Kuala Lumpur, 22 Jun 2019 – BMW Motorrad Malaysia membawakan penambahan baharu dalam portfolio motosikal premium yang dimiliki olehnya pada hari ini dengan barisan jentera BMW F 850 GS Adventure, BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia yang memperkenalkan motosikal-motosikal premium ini mengulas, “BMW Motorrad telah memahat tanda aras yang baharu bagi motosikal-motosikal premium yang berkeupayaan untuk membuat penunggangan dan penjelajahan yang lasak, iaitu barisan jentera motosikal yang sinonim dengan jiwa pengembaraan. Pelancaran siri jentera, BMW Motorrad F Series dan BMW Motorrad R Series telah mencetuskan konsep reka bentuk inovatif yang baharu dan benar-benar Menjadikan Hidup Sebuah Pengembaraan (Make Life A Ride) buat para pemilik motosikal kami.”
Tambah Hoelzl lagi, BMW Motorrad Malaysia berjaya menyerahkan lebih daripada 2,000 unit motosikal kepada pemilik-pemilik baharu sepanjang dua tahun yang lalu, dan hampir 500 daripadanya dibuat dalam pertengahan pertama tahun 2019.
Sementara itu, Owen Riley, Ketua BMW Motorrad Malaysia berkata, “Model GS Adventure dikenali dengan daya pemacuannya yang dipercayai, berkuasa tinggi dan tersendiri dalam aspek tunggangan dinamik, tidak kira apa jua permukaan jalan yang diharungi. Hari ini, kami memperkenalkan BMW F 850 GS Adventure, BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure, dan kami berbangga untuk mempersembahkan iterasi enjin terbaharu yang canggih serta keupayaan tunggangan luar jalan (off-road) jentera motosikal premium kami dalam segmen kembara kelas pertengahan.”
Dirumus untuk membawakan prestasi yang tertumpu serta kadar efisiensi yang tinggi, BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure hadir dengan enjin ‘Boxer’ canggih bersama BMW ShiftCam Technology yang meningkatkan daya penyesaran enjin tersebut untuk menzahirkan tahap prestasi yang lebih baik. Berasaskan karakter dinamik dan ‘off-road’ yang membentuk BMW F 850 GS, BMW F 850 GS Adventure menyerlah dengan keupayaan penjelajahan serta kelasakan yang bertaraf tinggi, tunggangan dinamik serba ‘sporty’ dan kualiti ‘off-road’ yang lebih mengagumkan.
Model-model baharu ini diperkenalkan pada acara BMW Motorrad Night Fuel 2019 di Lapangan Terbang Sempang, sebagai kejutan kepada para peminat motosikal yang hadir. Pengunjung juga disajikan dengan persembahan-persembahan menarik daripada kumpulan artis yang berbakat seperti TC Buskers, Arjuna Band serta persembahan istimewa daripada seorang Legenda Rock Malaysia, iaitu Amy dari Search band.
BMW F 850 GS Adventure Terbaharu: Jentera enduro jelajah buat sang pengembara.
MW F 850 GS Adventure menampilkan reka bentuk tubuh yang maskulin. Cermin hadapannya yang lebih besar boleh dilaraskan melalui dua aras, sementara komponen pelindung tangan memberikan tahap perlindungan angin dan cuaca yang lebih tinggi. Jentera dengan saiz cc sederhana ini juga hadir dengan cabang teleskopik (telescopic fork) bersertakan lengan ayun dwisisi aluminium (aluminium double-sided swinging arm) dengan sangga spring sentral (central spring strut) untuk menawarkan maklum balas yang lebih sensitif di atas jalan. Penambahan lain yang dibuat ke atas motosikal tersebut merangkumi lampu hadapan LED serta ciri keterhubungan yang menyeluruh menerusi kluster instrumen multifungsi yang menampilkan skrin warna TFT bersaiz 6.5 inci.
Aspek ergonomik jentera BMW F 850 GS Adventure juga dioptimumkan, terutamanya untuk tunggangan luar jalan raya. Para pemilik boleh meletakkan kepercayaan ke atas komponen letak kaki enduro yang kini lebih lebar, tuil penukar gear serta brek yang boleh dilaras untuk menjamin tunggangan yang menyelesakan. Kesemuanya hadir sebagai penawaran standard bersama palang pelindung enjin dan kompartmen muatan yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Tangki bahan api jentera ini pula diletakkan di posisi klasik di antara tempat duduk dan kepala motosikal berkenaan untuk mewujudkan pusat graviti yang lebih baik.
BMW F 850 GS Adventure mempersembahkan enjin sebaris dua silinder berkuasa tinggi yang dijuruterai semula untuk menyampaikan peningkatan yang signifikan dari segi kuasa dan tork jentera ini. Kadar penyesaran enjin tersebut kini berjumlah 853 cm3, rentetan daripada penggunaan gerek (bore) yang bersaiz 84mm, dan lejang (stroke) bersaiz 77 mm. Jentera baharu ini mampu menjana 95 kk (kuasa kuda) pada tahap 250 rpm, serta puncak tork berjumlah 92 Nm pada tahap 250 rpm untuk menzahirkan prestasi enjin yang luar biasa, kesinambungan antara semua elemen ini dapat menjana kelajuan tertinggi mencecah 197 km/j. Kepala silinder yang melengkapi BMW F 850 GS Adventure mengandungi dua aci sesondol overhed berputar (rotating overhead camshafts) yang dipacu oleh tali sawat bergigi, ia mengoperasikan empat injap lengan jumpelang (rocker arm) untuk setiap silinder.
Aci engkol (crankshaft) enjin tersebut juga kini hadir dengan ofset cemat engkol (crankpin offset) 90 darjah serta jarak pembakaran 270/450 darjah untuk membuahkan profil bunyi serba emotif dan berkuasa tinggi. Getaran yang berlaku sewaktu menunggang juga dapat diserap oleh dua aci pengimbang enjin baharu ini. Bukan itu sahaja, transmisi kuasa BMW F 850 GS Adventure turut dinaik taraf. Struktur pacuan utama di sebelah kanan enjin ini bertanggungjawab untuk memindahkan tork dari aci engkol ke bahagian klac menerusi gear taji (spur gears). Ia kini dirumus semula sebagai klac yang bercirikan ‘self-amplifying’ dan ‘anti-hopping’ (klac basah atau “wet clutch”) yang menjurus kepada pengurangan tork ‘drag’ enjin tersebut secara signifikan.
Transmisi kuasa disumbangkan oleh kotak gear enam kelajuan terbaharu yang kini diletakkan di sebelah kiri motosikal tersebut. Ia menyampaikan tork dengan sebaran nisbah transmisi yang dioptimumkan kepada komponen pacuan sekunder yang terletak di sebelah kiri, dalam bentuk rantai gelung X. Menerusi kedudukan pacuan sekunder di kiri, sistem ekzos BMW F 850 GS Adventure kini dialihkan ke bahagian kanan untuk mengoptimumkan keselesaan penunggang.
Tahap keselamatan yang tinggi pula disumbang oleh mod tunggangan “Rain” (Hujan) dan “Road” (Jalan Raya) sebagai penawaran standard, lengkap dengan Sistem Pembrekan Antikunci (ABS) BMW Motorrad dan Kawalan Stabiliti Dinamik (“Automatic Stability Control” atau “ASC”). Dalam mod “Rain”, maklum balas pendikit (throttle) dikonfigurasikan untuk menjadi lebih halus, manakala dalam mod “Road”, enjin jentera ini membenarkan maklum balas pendikit yang lebih optimum. Sistem kawalan ABD dan ASC pula dikonfigurasikan untuk prestasi yang ideal dalam semua kondisi jalan.
Berkenaan dengan suspensi, kerangka perangkai keluli (steel bridge frame) yang baharu dalam bentuk monokok (monocoque) pada jentera ini meningkatkan tahap keteguhannya serta kejituan untuk aspek tunggangan. Ia juga mengintegrasikan enjin sebaris dua silinder sebagai elemen sokongan, dan bermanfaat dari segi penawaran keteguhan kilasan (torsional rigidity). BMW F 850 GS Adventure dapat memuatkan kapasiti bahan api berjumlah 23 liter yang boleh digunakan untuk tunggangan dalam jarak melebihi 550 km.
Jentera baharu ini juga didatangkan dengan set roda ‘cross-spoke’ bersama gelung rim aluminium, ia bersaiz 2.15 x 21 di hadapan, dan 4.25 x 17 di belakang. Jentera kembara tersebut turut dilengkapi dengan set tayar ‘enduro street’ sebagai standard dan tersedia dalam penggayaan ‘Rallye’ untuk pasaran Malaysia.
Dipacu oleh prestasi: BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure Terbaharu.
Motosikal kembara baharu ini dirumus untuk menawarkan keterujaan yang tiada tolak bandingannya dengan elemen-elemen berkualiti tinggi yang menyerlahkan keterampilan ikonik GS. Keupayaan ‘off-road’ jentera berkenaan dipersembahkan melalui elemen tubuh badannya yang direka semula, serta skim-skim warna yang tersendiri. Lampu hadapan LED dan lampu Tunggangan Waktu Siang (Day Time Riding) ditawarkan secara standard buat kedua-dua model ini.
Powertrain motosikal tersebut yang disadur dalam warna matte hitam membuahkan penampilan yang serba sempurna bersama kerangka utama yang hadir dalam warna matte metalik ‘Agate Grey’, serta kerangka belakang dan tiub bar hendal berwarna hitam. Di samping itu, pemegang trim di seksyen hadapan diwarnakan matte hitam, serta pelindung tangan juga hadir dengan warna hitam. Set roda ‘cross-spoke’ dalam warna hitam yang sama turut menyumbang kepada penampilan maskulinnya. Ia kini didatangkan dengan sistem ekzos dalam bentuk paip ekzos bersadur krom yang menawarkan kadar output dan tork yang optimum dengan BMW ShiftCam Technology.
Pemilik BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure baharu ini juga boleh kekal terhubung sambil menunggang menerusi kluster instrumen multifungsi dengan skrin warna TFT bersaiz 6.5 inci yang ditawarkan sebagai standard. Bantuan yang lebih canggih juga hadir dalam bentuk tunggangan tanpa kunci menerusi BMW Keyless Ride, berserta Kawalan Luncur (Cruise Control) yang disediakan sebagai standard.
Kedua-dua jentera kembara berkenaan turut menawarkan dua mod tunggangan – “Rain” dan “Road”, ASC dan Kawalan Permulaan Curam (Hill Start Control) sebagai standard. Ia juga lengkap dengan Electronic Suspension Dynamic ESA “Generasi Baharu” dengan kompensasi muatan automatik sepenuhnya (fully automatic load compensation). Sebagai tawaran pilihan, Riding Modes Pro menampilkan mod tunggangan tambahan, Kawalan Cengkaman Dinamik (“Dynamic Traction Control” atau “DTC”), ABS Pro, Hill Start Control Pro dan Bantuan Brek Dinamik (“Dynamic Brake Assistant” atau “DBC”). Terutamanya ketika membelok, DTC membolehkan pecutan yang lebih efisien dan selamat dibuat, sementara ABS Pro menawarkan tahap keselamatan pembrekan yang tinggi. DBC yang baharu juga menawarkan tahap keselamatan pembrekan yang lebih baik dalam situasi tunggangan mencabar dengan mengelakkan pengaktifan pemecutan yang dibuat tanpa sengaja oleh penunggang.
Enjin ‘boxer’ empat lejang dua silinder dengan penyejukan udara/cecair telah diperkayakan dengan BMW ShiftCam Technology pada kedua-dua jentera BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure yang membolehkan ia mencapai tahap kuasa dan tork yang luar biasa. Enjin baharu tersebut juga membawakan kadar emisi dan penggunaan bahan api yang lebih baik, lengkap dengan profil bunyi yang memuaskan. Variasi pemasaan injap (valve timings) dan lejang injap (valve stroke) di bahagian salur masuk juga dapat dibuat menerusi BMW ShiftCam Technology. Tambahan lagi, aci sesondol salur masuk jentera-jentera ini dirumus untuk pembukaan asinkroni pada kedua-dua injap salur masuk berkenaan, lantas menzahirkan daya pembakaran yang lebih efektif. Shift Assistant Pro ditawarkan sebagai standard untuk membolehkan penukaran gear dibuat tanpa menggunakan klac atau injap pendikit. Sistem RDC dengan pemantauan tekanan tayar juga disediakan untuk kedua-dua model.
Kapasiti BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure turut ditingkatkan kepada 1,254 cc. Kini ia memiliki output berjumlah 136 kk pada tahap 7,750 rpm dan puncak tork mencecah 143 Nm pada tahap 6,250 rpm. BMW R 1250 GS Adventure dapat dipandu pada tahap kelajuan tertinggi yang berjumlah lebih daripada 200 km/j, manakala pendampingnya, BMW R 1250 GS pula mampu mencecah 200 km/j. Kedua-dua jentera kembara ini hanya menggunakan bahan api berjumlah 4.75 liter bagi setiap 100 km.
Tidak seperti model-model yang terdahulu, BMW R 1250 GS dan BMW R 1250 GS Adventure memiliki sistem sensor injakan (knock sensor system) yang hadir dengan dua unit sensor. Maka, bahan api dengan rating kurang daripada RON95 boleh digunakan – amat bermanfaat untuk perjalanan jauh di kawasan-kawasan yang terpencil. Kedua-dua motosikal ini juga dilengkapi dengan kawalan enjin digital baharu yang dinamakan BMW-O. Ciri-ciri utamanya ialah injeksi berturutan penuh (fully sequential injection), tata atur (layout) yang kompak dan beratnya yang rendah. Proses karburasi pula dilakukan oleh sistem injeksi bahan api elektronik menerusi badan pendikit dengan kelebaran pembukaan bersaiz 52 mm. Injeksi dibuat menerusi injap injeksi dwijet (twin-jet injection valves) baharu yang memberikan kadar emisi yang lebih baik, iaitu sebanyak 110 g/km.
BMW R 1250 GS terbaharu akan tersedia dalam dua varian, HP (Style HP) dan Eksklusif (Style Exclusive), manakala BMW R 1250 GS Adventure terbaharu pula boleh didapati dalam varian ‘Ice Grey’ dan HP (Style HP).
Perkhidmatan Pembiayaan.
Menerusi Pelan Pembiayaan yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW F 850 GS Adventure terbaharu bermula daripada RM 1,080.00 setiap bulan, BMW R 1250 GS terbaharu bermula daripada RM 1,420.00 setiap bulan, dan BMW R 1250 GS Adventure terbaharu bermula daripada RM 1,530.00 setiap bulan. Angka yang dinyatakan ini adalah berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun.
Harga jualan (di atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) barisan motosikal BMW Motorrad yang terbaharu ialah:
BMW F 850 GS Adventure Terbaharu : RM 88,500.00
BMW R 1250 GS Terbaharu : RM 116,500.00
BMW R 1250 GS Adventure Terbaharu : RM 125,500.00
BMW R 1250 GS Adventure HP Terbaharu : RM 127,500.00