Raikan hujung minggu penuh aksi bersama Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival dan Toyota Vios Challenge Pusingan 3
di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang
Hujung minggu ini (23-24 Februari) bakal menyaksikan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi tumpuan sempena berlangsungnya karnival automotif Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival dan perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge Pusingan 3.
Festival yang bakal berlangsung selama dua hari itu akan turut menghidangkan pelbagai aktiviti sampingan, dari pameran model-model kenderaan baru Toyota, penampilan khas selebriti-selebriti terkemuka, perhimpunan kelab-kelab kereta Toyota sehinggalah permainan menyeronokkan untuk seisi keluarga. Tidak lupa juga konsert mini dan festival makanan jalanan.
Aksi perlumbaan di dalam litar sepanjang 1.56 km diperkarangan Stadium Batu Kawan yang terdiri daripada 11 selekoh dan enam laluan lurus, bakal menyaksikan 40 pemandu bersaing dalam tiga kelas berbeza; Kategori Promotional (Selebriti), Sporting (Amatur) dan Super Sporting (Profesional). Tidak ketinggalan ialah barisan selebriti yang akan turun ke litar, terdiri daripada Diana Danielle, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Akim Ahmad, Mohd Shukri Yahaya, Shawn Lee, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Aiman Tino.
“Jika diukur sejak kali pertama kami menganjurkan acara ini pada tahun 2017, sambutan di Stadium Batu Kawan adalah sangat menggalakkan. Kami sangat berbesar hati untuk sekali lagi dapat membawa keriuhan dan kehangatan yang sama hujung minggu ini ke lokasi sama, tentunya dengan lebih banyak daya tarikan untuk semua,” ujar Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K.
“Memasuki pertengahan Musim 2 ini, TGR Festival dan Toyota Vios Challenge telah berhasil memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami dengan lebih baik, melihat serta mengalami sendiri pembaharuan imej dan falsafah yang dibawa oleh jenama ini melalui slogan All About The Drive,” tambah beliau.
Kategori Promotional
Dengan tiga kedudukan podium dari empat perlumbaan, perhatian akan tertumpu kepada Akim Ahmad kerana ini kali pertama beliau berentap di litar Batu Kawan. Akim mempamerkan prestasi paling konsisten di dalam kategori selebriti — dengan pencapaian satu kemenangan tempat pertama, dua kali ditempat kedua dan sekali menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Ketika ini, Akim mendahului dari sudut pungutan mata.
Dari keseluruhan barisan selebriti yang bersaing dalam kategori ini, Diana Danielle dan Janna Nick mempunyai rekod terbaik di Batu Kawan, masing-masing menamatkan perlumbaan ditempat keempat dan kelima ketika perlumbaan Musim 1 dahulu.
Diana pula selesa dengan pencapaian sekali sebagai juara, sama seperti Akim. Kelompok ini turut disertai oleh Nabil Ahmad dan penyanyi Aiman Tino yang masing-masing turut pernah meraih gelaran sama setakat ini.
“Dengan baki empat perlumbaan untuk musim ini, kejuaraan masih terbuka untuk direbut oleh sesiapa pun. Saya tidak mahu untuk terlalu memikirkannya dan ingin terus fokus pada perlumbaan. Dalam keadaan lumba jalanan seperti ini, dengan persaingan yang cukup sengit dari awal hingga akhir, untuk berjaya menamatkan perlumbaan pun sudah menjadi satu pencapaian penting untuk saya,” jelas Akim.
Sementara itu, Nabila Razali, Wany Hasrita dan Khai Bahar, serta Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama masih mengintai peluang untuk menaiki podium.
Kategori Sporting
Bersaing di dalam Kategori Sporting bagi musim ini, beat boxer Shawn Lee pasti ingin mengulangi kejayaan berganda yang diraihnya pada Musim 1 dahulu.
Musim 2 bermula sangat baik bagi Shawn. Walaupun dipindahkan ke dalam kategori lebih tinggi dan perlu bersaing dengan pelumba-pelumba amatur berbakat, Shawn membuktikan dirinya bukan sembarangan pelumba dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama pada Perlumbaan 1 sebelum ini, serta berjaya menamatkan perlumbaan ditempat ketujuh di Perlumbaan 2 di Kuala Terengganu, mengejutkan lawannya yang lain.
Namun, kesilapan awal yang dilakukan ketika sesi latihan Pusingan 2 di MAEPS Serdang telah mengakibatkan kerosakan teruk pada keretanya, menyebabkan Shawn terlepas peluang beraksi bagi keseluruhan perlumbaan hujung minggu itu dan gagal mengumpul sebarang mata.
“Kesilapan itu sangat besar, dan saya tidak ingin mengulanginya. Saya sangat cuai untuk segera memecut sehabis daya ketika keluar dari selekoh. Malangnya, dengan keadaan tayar yang masih sejuk, saya terus melanggar tembok,” jelas Shawn yang sangat kecewa dengan kejadian itu dan tak sabar untuk menebus kesilapannya dan kembali berlumba.
“Saingan dalam Kategori Sporting sangat tegang dan itu mendorong saya untuk lebih memberikan yang terbaik di dalam “Toyota Vios Challenge”. Ia sudah tentu menjadi medan ujian paling getir bagi tahap kemahiran pemanduan saya.”
Teman selebritinya, Mohd Shukri Yahaya yang turut dinaikkan ke Kategori Sporting, juga akan cuba mengulangi prestasi yang diberikan musim lalu ketika di Batu Kawan. Beliau pernah menamatkan perlumbaan dua kali ditempat kedua di litar sama sebelum ini.
Bagi Musim 2, prestasi Shukri menyaksikan ada turun-naik yang tersendiri. Keputusan terbaik yang pernah dicapai sepanjang musim ini ialah dengan menamatkan perlumbaan ditempat keempat ketika di MAEPS. “Agak sukar untuk saya sesuaikan diri dengan tahap persaingan dalam kelas ini. Apa pun, saya dapat rasakan keyakinan saya semakin kuat sebaik tamat setiap perlumbaan,” jelas pelakon berusia 30 tahun itu.
Bakal mencuri tumpuan untuk kategori ini di Batu Kawan ialah Dato’ Ken Foo dari Kulim Top Wheels yang berjaya merebut dua kemenangan di litar berkenaan musim lalu. Turut dijangka akan memberikan saingan sengit ialah pelumba dari Panglima City Racing Team, Kenneth Koh, begitu juga dengan Patrick Tam dari Team Nanoplus, Eric Yong dari ST Wangan Racing, Clement Yeo dari Distinctive Model dan Brendon Lim dari Tedco Racing.
Kategori Super Sporting
Selepas 4 perlumbaan di Musim 2, tiga nama paling kerap menampilkan persembahan mantap dan mendominasi kategori ini ialah William Ho, Boy Wong dan Kenny Lee.
Sebelum berentap di Batu Kawan, ketiga-tiganya hadir berbekalkan satu kemenangan. Bagainamanpun, Boy merupakan satu-satunya pemandu yang berterusan berjaya menamatkan keempat-empat perlumbaan dan meraih tiga kedudukan podium. Beliau merangkul satu kemenangan, satu kedudukan kedua, satu kedudukan ketiga dan satu kedudukan keempat serta menjadi pendahulu keseluruhan.
“Saingan sangat sengit dengan ramai nama-nama besar yang turut berlumba. Tetapi, strategi saya dari awal ialah untuk memandu dengan konsisten dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan. Terus mengasak adalah satu hal, tetapi itu perlu dilakukan dengan cermat tanpa perlu melibatkan risiko yang besar,” jelas Boy.
Daripada ketiga-tiga pemandu itu, William memiliki penamat yang terbaik di Batu Kawan musim lalu ketika menduduki tempat ketiga, sementara Boy menduduki tangga keenam dan Kenny ditempat kelapan.
William yang dinobatkan sebagai naib juara bagi kategori Super Sporting musim lalu setakat ini telah berhasil muncul juara dalam satu perlumbaan, meraih tempat kedua sebanyak dua kali dan sekali melanggar tembok. Kenny pula pernah muncul juara sekali, dikedudukan ketiga juga sekali, dan sama seperti William, pernah juga sekali merempuh tembok.
Sementara itu, pelumba yang dinaikkan ke kategori ini dari Kategori Sporting, Brendan Paul Anthony yang baru menemukan rentaknya dalam dua perlumbaan di MAEPS, telah berjaya menamatkan perlumbaan dikedudukan kedua dan ketiga.
Bagi peminat-peminat lumba kereta, acara dua hari di Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge yang bermula pada 23 Februari 2019 nanti akan turut membawakan pelbagai aktiviti selain daripada aksi perlumbaan. Mereka yang memerlukan kenderaan baru boleh berkunjung ke ruang pameran Toyota yang turut akan menampilkan model Toyota Camry serba baru serta Toyota Vios yang baru dilancarkan. Jangan ketinggalan juga untuk merebut peluang mendapatkan cenderahati tema perlumbaan dan memenangi hadiah-hadiah menarik bagi sesi cabutan bertuah.
Selain itu, jangan terlepas untuk menyaksikan persembahan daripada dua pemandu drift profesional dari Jepun dengan jentera 86 yang siap diubah suai, ehsan daripada Toyo Tyres.
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti sihat, acara “Fun Run” akan diadakan pada pagi Ahad (24 Februari 2019), memberi peluang kepada peserta untuk berlari di dalam litar sepanjang 1.56 km berkenaan. Turut akan berlangsung ialah sesi Zumba yang akan menampilkan beberapa selebriti. Sesi bersama peminat serta persembahan selebriti juga akan menjadi penutup kepada acara dua hari berkenaan.
GALERI