Selain daripada kereta, motosikal adalah kenderaan yang menjadi pilihan bagi kemudahan kerana ia menjimatkan dan pergerakannya yang lebih lincah. Ia adalah pilihan yang tepat jika ia sebuah skuter yang terbukti mudah, ringkas serta boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan selesa dan pantas tanpa membuang banyak masa di atas jalan raya. Kesesakan jalan raya adalah lumrah dan sebahagian daripada rencah menjalani kehidupan di bandar-bandar besar.
Justeru, pengeluar motosikal sekarang turut memberi fokus terhadap barisan produk model skuter terbaharu mereka, dan salah satunya ialah BMW yang turut tidak mahu ketinggalan dalam segmen ini. Apa yang menarik ialah, ini bukan kali pertama BMW menghasilkan sebuah skuter. BMW pernah memasuki pasaran skuter Malaysia dengan model skuter premium bersesaran 650 cc. Model skuter BMW bagi pasaran skuter berkuasa lebih 500 cc di Malaysia masih baru untuk diterima biar pun ia sudah lama bertapak dari jenama lain sebelum ini. Sekiranya anda ingin mencari sebuah skuter premium, C 400 X baharu dari BMW ini mungkin patut anda cuba. Sama ada anda seorang penunggang di bandar dengan cara tunggangan yang cepat, tangkas dan senang untuk berkeliaran, atau penunggang motosikal yang memilih skuter mempunyai ciri sebuah motosikal pengembaraan, motosikal sport atau untuk tujuan melancong. Ia juga pengangkutan dua roda yang sesuai dengan keperluan penunggang masa kini.
Kali ini pihak ENJIN DOTcom berpeluang merasai sendiri skuter model baharu daripada BMW iaitu C 400 X dan C 400 GT dimana reka bentuk BMW C 400 X lebih kepada aktiviti lasak dan aktif sementara BMW C 400 GT lebih kepada kelincahan di bandar.BMW mengeluarkan 2 model iaitu C 400 X dan C 400 GT yang reka bentuknya adalah sedikit berbeza. Berbalik kepada model BMW C 400 X ini yang kami uji tunggang, abang Mr. Stick akan menunggangnya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan juga sepanjang pantai Morib. Jika kita biasa dengan jenama skuter dari Jepun khasnya, kemungkinan kita akan tertanya kenapa skuter BMW C 400 X ini agak kasar enjinnya. Pada kami ia pada mulanya menganggu fokus semasa menunggang tapi lama kelamaan ia dapat dihadam dengan keasyikan melayan skuter ini. BMW C 400 X ini harus ditunggang secara aktif, bukan terlalu lembut seperti skuter keluaran Jepun. Mungkin BMW ada sebab yang tersendiri membuatnya sedemikian. Semakin jauh jarak perjalanan kita menunggang, baru kita faham karekter sesebuah motosikal itu dan ini adalah penting agar gaya dan tunggangan kita tidak membosankan sepanjang perjalanan. Karakter ini ada pada BMW C 400 X dan GT ini.
Kuasa enjin skuter ini adalah 33.5 bhp (25 kW) pada 7,500 rpm, dengan tork 26 lb-ft (35 Nm) pada 6000 rpm. Ia cukup memadai untuk kegunaan harian dan sesekali bergerak lebih jauh dengan selesa tanpa mengorbankan kelajuan tunganggan anda. Semasa menunggang di sepanjang pesisir pantai Morib hingga ke Bagan Lalang yang ada permukaan jalan raya tidak mendatar, beralun serta kasar, BMW C 400 X ini agak selesa ditunggang. Prestasi BMW C 400 X ini tidak mengecewakan dan boleh menyaingi prestasi skuter bersesaran lebih tinggi yang turut sama menyertai perjalanan Mr. Stick. Jika anda memiliki sebuah superbike di rumah tetapi inginkan sebuah skuter yang agresif, ini adalah pilihannya. Tidak lah anda mengantuk ketika menunggang sebuah skuter yang kebanyakannya terlalu “lembut”.
Penggunaan petrol bagi skuter ini adalah sebanyak 3.5 liter / 100km. Setelah seharian menunggang dengan campuran jalan-jalan di bandar dan sesekali memecut di lebuh raya, komputer on-board melaporkan penggunaan petrol sebanyak 70 mpg. Selepas melakukan beberapa perbandingan dan perbincangan yang teliti, admin harapkan penggunaan bahan bakar ini dapat diperbaiki kerana dengan tangki penuh 12.5 liter Mr.Stick mencatatkan jarak sejauh lebih kurang 320 km… Bagi model BMW C 400 GT, reka bentuknya hampir sama dengan BMW C 400 X kecuali saiz dan rekaannya lebih kemas untuk disesuaikan bagi perjalanan jarak jauh dan antara bandar. Tetapi ruang tempat simpanan di bahagian bawah tempat duduk BMW C 400 X dan GT ini agak kecil berbanding dengan model-model jenama lain. Mungkin BMW mengambil maklum untuk pasaran Asia ini, ruang simpanan barang bagi sebuah skuter adalah penting kerana orang Malaysia khasnya suka bawa segala benda dan simpan segala barang di ruang simpanan barang itu dan ini adalah kenyataan. Jika model BMW C 400 X lebih fokus ke arah adventure dan banyak pilihan aksesori, ia pasti akan menjadi laku keras di pasaran. Menjadi ikutan masa kini, motosikal adventure menjadi pilihan untuk penggemar motosikal untuk melancong. Admin lebih tertarik dengan model GT ini kerana reka bentuknya lebih kemas dan sedap mata memandang. Dari segi prestasi, ia sama sahaja dengan model X. Terpulang kepada selera masing-masing, anda kena mencuba sesuatu yang berlainan dan yang paling penting diharap BMW dapat mengatasi masalah kos penyelenggaran skuter BMW yang dilaporkan terlalu tinggi terutamanya pada model sebelum ini. Skuter telah menjadi model untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan sejenis pengangkutan mudah dan ringkas selain model moped atau cub yang mendominasi pasaran motosikal selama ini. Percayalah, ia menyeronokkan tak kira ke mana tujuan anda menunggang yang pasti skuter anda lain dari yang lain di pasaran kerana ia berjenama BMW.