ASSB SAMBUNG OPERASI PEMASANGAN KENDERAAN

Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), sebuah anak syarikat UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terlibat di dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan Toyota kini telah menyambung semula operasinya. Ini susulan kepada kebenaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan pada 4 Mei 2020.

ASSB menggantung semua operasinya bermula 18 Mac 2020 sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah untuk membendung penularan wabak Covid-19. Syarikat akan menyambung semula operasi pada 11 Mei 2020.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di atas keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan perincian khusus seperti ini serta memahami bahawa langkah berkenaan adalah untuk kebaikan negeri dan juga rakyatnya,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. “Dengan penyambungan semula operasi, kami berharap akan dapat membantu merancakkan semula ekonomi serta meningkatkan momentum industri automotif dan perniagaan di hari mendatang.”

Seperti juga semua syarikat yang dibenarkan menyambung semula operasi dalam kapasiti penuh, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan diamalkan. ASSB akan patuh sepenuhnya kepada semua SOP berkenaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kira-kira 2,000 pekerja yang bertugas di kilang-kilangnya.

Antara SOP yang dimaksudkan ialah mengekalkan jarak satu meter antara pekerja; pemeriksaan suhu badan dengan kerap; langkah pencegahan menggunakan cecair sanitasi dan topeng muka; serta pembasmian kuman di premis tiga kali sehari. Sekiranya perlu, tempoh bekerja serta aliran tugas juga akan diubah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

“Toyota Motor Corporation (TMC) juga sangat serius dalam menyediakan suasana yang selamat dan sihat bagi semua pekerja. Sebagai keluarga besar Toyota di peringkat antrabangsa, ASSB untuk itu boleh memanfaatkan nasihat serta amalan kesihatan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh diambil untuk situasi operasi di negeri Selangor ini,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.