Ketika jenama lain sedang rancak mempromosikan produk mereka, Suzuki juga tampil dengan beberapa model yang boleh mengancam posisi model sedia ada di pasaran. Admin ingat lagi ketika zaman sekolah tahun 80an, siapa yang tak kenal model Suzuki seperti RC80, RC100, Best, Panther dan Jerung. Petik saja nama Suzuki, memang model-modelnya digilai oleh anak muda masa itu. Dalam arena sukan permotoran juga, jenama Suzuki amat digeruni hingga menenggelamkan jenama-jenama lain. Tetapi selepas Suzuki mengumumkan penutupan kilang pemasangannya di Malaysia, jenama ini hampir dilupakan.
Suzuki V-Strom 650 pertama kali diperkenalkan pada tahun 2004. Ia menjadi antara salah satu model Suzuki yang menacatatkan jualan terbaik. Oleh itu, tidak hairanlah jika Suzuki terus mengekalkan barisan model ini dengan kemasan dan penambahbaikan pada model touring adventure ini.
V-Strom 650, yang dikenali sebagai wee-strom, telah dirombak pada tahun 2012 dengan prestasi yang lebih baik, lebih selesa, dengan ABS dan gaya moden. Tidak lama selepas itu, V-Strom 650XT diperkenalkan dengan roda tanpa tiub, rim berjejari dawai besi, besi pelindung, pelindung angin hadapan dan paruh hadapan. Pada tahun 2017, kedua-dua model 650 ini mendapat wajah baru, penambahbaikan prestasi, beberapa pembaharuan dalam elektronik dan banyak lagi.
Tahun 2017, Suzuki Malaysia memperkenalkan beberapa model berkuasa besar. Antaranya Adventure Tourer Suzuki, V-Strom 650. V-Strom 650 ini memang jarang kelihatan berada di atas permukaan jalanraya Malaysia. Jadi memang terasa jika kita menunggang model ini, ia menjadi seakan magnet menarik peminat motor model sebegini.
Memang benar. Pertama kali saya memulakan perjalanan dangan Suzuki V-Strom 650 ini, banyak juga mata penunggang-penunggang motor lain yang memerhatikan V-Strom ini secara dekat lebih-lebih lagi ketika di lampu isyarat. Ada juga yang rajin mulut bertanya info seperti model dan juga harga. Ini antara bukti yang menunjukkan V-Strom ini seperti makhluk asing yang baru turun ke bumi – bagi mereka yang jarang mengikuti perkembangan dunia motosikal.
Ketika berada di lebuhraya terbuka, terasa keupayaan dan keselesaan V-Strom 650 ini. Enjin dengan konfigurasi V dengan sesaran 650cc ini adalah antara yang terbaik di dalam kelasnya. Kedudukan posisi badan dan juga tempat duduk yang luas bagi penunggang dan pembonceng berkesan bagi mengurangkan kepenatan untuk perjalanan jarak jauh. Sistem suspensi belakang juga boleh dilaras mengikut kesesuaian perjalanan, redah sahaja dimana-mana jalan.
Enjin V, 90 darjah nya berupaya memberikan kuasa yang optimum. Walau dengan apa cara tunggangan yang admin cuba – dari perlahan, santai atau pecutan secara tiba-tiba – sememangnya orang kata, menggiurkan dengan nada ekzosnya yang lembut serta padat, kuasa enjin yang tidak terlalu kasar, sesuai dengan gaya adventure yang santai. Dengan gaya hidup peminat motosikal yang suka mengembara dan bergerak ke satu-satu destinasi menarik serta tempat makan popular, Suzuki V-Strom 650 ini adalah salah satu pilihan yang tepat.
Traction control kini menjadi standard pada V-Strom 650. Terdapat tiga tahap bagi TCS – OFF, 1 dan 2 – bergantung kepada kesesuaian keadaan dan permukaan jalan. Rasanya tidak banyak perbezaan antara tahap kawalan yang rendah dan tinggi, dan admin lebih memilih untuk tidak menggunakan TCS semasa menunggang di jalan lasak atau tanah. Sekiranya anda jenis yang gemar untuk membuat roda berpusing ligat di atas tanah, mematikan fungsi TCS memang membantu. Admin tidak pasti kenapa motosikal sebegini harus sentiasa berkilat. Sesekali kena juga merasakan keseronokan meredah jalan lasak atau berlumpur.
Pengendaliannya yang neutral dan lincah akan membuatkan penunggang merasa selamat, faktor utama buat semua penunggang motosikal lebih-lebih lagi motosikal berkuasa tinggi. Suzuki membina V-Strom 650 ini agar tidak terlalu jatuh miring ke dalam sudut yang kita arahkan walaupun ia sebuah tourer dengan muatan penuh. Ia tidak memerlukan banyak usaha dan tenaga pengendali untuk menggerakkan ia. Hanya arahkan ke mana sahaja, V-Strom 650 ini akan patuh dengan lancar dan pergerakannya boleh diramal dengan tepat dan yakin.
Dengan 73hp dari enjin V-twin 645cc, V-Strom 650 menghasilkan kuasanya dengan baik. Ia tidak akan membawa penunggang ke dalam kejutan kuasa yang membuak sebaliknya ia dikuasai dengan tork yang lancar dan mencukupi. Kuasanya lancar dari RPM rendah hingga ke puncak. Pujian harus diberi kepada Suzuki yang menghasilkan sistem pengurusan enjin yang sangat baik dan dipertingkatkan lagi dengan sistem fly-by-wire.
V-Strom 650 kali ini boleh dikatakan agak berat dengan berat 213kg. Boleh tahan juga beratnya tetapi bila ia mula bergerak, semua itu hilang kerana ia amat stabil ketika berada di atas jalan raya dan juga dalam kesesakan lalu lintas.
Penghadang angin hadapan memberikan perlindungan dari tamparan angin dengan cukup baik untuk mengalihkan kebanyakan angin ke atas kepala penunggang ketika meluncur laju, menjadikan perjalanan kita tidak terganggu dan lancar dari tamparan angin yang kuat. Pendek kata, kalau ramai yang tahu kelebihan V-Strom 650 ini, pasti ramai yang ingin memilikinya. Ditambah lagi dengan rekaan yang mendedahkan enjin V motosikal ini dan rim berlainan saiz – rim 19 inci untuk roda hadapan dan 17 inci untuk roda belakang.
Suzuki V-Strom 650 adalah sebuah tourer yang versatile dan boleh ditunggang dengan apa sahaja cara yang anda mahu secara selamat. Dengan harga asas dari RM44,900.00 bagi model ABS dan RM46,900.00 bagi model XT ABS, tidak termasuk GST, ia pastinya antara motosikal Adventure Tourer yang mampu dimiliki.
#suzukiassemblersmalaysia #suzuki #excelcycle #vstrom650 #enjindotcom #wayoflife