Kawasaki Ninja 250 amat dikenali dan terkenal sejak dari model pertama lagi bagi peminat motosikal jenama Kawasaki. Admin kali ini ingin berkongsi pengalaman mengunakan model Ninja 250 sebagai kenderaan harian. Lagi pun di ENJIN DOTcom, perkongsian kami tidak hanya tertumpu kepada aspek teknikal sahaja. Hanya perkongsian santai pengenalan model-model baharu dan menarik yang sesuai digunakan oleh peminat motosikal di Malaysia, terutamanya berkenaan gaya hidup dan pengembaraan dalam percutian. Kawasaki Ninja 250 telah dilancarkan di Pameran Art Of Speed bulan Julai 2018 yang lepas dan pasaran bagi segmen 250 ini sememangnya mendapat sambutan hangat di kalangan peminat motosikal dan saingannya sengit di antara jenama-jenama motosikal di Malaysia dan Asia, lebih-lebih lagi di Indonesia dan Thailand. Ia adalah sebuah jentera yang mudah ditunggang dan mudah juga untuk menjaganya berbanding dengan model yang berkuasa lebih tinggi. Apa yang hendak kami kongsikan disini ialah kesesuaian dalam penggunaan seharian sambil melayan hobi bermotosikal. Ia amat sesuai kepada sesiapa sahaja yang ingin berjinak-jinak dengan motosikal bergaya sebuah “superbike” yang lebih agresif, bertenaga dan laju. Mungkin sebab itu kenapa model-model ini popular di kalangan penggemar motosikal khususnya generasi muda.
Berbalik kepada Kawasaki Ninja 250 ini, ia bukanlah asing lagi semenjak model Ninja pertama dilancarkan dahulu. Ia telah menjadi model Kawasaki yang mendapat sambutan tinggi, tetapi kali ini ia hadir lebih mantap dari segi reka bentuk dan enjin yang lebih bertenaga. Keseronokan menunggang motosikal ini adalah kerana kuasanya agak mudah dikawal, sambil bermain dengan gear yang lembut ketika selekoh pendek dan ketika di jalan lurus, kita boleh melayaninya tanpa mencapai kelajuan yang berbahaya. Bagi penunggang berbadan sederhana, kelajuan motosikal ini boleh mencecah 160km/j atau lebih, tetapi atas faktor saiz dan berat ia agak bahaya pada kelajuan tinggi terutamanya di jalan raya umum. Reka bentuknya yang agresif dan moden, pasti mencuri perhatian sesiapa sahaja untuk melihatnya. Admin sudah biasa dengan motosikal yang mempunyai enjin bersesaran 1000cc, tetapi bila hampir seminggu mengunakan Kawasaki Ninja 250, rasa seronok pula dengan kelincahan “Baby Ninja” ini pada masa-masa yang diperlukan.
Kawasaki Ninja 250 ini sememangnya pencabar hebat saingannya yang lain ketika ini. Jika ia disertakan dengan penyerap hentak hadapan terkini berbentuk “upside down” lagi gempak!! Dengar cerita abang dia Ninja ZX6 2019 hampir sama reka bentuknya dengan Ninja 250 baharu ini. Kepada peminat Kawasaki Ninja dan motosikal bersesaran 250cc amnya, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba dan memiliki sebuah Ninja. Dengan trend masa kini dalam pengubahsuaian dan mencantikkan jentera masing-masing, ia boleh menjadi satu sebab dan keutamaan sesuatu model itu menjadi popular dan rebutan dikalangan peminat motosikal. Kawasaki Ninja 250 ini adalah salah satu model yang menjadi sasaran pengguna untuk diubahsuai bagi menjadikan ia motosikal yang lebih menarik. Hobi dan minat seseorang adalah berlainan. Ada yang suka dengan kelajuan dan ada juga yang berminat untuk mencantikkan jentera masing-masing.
Kawasaki Ninja 2018 ini kelihatan lebih pantas dan berkuasa. Dikuasai oleh enjin baharu tahun 2018 dengan konfigurasi silinder berkembar DOHC bersesaran 249cc dengan lapan injap, enjin Kawasaki Ninja 250 ini mampu menghasilkan 38.2hp pada 12,500rpm dan tork maksimum 23.5Nm apabila putaran enjin mencecah 10,000rpm.
Apa lagi yang nak difikirkan? Jom singgah ke bilik pameran untuk merasai aura hebat adik kepada juara WSBK Championship ini.