INISIATIF KERETA ELEKTRIK VOLVO

Volvo Cars telah mengambil langkah penting ke arah penghasilan kenderaan elektriknya dengan memperkenalkan enjin elektrik yang dinaik taraf dan serba baharu yang akan diperolehi pada semua barisan model kenderaan Volvo.

Volvo telah menaik taraf enjin ‘plug-in hybrid’ model T8 dan T6 Twin Engine yang sedia ada dan mengesahkan pilihan ‘plug-in’ ini boleh diperolehi pada semua model kenderaan Volvo yang dihasilkan.

Volvo juga akan memperkenalkan barisan kenderaan ‘mild hybrid’ pada bulan-bulan akan datang bermula dengan model SUV XC90 dan XC60 versi diesel dan petrol.

Kenderaan ‘mild hybrid’ Volvo ini buat pertama kali menawarkan pelanggannya dengan sistem brek pemulihan tenaga kinetik Volvo dipadankan dengan enjin konvensional sedia ada yang menghasilkan enjin elektrik bersepadu baharu di bawah lencana ‘B’ Volvo.

Enjin baharu ini, yang memperolehi tenaga elektriknya daripada teknologi ‘brake-by-wire’, menawarkan sehingga 15% penjimatan bahan api dan pengurangan asap yang dihasilkan kenderaan dalam keadaan pemanduan sebenar.

Sistem ‘brake-by-wire’ baharu ini berinteraksi dengan sistem pemulihan tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan api dan pengeluaran asap dengan memperoleh semula tenaga kinetik semasa brek digunakan.

Selaras dengan strategi dan disokong oleh permintaan yang sangat kuat, Volvo Cars telah meningkatkan kapasiti pengeluarannya supaya 25 peratus daripada penghasilan kenderaannya ialah kereta dengan enjin ‘plug-in hybrid’ Twin Engine ini. Tambahan pula, Volvo menjangkakan enjin di bawah lencana ‘B’ baharu ini secara beransur-ansur akan menjadi standard baharu kenderaan elektrik dan menjadikan Volvo semakin hampir kepada tujuannya untuk membuat semua kenderaannya dipacu dengan kuasa elektrik pada pertengahan dekad akan datang.

Volvo juga akan menghasilkan enjin baharu dan dinaik taraf yang akan diperkenalkan pada kenderaan Volvo yang lebih besar di bawah kenderaan berasaskan ‘Scalable Product Architecture’ (SPA).

Enjin ‘plug-in hybrid’ T8 Twin Engine menghasilkan sehingga 420 kuasa kuda memaparkan bateri baharu dan pengecasan bateri ‘brake-by-wire’ yang lebih maju. Jarak pemanduan enjin T8 ini meningkat sekitar 15% dan enjin ini boleh didapati pada semua model Volvo siri 90 dan 60.

Versi naik taraf bagi enjin ‘plug-in-hybrid’ T6 Twin Engine yang berkapasiti lebih kecil juga dipadankan dengan bateri baharu dan teknologi ‘brake-by-wire’ Volvo. Enjin ini juga memberi peningkatan jarak perjalanan kira-kira 15% dan boleh didapati pada model estate V60 dan sedan S60.

XC90 boleh didapati dengan lencana B5 ‘mild hybrid’ petrol atau diesel dan juga dengan enjin ‘mild hybrid’ petrol dengan lencana B6.

Pada XC60, pelanggan boleh memilih antara enjin ‘mild hybrid’ B5 petrol atau diesel, enjin ‘mild hybrid’ B4 diesel dan juga enjin ‘mild hybrid’ petrol B6. Enjin petrol B5 boleh diperolehi dengan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

SUV Volvo XC40 bersaiz lebih kecil yang berasaskan ‘Compact Modular Architecture’ juga akan menerima pilihan kuasa elektrik baharu ini di dalam bentuk enjin ‘petrol-plug-in-hybrid’ T5 Twin Engine dan disusuli dengan pilihan enjin ‘plug-in-hybrid’ T4 Twin Engine.

GALERI