Jika disebut tentang kelajuan dan gaya menunggang dengan motosikal impian dan terhebat masa kini, pasti kita ada model yang diimpikan dan sentiasa menjadi ingatan. Antara model yang ditunggu-tunggu admin untuk mencubanya ialah superbike ikonik Yamaha, YZF R1M.
Dunia dan teknologi motosikal telah berubah dengan pesat dimana pembuat motosikal telah menghasilkan jentera yang tidak hanya praktikal di jalan raya, tetapi juga boleh digunakan untuk tujuan rekreasi di litar lumba. Ini dapat dilihat dengan reka bentuk dan teknologi motosikal jalanan sekarang yang juga menerapkan ciri-ciri dan teknologi jentera perlumbaan. Perlumbaan antara pengeluar motosikal untuk menguasai pasaran yang kadang kala menguntungkan peminat jentera berprestasi tinggi.
Admin telah berpeluang menguji sebuah model ikonik dan terhebat dari Yamaha. Terima kasih kepada pihak Hong Leong Yamaha Motor yang sudi memberi kepercayaan kepada Mr. Stick untuk mencuba dan melaram semasa bulan Ramadan. Kebetulan cuaca pada bulan puasa ini agak panas, bayangkanlah sebuah mesin satu liter berkuasa tinggi mengharungi kesesakan di sekitar Kuala Lumpur tetapi R1M tetap gagah dan lancar walapun dalam kesesakan jalan raya, selamba beb! Sebuah mesin crossplane yang hebat, mampu mencelah-celah biar pun cuaca panas meluap-luap.Tapi kalau setakat pusing-pusing kat kuala klawang atau bukit tinggi sambil menikmati keindahan alam, boleh berbegor iman kome.
Dilancarkan pada tahun 2015, Yamaha YZF R1M adalah sebuah motosikal yang canggih dan membuatkan banyak jiwa jadi tak tenteram untuk memilikinya. Bagi model tahun 2018, ia menjadi lebih canggih sejajar dengan perubahan teknologi dengan menawarkan pakej elektronik MotoGP yang asli. Ia sebuah mesin yang membuatkan pemiliknya berangan menjadi seperti Rossi. Kemana sahaja admin bawa, pasti banyak mata yang memerhati motosikal berjiwa juara ini. Kebetulan admin pernah memiliki model Yamaha YZF R1 crossplane model 2010 dulu, ternyata banyak juga perbezaan dari Yamaha YZF R1M ini. Posisi menunggang juga agak berbeza dimana jarak hendal agak ke bawah berbanding model terdahulu. Ini menjadikan gaya tunggangan kita lebih agresif ala gaya penunggang MotoGP. Admin ada mencubanya seketika di jalan lurus di lebuh raya untuk mengetahui tindak balas jentera ini. Ternyata Yamaha YZF R1M ini memang pantas hingga tak sedar kita telah melebihi had kelajuan kebangsaan lebuh raya dalam masa yang sangat singkat. Ia bukan sebuah superbike untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia dua roda. Prestasi suspensi Ohlins di selekoh pula tidak perlu dipertikaikan, pengalaman yang sukar dilupakan dan hanya yang kaki koner lipat sahaja yang faham. Pengalaman dan kemahiran dalam menunggang sahaja tidak semestinya cukup ketika kita berada di jalan raya awam yang sememangnya terlalu banyak objek dan kenderaan yang harus diberi perhatian. Berbeza sama sekali dengan keadaan di litar lumba kerana kesilapan yang kecil sahaja boleh membawa padah apabila memgendalikan jentera berprestasi tinggi seperti Yamaha YZF R1M ini. Apa pun, menikmati dan memiliki adalah satu kepuasan yang tertinggi bagi impian setiap peminat motosikal.
Antara perubahan yang berjaya “disembunyikan” dengan baik pada Yamaha YZF R1M ini ialah, didalamnya ada “otak” yang padat dengan fungsi (unit kawalan pintar generasi akan datang) – Ohlins Smart EC 2 ERS. Menurut Ohlins ia adalah ECU yang paling maju dipasang pada sebuah motosikal versi pengeluaran di mana kita selalu mendengarnya di MotoGP atau jentera untuk perlumbaan kompetitif tinggi. Bagi model 2018 yang terbaharu ini, ia mempunyai sistem peralihan pantas (QSS) yang lebih baik, dengan menambah satu fungsi downshifter yang mana pelumba biasanya menggelarkan ia sistem blipper. Secara ringkasnya, dalam keadaan tertentu anda boleh menunggang tanpa menggunakan klac.
Enjin 998cc crossplane Yamaha ini menghasilkan kuasa 200hp pada 13,500rpm dan tork setinggi 82.9lbft pada 11,500rpm. Yamaha YZF R1M dengan berat basah 201kg, boleh dikatakan agak ringan bagi sebuah model satu liter berprestasi tinggi. Kapasiti tangki bahan bakarnya boleh menampung petrol sebanyak 17 liter tetapi bagi penunggang yang tangannya ringan memulas pendikit seperti Mr. Stick kita, meter penunjuk kadar bahan api harus sentiasa diperhatikan selain daripada meter kelajuan, sedar-sedar lampu amaran dah berkelip.
Secara keseluruhannya R1M ini adalah sebuah mesin yang sungguh agresif gaya tunggangannya jangan pula kita inginkan keselesaan macam sebuah motosikal kembara (touring bike).Bagi yang inginkan sebuah jentera sorang juara seperti idola motogp Rossi, ini adalah yang terbaik.Kuasa dari enjin crossplane benar-benar memberi jiwa tersendiri pada pemiliknya, tapi sayang pihak Hong leong Yamaha tidak membawa masuk model ini, hanya untuk tujuan promosi dan membuktikan Yamaha bukan jenama biasa-biasa ianya ada R1M!!!.
#hongleongyamaha #yamahayzfr1m #yamaha #yzf #r1m #enjindotcom #revsyourhea