Perodua Bezza Limited Edition diperkenalkan, 50 unit hanya di Malaysia Autoshow 2019
Serdang, 11hb Apr: Perodua telah memperkenalkan Perodua Bezza Limited Edition di Malaysia Autoshow 2019, yang berlangsung bermula hari ini sehingga Ahad.
Acara membuka tirai bagi memperkenalkan model tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, YBhg Datuk Ahmad Suhaimi Hashim.
Acara tersebut turut disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Ignatius Darell Leiking; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) YBhg Dato’ Madani Sahari dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd YBhg Dato’ Dr Zahari Husin.
Terhad kepada 50 unit, Perodua Bezza Limited Edition dibuka untuk tempahan hanya di Malaysia Autoshow 2019 sepanjang empat hari acara itu berlangsung dengan harga RM44,890, atas jalan sebelum insurans.
“Perodua Bezza Limited Edition merupakan model yang menggambarkan personaliti pemilik yang unik dan sporty. Dengan aksesori GearUp yang ekslusif kepada model ini, anda akan lebih menonjol dan menyerlah di khalayak ramai semasa memandu sedan kegemaran Malaysia,” kata Dato’ Dr Zahari.
Berdasarkan Bezza 1.3 Premium X, Perodua Bezza Limited Edition tampil dengan warna luaran Ivory White, kit badan GearUp kemasan hitam matte yang dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang berwarna hitam matte. Model tersebut juga didatangkan dengan bumbung hitam, rim aloi berwarna kelabu gelap, cermin sisi berwarna merah dan pelekat bercorak geometrik pada bonet serta pada bahagian sisi.
Bahagian dalaman Perodua Bezza Limited Edition lebih bergaya dengan penambahan sarung tempat duduk GearUp dengan kemasan jahitan merah, corong udara berwarna merah serta karpet koil GearUp.
“Hanya 50 unit Perodua Bezza Limited Edition akan dikeluarkan, dan ianya hanya boleh ditempah di Malaysia Autoshow 2019 dari 11hb-14hb April di MAEPS. Kunjungi kami di sini dan jadi salah seorang daripada 50 pemilik bertuah model khas ini!” kata Dato’ Dr Zahari.
Perodua Bezza menjadi popular di Malaysia sejak dilancarkan pada 2016, dengan lebih daripada 145,000 unit dijual sehingga kini. Ia merupakan sedan pertama Perodua, dengan bahagian upper body kenderaan yang direka sepenuhnya oleh syarikat tersebut.
“Perodua Bezza kekal menjadi pilihan ramai kerana kecekapan bahan api, kualiti, kebolehpercayaan, ruang dalaman yang luas, praktikaliti, mudah dipandu dan kos pemilikan yang rendah – semuanya dalam satu pakej yang kompak dan berbaloi.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memberi sokongan yang padu kepada Bezza serta model-model kami yang lain. Kami akan terus membuat penambahbaikan untuk menawarkan produk dan pekhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami yang dihargai,” kata Dato’ Dr Zahari.
Kunjungi ruang pameran Perodua di Dewan A, MAEPS pada 11hb-14hb April ini untuk merebut tawaran eksklusif yang merangkumi produk dan perkhidmatannya, serta hadiah wang tunai sehingga RM20,000 secara keseluruhan.