pelaburan di Malaysia yang merupakan pasaran utama BMW Group di rantau ini, ia turut menyuluh komitmen kami untuk memacu inovasi dan kelestarian bagi tujuan mobiliti elektro. Semua ini ditunjangi oleh kempen kami yang diberi nama, Joy.Electrified by i,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

Sebut Hoelzl lagi, sebagai model perintis dalam barisan kenderaan BMW X, BMW X5 telah membuktikan selama ini bahawa ia merupakan jentera Sports Activity Vehicle (SAV) premium yang paling efisien dan berkuasa tinggi pernah menyusuri jalan raya. Jelas beliau, “Tahun lalu, BMW X5 telah menyumbang lebih daripada 25% serahan kenderaan BMW X yang diterjemahkan kepada 3,000 lebih unit. Kami yakin bahawa BMW X5 xDrive45e M Sport akan terus meneruskan legasi model-model ikonik yang terdahulu.”

Terkenal sebagai SAV terlaris dalam segmennya di seluruh dunia, BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu hadir dengan teras yang luar biasa bagi membekalkan kepuasan tertinggi dalam aspek pemanduan, berserta prestasi, inovasi dan kemudahan yang bertaraf lebih tinggi. BMW X5 xDrive45e M Sport menyerlahkan penampilan emotifnya yang mengagumkan di samping mengekalkan karakter ikonik dan bentuknya.

Melangkah ke hadapan dengan “The Boss”.

BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu hadir dengan nuansa serba atletik berasal dari susur galur BMW X yang disinambungkan dengan bentuk yang lebih besar bagi menaik taraf aspek ruang dan keselesaan.

SAV baharu ini turut menampilkan pembaharuan dalam iras kelasakannya yang ikonik, termasuk lampu hadapan Adaptive LED yang langsing dengan BMW Selective Beam, serta lampu kabus LED di hadapan yang melengkapi komponen signatur gril ‘kidney’ yang megah. Dengan pakej M Sport, BMW X5 xDrive45e terbaharu menampilkan set roda aloi ringan ‘M’ bersaiz 20 inci dalam penggayaan Star Spoke 740 M Dwiwarna, berserta dengan brek M Sport.

BMW X5 xDrive45e M Sport juga dikuasakan oleh enjin enam silinder berkapasiti tiga liter yang lengkap dengan teknologi BMW eDrive. Menerusi output maksimum gabungan berjumlah 290 kW/394 kk dan puncak tork gabungan berjumlah 600 Nm, SAV baharu ini menjana kelajuan tertinggi mencecah 235 km/j. Pecutan abad dapat dibuat oleh kenderaan ini dalam masa 5.6 saat sahaja. Menerusi mod elektrik tulen, BMW X5 xDrive45e M Sport mempunyai capaian panduan elektrik berjarak 77 km setelah dicaj penuh, dan mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 135 km/j.  Di samping itu, SAV ini menggunakan paras bahan api yang rendah, iaitu 2.5 l/100 km serta emisi karbon bertahap rendah pada paras 56 g/km.

Enjin luar biasa jentera ini dilengkapkan oleh transmisi lapan kelajuan dengan dinamik penukaran gear yang dinaik taraf. Keempat-empat roda dibekalkan kuasa melalui sistem pacuan semua roda xDrive. BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu juga kini menampilkan suspensi udara 2-gandar pada komponen gandar hadapan dan belakang, sekali gus memaksimumkan keupayaan dan keselesaan dinamiknya.

Di dalam kabin, kokpit BMW X5 xDrive45e M Sport dihiasi dengan upholsteri kulit Vernasca bagi membuahkan sentuhan serba elegan. Ruang interior turut mempersembahkan stereng berkulit ‘M’, iaitu stereng dengan keupayaan larasan elektrik, tempat duduk sport di hadapan dan fungsi memori khas bagi tempat duduk pemandu, penyaman udara automatik empat zon serta panel instrumen yang bermaterialkan Sensatec. Muzik dapat dinikmati dengan sepuasnya ketika pemanduan menerusi sistem bunyi keliling Harman Kardon berkapasiti 464W yang terdiri daripada 16 pembesar suara.

Kapasiti but SAV baharu ini dapat ditingkatkan dengan mudah dari 500 liter menjadi 1,720 liter. SAV baharu ini juga dilengkapi dengan pengawal pintu belakang automatik dengan fungsi pembukaan dan penutupan tanpa sentuhan, disertakan pintu belakang dua bahagian bagi kemudahan memuatkan barang. Bahagian atas boleh dibuka secara elektrik, sementara bahagian bawah dilepaskan secara manual.

Ciri-ciri kefungsian utama BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu merangkumi BMW Live Cockpit Professional dengan Kawalan Gestur serta Pembantu Peribadi Pintar. BMW Live Cockpit Professional menggandingkan Paparan Instrumen Digital bersaiz 12.3 inci dengan skrin sesentuh Paparan Kawalan yang bersaiz sama. Penumpang di tempat duduk belakang juga dapat menikmati “Rear Seat Entertainment Professional” dengan monitor sesentuh bersaiz 10.2 inci. Fungsi pengecasan tanpa wayar turut ditawarkan sebagai kemudahan tambahan ketika memandu.

Bantuan pemanduan tahap baharu disediakan oleh BMW X5 xDrive45e M Sport melalui BMW Personal CoPilot, yang merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan dan Amaran Penukaran Laluan. Sistem tersebut juga menampilkan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Perentasan Trafik di Belakang, Pencegahan Perlanggaran Belakang serta info had kelajuan.

Di samping itu, BMW X5 xDrive45e M Sport turut dilengkapi dengan Parking Assistant Plus dengan Kamera Pandangan Keliling, berserta dengan Bantuan Mengundur yang menawarkan fungsi bantuan yang mengagumkan ketika mengolah masuk dan keluar dari ruang parkir serta mengundur masuk ke ruang yang sempit. Bantuan Mengundur berkenaan menyimpan rekod panduan 50 meter yang terakhir pada tahap kelajuan setinggi 35 km/j, dan ia juga menawarkan bantuan untuk mengundur keluar daripada ruang parkir atau ruang yang sempit dengan mengambil alih kawalan stering.

BMW ConnectedDrive dalam BMW X5 xDrive45e M Sport hadir dengan Panggilan Kecemasan Pintar, Teleservices dan servis eDrive. SAV terbaharu ini juga dilengkapi dengan Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) yang memaparkan status kenderaan seperti jarak capaian dan maklumat utama yang lain, selain menawarkan akses yang mudah ke atas sistem penyaman udara sebelum memasuki kenderaan berkenaan, maka pemandu boleh mempersiapkan kenderaan ini sebelum memulakan perjalanan. Kunci Digital BMW pula disediakan untuk akses tanpa kunci melalui telefon pintar Android terpilih yang bercirikan NFC.

Comfort Access 2.0 membolehkan anda mengakses kenderaan ini tanpa perlu menyentuh, maka hendal pintu tidak perlu dipegang atau disentuh untuk mengunci atau menyahkunci kenderaan berkenaan. Sensor di kedua-dua sisi kenderaan ini akan mengesan kunci kenderaan berkenaan lalu menyahkunci jentera tersebut setelah pemilik menghampiri kenderaan ini dalam lingkungan jarak satu meter. Ia juga akan dikunci secara automatik setelah pemegang kunci bergerak sejauh dua meter dari kenderaan berkenaan.

Tawaran warna bagi jentera BMW X5 xDrive45e M Sport merangkumi Phytonic Blue, Black Sapphire, Mineral White dan Artic Grey. Warna-warna berkenaan boleh digandingkan dengan upholsteri istimewa bermaterialkan kulit Vernasca dalam warna hitam dan trim kayu halus, ‘Fineline Stripe’ dengan warna perang berglos tinggi.

Sebagai opsyen tambahan, eksterior BMW X5 xDrive45e M Sport boleh dinaik taraf untuk merangkumkan Alat dan Aksesori Tulen BMW M Performance, seperti rongga udara hadapan, pelitup cermin eksterior, sayap lawi hadapan dan belakang, serta peresap belakang dalam Gentian Karbon. Pelekat sisi dan filem skirt sisi dalam warna Frozen Black turut ditawarkan, berserta dengan set roda Star Spoke dalam warna Jet Black Matte.

BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu akan disediakan di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai Sabtu, 20 Jun 2020.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW X5 xDrive45e M Sport yang terbaharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 5,028.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu ini juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Waranti Bateri Bertempoh 8 Tahun/ 160,000KM BMW (mana-mana yang lebih dahulu)
  • Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran dan servis ‘Run Flat Tyre’
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW X5 xDrive45e M Sport yang terbaharu ialah:

BMW X5 xDrive45e M Sport Terbaharu               RM 440,745.00