Sebagai peminat motosikal terutamanya motosikal berkuasa besar (superbike), anda pasti mempunyai impian ingin mencuba atau memiliki sebuah jentera ini terutamanya dari siri keluaran terhad yang memiliki kelebihan dari model siri pengeluaran biasa lebih-lebih lagi jika ia sebuah motosikal dari jenama yang sinonim dengan siri perlumbaan WSBK. Kawasaki mampu mengisi keinginan seperti ini dengan reputasi selaku juara perlumbaan WSBK dan pengeluar motosikal berkuasa tinggi yang paling lama bertahan dan popular di dunia dan Malaysia khasnya. Ramai peminat motosikal mengenali jentera Kawasaki ZX10 dan admin telah diberi kepercayaan untuk menguji tunggang semua model Kawasaki ZX10 sejak daripada ia diperkenalkan hingga model terbaharu dan paling mahal dalam keluarga ZX10 ini iaitu Kawasaki ZX10RR. Model ini hanya dihasilkan sebanyak 500 unit di dunia selain daripada model ZX10SP dan ZX10R di mana model RR adalah yang paling admin tunggu untuk mengujinya. Kawasaki ZX10RR hadir dengan warna hijau Kawasaki yang sekian lama digunakan.
Walaupun ENJIN DOTcom selalu mengenengahkan kenderaan dan kawasan pelancongan dan tempat menarik serta makanan, tunggang uji kali ini agak sukar kerana apabila admin dengan ZX10RR ni je, admin asyik terlepas simpang untuk singgah di tempat-tempat menarik seperti kedai makan dan kawasan percutian. Keseronokan melayan Kawasaki ZX10RR ini membuatkan kita terlupa untuk berhenti! Ia sangat mengasyikkan tambahan lagi jika di sepanjang perjalanan penuh dengan selekoh-selekoh serta jalan yang cantik, pasti anda hampir lupa diri yang anda sebenarnya sedang berada di jalan raya awam. Harus diingat, ini bukan sebuah motosikal yang anda boleh bawa secara santai hingga sempat menoleh sambil tersenyum melihat awek di kiri dan kanan anda. Silap gaya, anda boleh hilang fokus dan berakhir dengan tertiarap di atas jalan raya jika berbuat sedemikian. Jadi, keselesaan adalah bukan keutamaan bagi sebuah motosikal supersport berkuasa ini kerana jentera ini adalah superbike juara yang akan meratah setiap selekoh dan meluncur dengan kelajuan tinggi terutamanya di litar lumba. Tetapi, ini bukan bermakna ia tidak boleh dan tidak sesuai di atas jalan raya biasa tetapi ia memerlukan pengalaman dan kesabaran yang tinggi untuk mengawal sebuah replika juara WSBK ini. Percayalah, walaupun anda seorang yang sudah biasa dengan superbike dan pernah mengunakannya, ini adalah sebuah model yang perlu diberi perhatian serius terutamanya bagi peminat model Kawasaki ZX10 kerana ia adalah RR.
Sebagai seorang penunggang yang sudah lama menunggang pelbagai jenis motosikal, admin perlu berusaha supaya sedar untuk tidak menyentuh klac seperti biasa apabila menukar gear. Tetapi dengan Kawasaki ZX10RR ini ia terasa semula jadi terutamanya dalam persekitaran jalan raya terbuka dan tiada kenderaan yang banyak dimana admin berpeluang untuk bermain gear dengan bantuan quickshifter. Amat menyeronokkan.Kawasaki Ninja ZX10RR ini bukanlah sebuah jentera yang membenarkan kita untuk berjimat dari segi penggunaan petrol. Ia memerlukan bahan api yang lebih kerana keseronokan memulas pendikitnya semaksima yang mungkin melebihi segalanya, hinggalah lampu amaran bahan api menyala membuatkan kita tersedar dari keseronokan memulas pendikit raksasa hijau ini.
Ada sebab kenapa Ninja ini memenangi banyak ujian trek dan siri perlumbaan dunia. Casis nya dibangunkan hasil daripada sumbangan kejuaraan Jonathan Rea dan casis ini juga adalah kekuatan utama bagi pelumba WSBK Kawasaki. ZX10RR ini juga mempunyai peredam stereng elektronik Öhlins sama seperti pada semua model ZX10R. Brembo monoblock calipers adalah jenis standard dari kilang dan ia tidak mengecewakan pada RR ini. Tiada perubahan ketara pada mana-mana model ZX10R untuk tahun 2019, jadi ia adalah sama dengan generasi terdahulu. Anda tidak boleh menyalahkan ZX10RR yang dilengkapi dengan peralatan terkini kerana ia memiliki setiap gizmo elektronik, seperti launch assist, quickshifter, kawalan daya tarikan, mod kuasa dan ABS. Ya, ia tidak mempunyai penggantungan separa aktif kerana model ini adalah motosikal perlumbaan homologasi dan pelumba pasti tidak mahu unit sistem gantungan separuh aktif dan menukarnya kelak. Enjin dengan sejukan cecair berkapasiti 998cc, DOHC 16 injap menghasilkan kuasa 201.1 bhp (150 kW) pada 13,500 rpm (211 bhp pada 13,500 rpm dengan sistem udara RAM diaktifkan) dan tork 85.4 ft lb (115.7 Nm) pada 11,000 rpm. Kelajuan tertinggi yang dianggar mampu dicapai oleh jentera ini ialah 297.6 km/j (boleh je lebih lagi sebenarnya). Tangki bahan api Kawasaki ZX10RR ini berkapasiti 17 liter dan penggunaan bahan api secara puratanya ialah 3.8 liter bagi setiap 64 kilometer.
Jadi bagi setiap isian penuh bahan api mampu membawa jentera ini sejauh 286 kilometer sebelum isian seterusnya. Ciri-ciri lain yang terdapat pada Kawasaki ZX10RR ini ialah sistem kawalan cengkaman lima peringkat, sistem ABS, quickshifter, mod kuasa tiga peringkat dan sistem kawalan brek enjin (engine braking). Suspensi hadapan dengan fork terbalik bersaiz 43 mm dari Showa dengan ciri mampatan dan redaman boleh laras dan suspensi belakang juga dari Showa jenis BFRC monoshock gas dengan fungsi mampatan dan redaman boleh laras juga. Dari segi keselamatan, Kawasaki ZX10RR dilengkapi dengan brek hadapan dari Brembo M50 4-piston, angkup radial dengan dwi cakera bersaiz 330 mm sementara brek belakang dengan cakera 220 mm angkup piston tunggal. Kawasaki ZX10RR dengan berat lebih kurang 206 kilogram dipadankan dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP 120/70 ZR17 untuk roda hadapan manakala Pirelli Diablo Supercorsa 190/55 ZR17 untuk roda belakangnya. Mantap.