BMW Malaysia hari ini telah mengumumkan ketibaan jentera BMW X6 xDrive40i M Sport baharu di pasaran Malaysia, tampil dengan pelbagai pengemaskinian untuk menonjolkan daya tarikan ‘sporty’ jentera Sports Activity Coupé ini.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Di BMW Group, aspek bentuk dan fungsi adalah sama pentingnya dalam rekaan kenderaan kami, dan BMW X6 xDrive40i M Sport baharu membuktikan falsafah tersebut. Menggandingkan iras yang elegan dengan rangkaian kuasa (powertrain) serba dinamik, ia menambah rencah ‘sporty ‘ pada keluarga BMW X yang terdiri daripada jentera SAV, selain turut membawakan satu definisi baharu dengan siluetnya yang lebih kemas dan persis coupé. BMW X6 merupakan jentera yang telah melahirkan segmen Sports Activity Coupe!”
Tambah beliau, “Kini berada dalam generasinya yang ketiga, BMW X6 xDrive40i M Sport mempunyai satu kelainan dalam segmennya, justeru membolehkan kami meluaskan lagi Kuasa Pilihan buat para pengguna. Menerusi ‘Life Cycle Impulse’ yang diperkenalkan untuk model ini, pengalaman pemanduan BMW X6 xDrive40i M Sport dapat dinaik taraf melalui inovasi digital BMW yang terkini, ia meliputi BMW Curved Display dan BMW Operating System 8.”
BMW X6 baharu didatangkan dengan aneka pengemaskinian reka bentuk bersifat sporty yang menonjolkan perwatakan ekstrovert serta iras serba dinamik yang melangkaui rangkuman pakej M Sport. Dari sudut interior, BMW X6 xDrive40i M Sport menyaksikan pembaharuan yang jelas dalam reka bentuknya – menampilkan panel instrumen yang lebih efisien, bersinambungan dengan BMW Curved Display serta jalur cahaya yang menyerlahkan lagi ambien jentera ini yang menawan dan bersofistikasi. Di samping itu, BMW X6 xDrive40i M Sport baharu kini membawakan teknologi hibrid ringan 48 volt, menjamin pembekalan kuasa yang lebih baik sambil mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi.
Iras yang lebih menarik dan menawan.
Iras BMW X6 xDrive40i M Sport baharu yang bersifat ekstrovert bermula dengan reka bentuk wajahnya, yang menampilkan bilah gril ‘kidney’ BMW berbentuk tiga dimensi di samping sistem pencahayaan LED (Iconic Glow), yang mencahayakan komponen gril ‘kidney’ berkenaan untuk menzahirkan efek visual yang unik. Set lampu hadapan Adaptive LED jentera ini juga tampak lebih langsing, hadir bersama lampu waktu siang dengan gubahan X yang menonjolkan kelebaran jentera SAC ini. Selain itu, apron hadapannya juga mempunyai salur masuk udara tiga segi yang baharu di samping tirai udara yang disusun menegak.
Dari sisi, siluet aerodinamik BMW X6 xDrive40i M Sport baharu didefinisikan dengan garis bumbung coupé yang rendah berserta jarak roda yang panjang. Ia dipadankan dengan set roda aloi ringan M 747 bersaiz 22 inci dengan pasangan lebar tayar berlainan, di samping brek M Sport biru untuk menyerlahkan lagi daya tarikan sportynya.
Di seksyen belakang, lampu belakang dengan bentuk yang lebih gah dapat dilihat bersama komponen apron dengan perisai casis (skid plate) dalam warna Pearl Chrome. Bukan itu sahaja, pakej M Aerodynamics juga dirangkumkan secara standard.
Ruang kokpit yang mempesonakan, disumbang oleh BMW Curved Display.
Rumusan antara keelegenan dan digitalisasi, ruang kokpit BMW X6 xDrive40i M Sport telah melalui satu pembaharuan, di mana BMW Curved Display menjadi tumpuan utama. Menerusi Paparan Informasi 12.3 inci dan Paparan Kawalan sentuh beresolusi tinggi 14.9 inci yang dibawakan secara standard, ciri digitalisasi jentera ini yang beraras tinggi menyerlahkan satu kemodenan yang amat mengagumkan.
Panel instrumennya kini mempunyai struktur yang lebih jelas serta tertumpu hanya pada elemen-elemen yang asas, menjadikan operasi kawalan pemandu lebih efisien. Semua elemen kawalan di bawah Paparan Sentral dan salur udara baharu juga telah disepadukan, membuahkan ambien yang elegan dan bersofistikasi tinggi. Di samping itu, jalur trim di atas panel instrumen juga kini tampak lebih lebar, memberi penekanan kepada tata atur horizontal ruang kokpit berkenaan sambil ia melatari BMW Curved Display dengan keelegenan.
Juga menarik secara visual di dalam BMW X6 xDrive40i M Sport ialah konsol sentral yang telah diperbaharui, yang turut membawakan tata atur yang lebih kemas selain menyediakan lebih banyak butang fungsi berciri sentuh. Penukaran gear kini boleh dibuat melalui suis jumpelang, mempunyai kedudukan yang optimum di panel kawalan bersama BMW Controller.
Bukan itu sahaja, stereng kulit M serta upholsteri kulit Merino BMW Individual juga dilihat menghiasi kenderaan ini. Tempat duduk ‘Comfort’ disediakan di baris hadapan, boleh dilaras secara elektrik selain mempunyai ciri pengudaraan aktif. Bagi tempat duduk belakang pula, tirai gulung bagi tingkap sisi disertakan bersama. Tambahan lagi, bumbung kaca panoramik bersaiz besar serta rangkuman jalur cahaya yang standard juga memperkayakan lagi ambien SAC ini yang bertaraf premium. Akhir sekali, elemen-elemen ruang interior dilengkapkan dengan penggunaan kaca “Crafted Clarity” sebagai satu lagi sentuhan kemewahan.
Lebih berkuasa, dinamik dan efisien.
BMW X6 xDrive40i M Sport baharu menampilkan teknologi hibrid ringan yang baharu. Dipasangkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, enjin hibrid ringan 48V tersebut membekalkan output gabungan berjumlah 381 kk (280 kW) dan tork bernilai 540 Nm yang disalurkan kepada keempat-empat tayar, sambil mengurangkan penggunaan bahan api dan juga emisi. Pecutan abad dapat dibuat oleh jentera ini dalam masa 5.4 saat sahaja, dengan kelajuan tertingginya yang dihadkan pada 250 km/j.
Sebagai jentera Sports Activity Coupé, BMW X6 xDrive40i M Sport baharu yang amat versatil hadir dengan Adaptive M Suspension, meluaskan dinamik pemanduan melalui opsyen mod Comfort dan Sport. Peredam adaptif bertala yang diselaras secara berasingan dan dengan efisien menerusi setiap mod juga sempurna bersama komponen suspensi yang lebih sporty.
Sistem pintar dan keterhubungan untuk pemanduan yang lebih selamat dan menyelesakan.
BMW X6 xDrive40i M Sport baharu didatangkan dengan BMW Live Cockpit Plus, dikuasakan oleh BMW Operating System 8 yang terkini. Sistem ini juga membawakan BMW Intelligent Personal Assistant, yang memberi bantuan kepada pemandu melalui aneka fungsi, justeru mengurangkan beban mental untuk pemandu memberi tumpuan yang lebih tinggi pada jalan raya. Connected Package Professional dan pengintegrasian telefon pintar turut membentuk asas bagi ciri-ciri keterhubungan jentera ini yang ekstensif. Untuk hiburan pemandu dan penumpang, BMW X6 xDrive40i M Sport dilengkapi dengan sistem bunyi keliling Harman Kardon. Sementara itu, Comfort Access dengan “BMW Digital Key” yang baharu pula memudahkan operasi mengunci dan menyahkunci kenderaan melalui telefon pintar yang bersesuaian.
Sistem-sistem bantuan pemandu yang tercanggih, Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional adalah disertakan secara standard bagi BMW X6 terbaharu. Driving Assistant Professional merupakan sebuah sistem bantuan berasaskan kamera dan radar yang mempunyai keupayaan Automasi Pemanduan Separa Aras 2. Parking Assistant Professional pula merupakan sistem bantuan pemandu berasaskan kamera dan ultrabunyi yang hadir dengan kamera 360 darjah di samping Parkir Kawalan Jauh dengan keupayaan olahan ingatan, dapat digunakan melalui telefon pintar di dalam atau di luar kenderaan yang memudahkan kereta ini diparkir di ruang yang sempit.
Parking Assistant Professional untuk BMW X6 xDrive40i M Sport baharu juga hadir dengan fungsi bantuan tambahan iaitu Bantuan Olahan, membolehkan pemandu menyimpan sebanyak 10 praset parkir dengan opsyen untuk mengaktifkan praset yang diinginkan melalui telefon pintar mereka.
BMW X6 baharu disediakan dalam pelbagai warna eksterior yang menarik, ia termasuk M Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White, Manhattan, M Brooklyn Grey, Skyscraper Grey, serta Aventurine Red. Opsyen upholsteri bagi BMW X6 baharu meliputi BMW Individual Extended Leather Trim ‘Merino’ dalam warna Black atau Tartufo.
Program pembiayaan dinamik.
Dengan pelan pembiayaan “Straight Line” yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW X6 xDrive40i M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 8,739.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh tujuh tahun).
Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Pemilik BMW X6 xDrive40i M Sport baharu ini juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:
• Waranti Tanpa Had Perbatuan 5 Tahun berserta Program Servis Berjadual Percuma oleh BMW
• Bantuan Tepi Jalan dan Talian Kemalangan oleh BMW
• Servis Dalam Talian BMW
Harga runcit bagi BMW X6 xDrive40i M Sport baharu dengan Waranti Lanjutan 5 Tahun dan Pakej Servis, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
BMW X6 xDrive40i M Sport Baharu | RM 754,800.00 |
Para pelanggan boleh menghubungi wakil pengedar BMW bertauliah pilihan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW X6 baharu atau pratempah SAV terbaharu ini melalui https://www.bmw.com.my/en/all-models/x-series/X6/2023/bmw-x6-overview.html.