BMW Malaysia Memperkenalkan BMW 7 Series yang Baharu

Kuala Lumpur, 11 Julai 2019 – BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW 7 Series yang baharu yang terangkum dalam portfolio sedan mewah milik mereka pada hari ini. BMW 7 Series terbaharu yang merupakan sebuah prestij jenama BMW hadir dalam bentuk BMW 740Le xDrive melalui varian ‘Pure Excellence’.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia mengulas, “Interpretasi BMW Group terhadap konsep kemewahan moden dan progresif bukan sahaja menyentuh hasil kesenian serta perincian yang bermutu, malah ia menyingkap konotasi yang lebih bermakna daripada itu. Inovasi dan pesona bertaraf tinggi yang disaksikan berjaya memacu segmen automotif mewah, dan kami membawakan sebuah simbol kemewahan yang abadi dalam bentuk BMW 7 Series yang baharu, ia bakal menaikkan standard dalam aspek prestij, keanggunan, keselesaan, prestasi sport yang mengagumkan – dan  yang paling utama, pemahaman mengenai konsep premium yang berkait rapat dengan elemen kelestarian. BMW 740Le xDrive Pure Excellence yang baharu menonjolkan karakteristik yang dinyatakan ini dan ia menzahirkan Kenikmatan Pemanduan Elektrik yang tulen.”

Ambi turut menyatakan bahawa barisan kenderaan sedan mewah tersebut akan dipasang di peringkat tempatan, ia sejajar dengan komitmen berterusan BMW Group Malaysia untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, justeru menekankan peranan negara ini sebagai hab untuk BMW Group di rantau Asia Tenggara.

Merentasi kesemua enam generasi BMW 7 Series, sekitar 2 juta unit berjaya diserahkan di seluruh dunia, dan angka tersebut kian meningkat. Tersohor sebagai penular trend, sedan mewah ini telah mempelopori pelbagai inovasi dunia – contohnya sistem navigasi pertama yang diintegrasikan di dalam kereta dan sistem perintis iDrive.

Dari segi viual, BMW 7 Series yang baharu hadir dengan karakter yang mantap serta pesona yang tersendiri, sementara strategi pengoperasian canggih yang tersirat membawakan dinamik dan efisiensi yang tiada tolak bandingannya. Kenderaan elektrik hibrid ‘plug-in’ atau Plug-In Hybrid Electric Vehicle (PHEV) generasi baharu ini boleh dipandu menggunakan kuasa elektrik sahaja di kawasan bandar mahupun desa. Motor elektrik yang memiliki kuasa mencecah 113 kk (kuasa kuda) berkenaan memberikan jentera ini jarak pemanduan elektrik sejauh 46 kilometer. Sistem pacuan semua roda yang pintar menjamin cengkaman yang lebih baik, kestabilan berarah yang optimum, serta kelincahan membelok yang lebih cemerlang dalam apa jua kondisi jalan raya dan cuaca. Distribusi kuasa yang sempurna antara roda hadapan dan belakang memberikan BMW 7 Series terbaharu ini daya pemecutan yang amat dinamik.

Keupayaan cemerlang digandingkan dengan reka bentuk luar biasa.

Untuk membuahkan penampilan yang lebih berprestij, bahagian eksterior jentera baharu ini merangkapkan bahasa kemewahan elit. Gril ‘kidney’ yang besar dan menegak dengan bidai aktif (active shutters) dilengkapkan lagi oleh bingkai BMW yang bersaiz 95 mm dalam diameter, berbanding iterasi terdahulu yang berukuran 82 mm. Walaupun apron hadapan tidak lagi didatangkan dengan lampu kabus, ‘headlight´ atau lampu hadapan baharu yang lebih langsing dan memanjang dengan teknologi cahaya laser kini diterapkan sebagai ciri reka bentuk model-model BMW mewah. Seksyen bawah apron hadapan juga memiliki ruang udara yang besar merentasi salur udara luar, pertama buat BMW yang memperlihatkan peralihan udara dibawa masuk ke saluran udara brek serta tirai udara (Air Curtain).

Aspek baharu yang dibangunkan di bahagian sisi ialah liang udara, ‘Air Breather’ yang hampir vertikal sepenuhnya terletak di belakang arkus (arch) roda hadapan. Di samping itu, jarak roda (wheelbase) yang lebih panjang serta ukiran garisan yang tersendiri juga memberikan jentera ini sebuah penampilan yang gah dari sisi. Liang udara yang diintegrasikan pada panel sisi juga kini lebih mengunjur ke bahagian atas, lantas mengoptimumkan lagi saliran udara menerusi seksyen arkus roda. BMW 7 Series yang baharu turut menampilkan set roda aloi ringan 19″ dalam penggayaan ‘Double-spoke’ 630 dwiwarna dengan tayar bercampur.

Garisan horizontal yang tampak lebih megah sepanjang tubuh belakang jentera ini memperlihatkan kelebarannya, memukau walaupun dilihat dari jauh. Kemasan pada komponen paip ekzos pula kini menampilkan trim krom yang khusus. Lampu belakang LED yang lebih langsing sebanyak 35 mm digandingkan dengan strip lampu 6 mm – iluminasi berkualiti tinggi dijamin sepanjang hari. Untuk menonjolkan lagi karakternya, sekuen animasi lampu belakang yang istimewa dapat dilihat setiap kali kereta tersebut dikunci atau dibuka. Melalui modifikasi di seksyen hadapan dan belakang, jentera ini bersaiz 23 mm lebih panjang dan memiliki jarak roda bersaiz 3,210 mm.

Teras yang kukuh, dinamik pengendalian cemerlang.

BMW 740Le xDrive Pure Excellence baharu diterajui menggunakan kuasa yang disumbangkan oleh enjin petrol dan motor elektrik. Nadi kenderaan ini ialah enjin petrol enam silinder berkapasiti tiga liter dengan output tertinggi berjumlah 210 kW/286 kk. Motor elektrik canggih yang melengkapi kenderaan ini pula menyumbang output tambahan sebanyak 83 kW/113 kk. Terletak di bawah tempat duduk belakang, bateri ion litium dengan teknologi sel bateri yang tercanggih serta kapasiti penstoran yang lebih baik membolehkan BMW 740Le xDrive Pure Excellence ini dipandu sejauh 46 kilometer dengan menggunakan tenaga elektrik sahaja. Kelajuan tertinggi dalam mod pemanduan elektrik ialah 140 km/j.

Tambahan lagi, jentera hibrid ‘plug-in’ ini hadir dengan fungsi rangsangan elektrik yang menyumbang kepada daya pemecutan yang lebih tinggi. Apabila Kawalan Pengalaman Pemanduan (Driving Experience Control) ditetapkan dalam mod Sport, BMW 740Le xDrive Pure Excellence yang baharu mampu mengecapi output sistem keseluruhan yang berjumlah 290 kW/394 kk. Sedan mewah ini berupaya untuk membuat pecutan dari sifar ke seratus hanya dalam masa 5.1 saat dan penggunaan bahan api gabungannya berjumlah 2.8 liter bagi setiap 100 km, serta emisi karbon gabungan yang berjumlah 65 g/km.

Selain itu, transmisi Steptronic lapan kelajuan membekalkan kuasa yang menakjubkan kepada sistem pacuan jentera ini. Transmisi tersebut diintegrasikan secara pintar dengan sistem navigasi, kamera serta sensor radar, membolehkan sistem mula/henti dan fungsi luncur (coasting) digunakan secara efisien. Fungsi luncur yang pintar ini menghindari potongan (cut-off) enjin yang tidak efisien. Di samping itu, motor elektrik juga diintegrasikan sepenuhnya dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan tersebut – ia memastikan pemanduan elektrik yang tulen, fungsi rangsangan elektrik serta pemulihan tenaga pembrekan berada di tahap keefisienan yang tinggi.

BMW 740Le xDrive Pure Excellence menetapkan tanda aras baharu dalam perihal keselesaan dan pengalaman pemanduan rentetan daripada penggunaan reka bentuk casis yang lebih canggih. Ia mengguna pakai campuran aluminium, keluli berkekuatan tinggi dan struktur badan yang memanfaatkan elemen pengukuhan magnesium dan karbon (Teras Karbon atau “Carbon Core”).

Rangkaian sistem inovatif dirumus untuk keselamatan dan keselesaan.

BMW 7 Series terbaharu hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemandu yang menawarkan ciri keselamatan dan keselesaan yang maksimum di atas jalan raya. Pelbagai sistem bantuan pemandu yang terangkum dalam BMW Personal CoPilot kini disinambungkan dengan kelengkapan standard seperti kamera dan radar yang digunakan untuk mengesan pejalan kaki di kawasan sekeliling, malah kini, ia juga mampu mengesan penunggang basikal.

Sedan mewah ini turut dilengkapi dengan sistem Bantuan Mengelak (Evasion Aid) yang menggunakan intervensi stering untuk membantu pemandu mengelak dalam keadaan kecemasan yang memerlukan reaksi segera. Bukan itu sahaja, amaran perentasan trafik dengan fungsi brek yang unik, iaitu ‘Crossroads Warning with City Brake Activation’ memberi indikasi kepada pemandu mengenai kemalangan yang berpotensi untuk berlaku dalam sesuatu kondisi lalu lintas dan ia mempersiapkan brek jentera ini untuk digunakan dengan daya kuasa yang lebih tinggi apabila brek kecemasan dioperasikan. Bantuan Stering dan Kawalan Laluan (Steering and Lane Control Assistant) pula memberi bantuan kepada pemandu untuk menyusuri laluan yang sempit. Tugasan memarkir juga menjadi lebih mudah dengan BMW 7 Series terbaharu yang memberikan Bantuan Parkir (Parking Assistant) dan Bantuan Mengundur (Reversing Assistant). Di samping itu, Kunci digital yang dinamakan, BMW Digital Key turut menawarkan kemudahan kepada pengguna – ia boleh digunakan menerusi peranti mudah alih Android yang terpilih untuk mengakses jentera alaf baharu ini.

Akustik interior yang mengagumkan.

Elemen kemewahan yang diserlahkan di bahagian luar juga dicerminkan dari sudut dalam. Tampil dengan ruang kokpit yang diubah suai bersama komponen paparan dan kawalan yang membawakan rekaan baharu, bahasa reka bentuk interior jentera ini benar-benar luar biasa jika dibandingkan dengan kenderaan lain dalam kelas seumpamanya.

Sedan mewah ini turut memanfaatkan akustik interior yang ditambah baik lanjutan daripada penggunaan penebat bunyi hingar di bahagian arkus roda belakang serta elemen kalis bunyi yang optimum diterapkan pada tiang B (B-pillar) jentera berkenaan. Ia meminimumkan jumlah bunyi hingar yang dihasilkan oleh tayar serta udara yang memasuki ruang kabin ketika memandu yang boleh membantutkan tahap keselesaan pengguna kenderaan ini. Satu lagi aspek keselesaan dan kemudahan diperlihatkan melalui tempat letak peranti mudah alih yang baharu, ia mempunyai keupayaan pengecasan tanpa wayar untuk peranti-peranti yang tertentu dan boleh diakses dengan mudah kerana ia terletak di posisi yang sesuai dalam capaian tangan pemandu.

Dilengkapi dengan stereng sport yang bergaya serta panel instrumen dalam kemasan kulit yang lembut, keanggunan BMW 7 Series turut diserlahkan dengan trim kayu halus ‘Poplar Grain Grey’, disinambungkan dengan material bumbung ‘Alcantara’ dan upholsteri dalam kemasan ‘Nappa Leather’. Tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik juga didatangkan dengan fungsi mengurut untuk penumpang di belakang. Selain itu, penumpang kereta ini juga dapat mengintai pemandangan luar menerusi bumbung kaca Panoramik – ‘Sky Lounge’ yang terletak di bahagian atas kenderaan ini. Sistem penyaman udara automatik empat zon turut disediakan, berserta dengan tirai gulung dan sistem Pengalaman Hiburan (Entertainment Experience) di ruang tempat duduk belakang. Pada masa yang sama, para penumpang dapat merangsang deria pendengaran mereka dengan Sistem 16 Pembesar Suara Bunyi Keliling Harman Kardon.

Aksesibiliti canggih dengan ConnectedDrive.

BMW Live Cockpit Professional dengan sistem operasi, BMW Operating System 7.0 yang ditawarkan sebagai standard diserlahkan dengan strukturnya yang jelas serta paparan skrin yang boleh dikonfigurasikan oleh pengguna.  BMW Live Cockpit Professional menggabungkan kluster instrumen digital 12.3 inci serta Paparan Kawalan (Control Display) sentral 10.25 inci dengan fungsi skrin sentuh. Pemandu mempunyai lima kaedah input untuk mengawal fungsi-fungsi kenderaan: butang stereng, ‘iDrive Controller’, Paparan Sentuh (Touch Display), Kawalan Suara (Voice Control) serta Kawalan Gestur (Gesture Control). Melalui pengintegrasian fungsi navigasi ke dalam ‘Info Display’, Paparan Kawalan sentral kini dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya ke atas aspek maklumat hibur dan fungsi-fungsi kenderaan yang lain. Kawalan Gestur yang inovatif telah dikemas kini untuk mengesan setiap pergerakan jari dan boleh membezakan tujuh pergerakan tangan. Sedan mewah ini turut dilengkapi dengan ‘Connected Package Professional’ yang menawarkan perkhidmatan seperti Servis Jarak Jauh (Remote Services), Servis Rencam (Concierge Services), ‘Apple CarPlay’ dan Kefungsian Pintar (Intelligent Functions).

BMW 7 Series yang baharu akan didatangkan dengan BMW Intelligent Personal Assistant sebagai standard dalam tetapan sistem maklumat hibur yang disediakan. Fungsi tersebut merupakan pembantu digital peribadi yang berciri adaptif, ia dapat diaktifkan dengan menggunakan suara dan pengguna boleh menghidupkannya melalui sebutan perkataan tertentu. Sebagai pakar kenderaan, BMW Intelligent Personal Assistant menyampaikan informasi berkenaan dengan kefungsian dan status jentera ini serta menawarkan bantuan navigasi dan hiburan. Sistem tersebut juga boleh digunakan untuk mengawal fungsi ‘Caring Car’ yang baharu, ia merangkumi program ‘Vitalize’ dan ‘Relax’ yang akan mengaktifkan secara automatik fungsi-fungsi kenderaan seperti penyaman udara, pencahayaan, kerusi urut dan muzik yang dirumus untuk menyegarkan atau menenangkan pemandu. Dua mod turut disediakan untuk menyesuaikan ambien bahagian interior mengikut mood pemandu, iaitu mod ‘Executive’ dan ‘Expressive’.

BMW 7 Series yang baharu ditawarkan dalam empat warna elegan – putih (Mineral White), hitam (Black Sapphire), kelabu (Bernina Grey) dan biru (Imperial Blue). Warna-warna tersebut boleh digandingkan dengan upholsteri bermaterialkan ‘Black Nappa Leather’ atau ‘Cognac Nappa Leather’. BMW 740Le xDrive Pure Excellence baharu akan tersedia di semua premis wakil pengedar BMW yang bertauliah di Semenanjung Malaysia bermula Jumaat, 19 Julai 2019 dan 26 Julai 2019 di Sabah dan Sarawak.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 7 Series yang terbaharu boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 6,788.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik BMW 7 Series terbaharu dapat menikmati pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia meliputi:

  • Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran dan servis ‘Run Flat Tyre’
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Anggaran harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan bersama penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW 740Le xDrive Pure Excellence yang terbaharu ialah:

BMW 740Le xDrive Pure Excellence yang Baharu – RM 594,800.00