BMW Motorrad Malaysia hari ini telah memperkenalkan jentera BMW R nineT 100 Years yang serba baharu. Terhad kepada 1,923 unit sahaja di seluruh dunia – simbolik kepada tahun kelahiran BMW Motorrad – 10 unit bakal disediakan secara khas untuk pasaran Malaysia.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Menjadi ikon seni reka bentuk dalam eranya, BMW R nineT telah mengorak haluan bagi jentera roadster yang bukan sahaja menawan tapi juga berkuasa tinggi, yang terus mengusik jiwa para peminatnya sehingga ke hari ini. BMW R nineT ini telah diperhalusi dan ia memiliki sofistikasi yang merangkap tradisi roadster BMW Motorrad, menjadi kemuncak bagi usaha pembangunan motosikal selama 100 tahun dan cita ke atas enjin Boxer.”
“Sementara kita meraikan ulang tahun BMW Motorrad yang ke-100 pada tahun ini, kami juga berasa amat teruja untuk mempersembahkan 10 unit BMW R nineT 100 Years yang eksklusif buat warga komuniti kita di Malaysia. Jentera ikonik BMW R nineT menjadi model dambaan para peminat roadster dan dengan menatap jentera ini sahaja, ia pasti dapat membangkitkan perasaan nostalgia dalam hati mereka,” tambah de Visser.
Bahasa reka bentuk BMW R nineT 100 Years yang ringkas memperlihatkan tangki serba kompak serta posisi tempat duduk yang menegak, di samping aneka material berkualiti tinggi dan juga elemen-elemen penggayaan yang menawan. Memberi penghormatan kepada sejarah dan tradisi BMW Motorrad berusia 100 tahun, yang berkait rapat dengan enjin Boxer, edisi roadster klasik yang eksklusif ini didefinisikan oleh aneka ciri serta konsep permukaan yang serba istimewa. Warna metalik Black Storm yang menghiasi tangki bersadur kromnya merupakan ciri khas bagi edisi jentera 100 Tahun ini, ia memetik ilham daripada model R 75/5 yang dikeluarkan pada tahun 1969.
BMW R nineT 100 Years menghidupkan semula tradisi yang berusia 100 tahun dalam menggandingkan warna dan permukaan krom berlandaskan konsep permukaan Classic Chrome. Bukan sekadar cantik untuk dilihat, permukaan krom juga mempunyai ciri ketahanan yang tinggi dan ia menawarkan perlindungan terhadap kakisan.
Elemen warna hitam dan krom pada BMW R nineT 100 Years mempamerkan teknik pemadanan yang bersofistikasi tinggi, turut menyerlah dengan jalur kembar putih pada bahagian tangki, disempurnakan dengan pad pencengkam serta jata 100 Tahun pada tangki tersebut. Kemasan krom serba klasik juga dapat dilihat pada permukaan pelitup tempat duduk belakang, sementara dapra hadapannya pula didatangkan dalam rona hitam berserta jalur kembar berwarna putih. Menyimpulkan iras jentera ini yang menawan ialah sentuhan warna hitam dan “oxblood” pada bahagian tempat duduk. Komponen-komponen berwarna hitam seperti tiub serampang dan salur masuk udara snorkel juga didatangkan bersama BMW R nineT 100 Years baharu.
Kelengkapan standard bagi motosikal ini termasuk lampu hadapan LED berserta lampu tunggangan waktu siang, indikator dwikelajuan dan indikator sensor kelajuan rasional dengan kandungan komputer terintegrasi, Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), Mod Tunggangan “Rain & Road”, rangkaian pemacu dan pemacu akhir dalam rona hitam, serta suspensi belakang dengan prabeban spring yang boleh dilaras sepenuhnya oleh serampang teleskopik songsang. Aneka kelengkapan yang ekstensif ini turut disempurnakan dengan tawaran Aluminium Package dan Aluminium Fuel Tank, di samping Comfort Package, ia mencakupi Riding Modes Pro, kawalan luncur dan penggenggam berciri hangat.
Menjadi jantung BMW R nineT 100 Years ialah enjin Boxer empat lejang berkembar 1,170cc dengan ciri penyejuk udara/minyak yang mampu menjana 80 kW (109 kk) serta 116 Nm tork. Untuk membekalkan daya cengkaman yang setara dengan kuasanya, BMW R nineT 100 Years menampilkan brek cakera berkembar dengan empat angkup piston di hadapan dan brek cakera tunggal dengan dua angkup piston apung di belakang. Bagi menjamin tahap keselamatan yang tinggi, generasi BMW Motorrad ABS Pro yang terkini juga dibawakan secara standard.
Khidmat Pembiayaan.
Dengan Pelan Pembiayaan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW R nineT 100 Years baharu bermula daripada RM 1,578.00 sebulan (berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun). Para pemilik juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program-program khas seperti Industry-Leading Premium Engine Oil Inclusive, Service Inclusive and Warranty Extension oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program-program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/service-inclusive.html.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) BMW R nineT 100 Years baharu ialah:
BMW R nineT 100 Years Baharu RM 129,500.00
Untuk maklumat lanjut mengenai BMW R nineT 100 Years baharu, kunjungi laman sesawang BMW Motorrad Malaysia di sini.