Enjin Harley-Davidson® Milwaukee-Eight™, yang ke-sembilan dalam susur galur enjin Big-Twin ikonik syarikat berkenaan, menawarkan lebih banyak kuasa dan pengalaman permotosikalan yang dipertingkatkan buat penunggang dan pembonceng, di samping mengekalkan rupa bentuk, bunyi, serta keseronokan pendahulunya. Dengan reka bentuk yang serba baharu, enjin Milwaukee-Eight ini menawarkan tindak balas pendikit yang lebih pantas, kuasa untuk memintas yang lebih tinggi, bunyi yang lebih tulus sejati, penunggangan yang lebih lancar dan perasaan yang diinginkan oleh seorang penunggang daripada sebuah enjin motosikal Touring Harley-Davidson.
“Falsafah utama di sebalik enjin Milwaukee-Eight ini adalah hasil dari kajian pengguna kami dari seluruh pelusuk dunia,” ujar Scott Miller, Naib Presiden Penggayaan dan Strategi Pembangunan Produk Harley-Davidson. “Para penunggang telah meminta kami untuk mencipta sebuah enjin baharu bagi mempertingkatkan lagi pengalaman motosikal Touring mereka dari segenap sudut. Suara yang sama ini juga meminta kami untuk kekal setia kepada warisan kami dan menghormati elemen yang menjadikannya sebuah enjin Harley-Davidson V-Twin. Ianya satu tugas yang mencabar, yang mana telah kami tangani. Bersama dengan enjin Milwaukee-Eight ini, satu era kuasa, prestasi, dan inovasi Harley-Davidson yang baharu telah ditempa.”
Enjin Milwaukee-Eight yang baharu ini akan menjana ke semua model motosikal Trike dan Touring Harley-Davidson 2017 ke atas. Enjin Milwaukee-Eight ini akan disediakan dalam dua kapasiti dan tiga variasi:
Milwaukee-Eight 107/114 (107 CID, 1745cc/114 CID, 1870cc) dilengkapi dengan kepala silinder jitu sejukan minyak pelincir bagi model Street Glide® Special, Road Glide Special®, Road King®, dan Freewheeler®.
Twin-Cooled™ Milwaukee-Eight 107/114 (107 CID, 1745cc/114 CID, 1870cc) dilengkapi dengan kepala silinder sejukan cecair bagi model Ultra Limited/Ultra Limited Low, Road Glide® Ultra, dan Tri Glide® Ultra.
Twin-Cooled Milwaukee-Eight 117 (117 CID, 1923cc) dilengkapi dengan kepala silinder sejukan cecair bagi model CVO™ Limited, dan CVO™ Street Glide®.
Lebih Kuasa
Setiap enjin Milwaukee-Eight menghasilkan 10 peratus lebih daya kilas berbanding enjin yang digantikannya dalam rangkaian Touring (berbeza bagi setiap model). Di samping penambahan kapasiti, enjin Milwaukee-Eight ini didatangkan dengan nisbah pemampatan yang lebih tinggi dan kepala silinder empat-injap dengan 50 peratus lebih masukan udara dan kapasiti aliran ekzos. Penyambung injapnya tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian kerana reka bentuk bagi palang penggoyangnya membolehkan pengikat injapnya dipasang di kilang sepanjang hayat. Palam pencucuh berganda bagi setiap silinder menyumbang kepada pembakaran yang lebih efisien. Aci sesondol pacuan rantai tunggalnya lebih ringan, secara mekanikalnya lebih ringkas, dan menghasilkan geseran dan bunyi yang lebih rendah.
“Enjin Milwaukee-Eight mengekalkan reka bentuk V-Twin 45-darjah Harley-Davidson yang klasik,” ujar Alex Bozmoski, Ketua Jurutera Powertrain Harley-Davidson, yang mengetuai pasukan pembangunan. “Ia juga turut mengekalkan perwatakan kuasa yang merupakan warisan sebenar Big-Twin Harley-Davidson: daya kilas tahap rendah yang kuat dengan lengkung kuasa datar dan luas sepanjang tahap pertengahan, sesuai bagi penunggang motosikal Touring.”
Pemecutan Lebih Pantas
Enjin Milwaukee-Eight baharu ini mempunyai berat yang sama seperti enjin yang digantikannya, jadi, keseluruhan kuasa tambahannya menyumbang terus kepada peningkatan prestasi pemecutan.
- Enjin Milwaukee-Eight 107 memecut 11 peratus lebih pantas bagi 0-60 batu sejam, bersamaan dengan peningkatan antara dua hingga tiga jarak motosikal, dan 11 peratus lebih pantas dari 60-80 batu sejam dalam gear tertinggi, bersamaan dengan peningkatan antara satu hingga dua jarak motosikal, berbanding dengan enjin Twin Cam High Output 103.
- Enjin Milwaukee-Eight 114 memecut 8 peratus lebih pantas bagi 0-60 batu sejam dan 12 peratus lebih pantas bagi 60-80 batu sejam, berbanding dengan enjin Twin Cam 110™.
Pengurusan Haba
Enjin Milwaukee-Eight menawarkan keselesaan termal yang dipertingkatkan buat penunggang dan pembonceng atas jasa penyerapan haba yang dikurangkan, penyingkiran haba yang dipertingkatkan, dan sistem ekzos yang direka semula. Setiap enjin Milwaukee-Eight dilengkapi dengan strategi penyejukan jitu berdasarkan keperluan tertentu sesebuah model motosikal, menggunakan aliran tersasar, sama ada pendingin minyak atau cecair pada kawasan terpanas di kepala silinder. Pengesan ‘knock’ baharu bagi setiap silinder membolehkan kawalan pemasaan yang lebih jitu. Paip ekzos belakang telah diubah posisinya dan pemangkin ekzos diubah kedudukannya bagi mengalihkan haba dari pembonceng. Kelajuan melahu direndahkan dari 1,000 rpm ke 850 rpm.
Pemasangan yang Ditambah Baik
Penutup pacuan utama baharu yang lebih langsing dan penutup pembersih udara dengan bentuk berprofil rendah memberikan ruang kaki di sekeliling enjin yang lebih lapang buat penunggang dan capaian yang lebih mudah ke tanah bagi kebanyakan penunggang. Ke semua model yang dijana oleh enjin Milwaukee-Eight dilengkapi dengan klac “Assist-and-Slip” dengan aktuasi hidraulik yang dipertingkatkan yang mengurangkan usaha bagi mengerjakan tuil klac sebanyak7 peratus.
Pengurangan Getaran
Enjin Milwaukee-Eight pautan getah ini didatangkan dengan sebuah pengimbang balas dalaman yang menghapuskan 75 peratus getaran primer sewaktu melahu bagi memberikan perasaan serta pengalaman yang lebih selesa dan mewah buat penunggang dan pembonceng, di samping mengekalkan perwatakan klasik enjin Harley® V-Twin.
Bunyi Ekzos yang Diperkaya
Injap yang lebih ringan, aci sesondol tunggal, reka bentuk penutup yang dioptimakan, serta komponen tali pacuan yang dipertingkatkan menghapuskan bunyi mekanikal ‘powertrain’. Lohong masukan dan pembersih udara enjin direka bagi mengurangkan bunyi udara masukan di samping memastikan aliran udara maksimum. Hasilnya, enjin Milwaukee-Eight baharu ini lebih senyap dari segi mekanikal, memberikannya nota bunyi ekzos yang diperkaya, dan mematuhi ke semua piawaian emisi dan bunyi global dan pada masa yang sama, membenarkan deruman bunyi ekzosnya yang tersendiri itu untuk bergema.
Pengecasan yang Dipertingkatkan
Sistem pengecasan enjin Milwaukee-Eight ini memberikan 50 peratus lebih keluaran kuasa ke bateri ketika dalam keadaan melahu bagi memberikan sokongan yang lebih baik untuk keperluan kuasa seseorang penunggang Touring, termasuklah lampu aksesori, prestasi audio, kelengkapan yang dipanaskan, serta aksesori-aksesori yang lain.
Penggayaan Enjin Baharu
Enjin Milwaukee-Eight ini didatangkan dengan penggayaan yang moden dan kemas, yang memberi kehormatan kepada enjin Big-Twin Harley-Davidson yang terdahulu.
“Enjin Milwaukee-Eight ini digayakan bagi menyerlahkan kuasa,” ujar Brad Richards, Pengarah Penggayaan Harley-Davidson, “Saya bandingkannya dengan bahagian belakang badan seorang perenang, ramping di pinggang namun lebar dan berotot pada bahagian bahu.”
“Penutup penggoyang nampak seperti kulit yang tegang berotot, bagaikan palang penggoyang mahu tersembul keluar dari enjin,” ujar Richards. “Buat pertama kalinya sejak Knucklehead, penutup penggoyangnya mencerminkan apa yang berlaku di sebaliknya. Dan ianya amat besar. Apabila anda melabuhkan punggung atas motosikal itu, anda boleh tunduk ke bawah dan perhatikan dengan lebih teliti enjin ini.” Bagi mengalami sendiri transformasi model Touring Harley-Davidson®, sila layari laman sesawang H-D.com/Touring bagi menjadualkan tunggang uji.