M - Huruf Terunggul di Dunia Selama 50 Tahun.
Sempena ulang tahun ‘emas’ BMW M GmbH yang akan berlangsung pada Selasa depan, 24 Mei 2022, BMW Group Malaysia menyingkap beberapa jentera premium berprestasi tinggi yang paling ikonik pernah diperkenalkan menerusi portfolio BMW M. Dari jentera legenda BMW M1 hingga BMW M8 yang serba mewah, model-model ini merupakan perintis dalam era dan segmen masing-masing, menjulang DNA M yang tersendiri.
Tidak asing dengan arena sukan permotoran pada tahun 60-an dan 70-an, BMW Motorsport GmbH pada asalnya diperkenalkan untuk melicinkan penglibatan pengeluar kenderaan premium ini dalam dunia pemanduan prestasi, di samping memenuhi permintaan para pemandu dalam pertandingan di mana kebanyakan kenderaan disediakan dan dijual oleh syarikat penala ketika itu. Divisyen tersebut memulakan operasi dengan 35 orang kakitangan pada tahun 1972 dan lekas mengambil bahagian yang penting dalam BMW Group, lantaran ia hadir dengan barisan jurutera yang berkeparan dalam menggabungkan kefungsian sukan permotoran yang sebenar dengan estetika yang serba eksklusif lagi sporty.
Kereta pertama yang diusahakan oleh pasukan tersebut ialah 3.0CSL yang telah dibangunkan untuk Kejohanan Kereta Jelajah Eropah. Kereta lumba ini berjaya mendominasi kejohanan tersebut pada setiap tahun dari 1975 hingga 1979. 3.0CSL juga merupakan model bagi dua kereta contoh BMW Art Cars yang pertama, ia diwarnakan oleh dua orang artis terkenal bernama Alexander Calder dan Frank Stella.
BMW M1, Bapa Kenderaan BMW M.
Namun, jentera legenda BMW M1 yang muncul sebagai kereta M yang sulung secara rasmi, diperkenalkan pada tahun 1978. Hadir dengan enjin sebaris 6 silinder berkuasa tinggi dan nama yang menarik, BMW M1 telah menjadi pemain utama dalam dunia automotif sejak ia dirungkaikan. Hanya 456 unit yang dikeluarkan, model sukan perlumbaan ini telah dinobatkan sebagai kenderaan sport jalan raya yang terpantas di Jerman (264.7km/j). Jika dibandingkan, angka ini sebenarnya lebih rendah daripada jentera versi perlumbaan yang mempunyai kelajuan tertinggi mencecah lebih 300km/j, yang dikemudikan oleh Niki Lauda untuk memenangi tiga perlumbaan BMW M1 ProCar. Reka bentuknya yang bersifat abadi digandingkan dengan teknologi perlumbaan sebenar yang dikagumi oleh para peminat kereta dan perlumbaan sehingga ke hari ini.
Meskipun BMW M memberi tumpuan hampir secara eksklusifnya ke atas pembangunan kereta prestasi dan perlumbaan, ramai peminat BMW mendambakan kuasa dan jata BMW M pada model kereta jalan raya. Justeru BMW 5 Series yang sulung terlahir dalam varian BMW 530, BMW 533i dan BMW 535i, mengorak haluan bagi keupayaan penaiktarafan BMW M Performance mulai detik itu. Biarpun sekilas pandang tampak seperti sedan premium yang standard, barisan jentera tersebut muncul sebagai kereta empat tempat duduk berprestasi tinggi yang pertama merevolusi dunia kenderaan sport menerusi teknologinya yang bersofistikasi tinggi.
BMW M3, Kesempurnaan yang Ikonik dari Jerman.
1986 merupakan tahun yang paling bersejarah bagi BMW M dengan lahirnya BMW M3 (E30). Jentera ini hadir dengan enjin sebaris 4 silinder, 16 injap dengan kapasiti 2.3 liter berserta 200 kkb (kuasa kuda brek), kemudian ditingkatkan kepada 235 kkb menerusi model-model Sport Evolution. Justeru BMW M3 berjaya mendominasi di atas litar lumba, selain menunjukkan kecemerlangan di atas jalan raya. Apabila kereta tersebut dipersembahkan di IAA di Frankfurt pada tahun 1985, ia telah menjadi sensasi dan BMW M3 segera muncul sebagai salah sebuah kenderaan BMW M3 yang paling ikonik atas kemenangannya dalam pelbagai kejohanan perlumbaan kereta jelajah.
BMW M5, BMW M yang Dibuat dengan Tangan.
Pada tahun 1985, perungkaian siri BMW M5 (E28) telah membentuk asas bagi kelahiran sebuah legenda automotif. Menggandingkan keelegenan dengan prestasi luar biasa dan inovasi teknikal, ia terus memukau para peminat sehingga ke hari ini. BMW M535i telah digunakan sebagai penanda aras dalam kelas sedan bisnes, yakni sebelum BMW E28 diperkenalkan. Sejak perungkaiannya, BMW M5 telah merintis kesinambungan antara aspek prestasi tinggi dan keelegenan dalam segmennya. Enjin 3.5 liter sebaris dengan 6 silinder yang dimuatkan pada jentera ini mampu menjana 286 kk, yang pada asalnya telah dibangunkan untuk jentera BMW M1. Seperti yang diketahui ramai, seluruh generasi BMW E28 telah dibina menggunakan tangan sehingga tamat produksinya.
BMW M6 – Kereta Sport Mewah BMW M yang Sulung.
BMW M635CSi merupakan antara model yang paling signifikan dalam sejarah BMW M. Pada tahun 1984, jentera empat tempat duduk ini meneruskan konsep enjin sebaris 6 silinder berprestasi tinggi yang dibawakan oleh BMW M1 beberapa tahun lebih awal. Tapi tidak seperti mana-mana model BMW M yang sebelumnya, ia merangkap simbiosis antara kemewahan dan prestasi tinggi dengan begitu sempurna. Digelar ‘Sharknose’ dan ‘Bayern-Express’, ‘Enam’ yang pertama telah berada dalam produksi selama lebih 13 tahun – 1976 hingga 1989 – menjadikannya siri kenderaan BMW dengan tempoh produksi paling lama.
BMW M2, Kereta Sport Kompak BMW Berprestasi Tinggi.
BMW M2 (F87) muncul sebagai jentera kompak BMW M yang terbaharu pada tahun 2016. Iras BMW M2 Coupé membuktikan ia berasal dari famili BMW M, dan penggayaan jentera ini juga menyerlahkan ciri-ciri dinamiknya. Komponen apron hadapan yang rendah dengan salur masuk udara bersaiz besar, pengapit berserta gril ‘kidney’ M yang berkarakteristik, set roda aluminium 19 inci dalam reka bentuk dwiruji M dan sistem ekzos berkembar ‘M-specific’ yang rendah dan lebar mendefinisikan jentera ini. Coupé berprestasi tinggi ini juga didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang BMW M yang klasik, dan kuasa kuda bernilai 365 dijana menerusi enjin N55 ‘straight-six’. Enjin ini pada asalnya merupakan versi ditala yang dimuatkan dalam BMW M235i, manakala pistonnya pula diambil daripada BMW M3 (F80) / BMW M4 (F82).
BMW M4, Interpretasi Jentera Berkelajuan Tinggi yang Baharu.
BMW M4 (F82) buat julung kali diperkenalkan di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) pada tahun 2014 di samping BMW M3 generasi kelima. Ketika itu, BMW M GmbH telah memutuskan untuk mengasingkan nama Coupé dan Convertible daripada Sedan tersebut yang terus disebut BMW M3. BMW M4 yang sulung menjadi tarikan buat mereka yang menginginkan jentera yang berpaksikan pemandu. Dilengkapi dengan keupayaan pacuan roda belakang dan enjin pengecas turbo yang sama seperti BMW M3, jentera BMW M4 ini menyerlah dengan potensi prestasi luar biasanya. Pada tahun 2016, Competition Package telah diperkenalkan dan ia menawarkan penambahbaikan bagi komponen seperti spring, peredam, palang antiguling, di samping beberapa penaiktarafan pada irasnya serta peningkatan kuasa sebanyak 19 kkb.
BMW M8 – Lasak dan Diperhalusi.
Pada awal tahun 1990-an, para jurutera BMW telah membangunkan prototaip BMW M8 berdasarkan BMW 8 Series Coupé (E31) pada waktu itu. Bagaimanapun, BMW M8 yang pertama tidak pernah dirungkaikan selama hampir dua dekad sehinggalah tahun 2010. Walaupun tidak pernah dikeluarkan sebagai model produksi, prototaip unik ini dipercayai mampu menempa nama di seluruh dunia jika ia dipasarkan. Apa yang menjadikan prototaip BMW M8 (E31) luar biasa ialah enjin 6 liter yang dimuatkan di dalamnya. Biarpun enjin V12 lebih digemari para peminat kereta, enjin ini memiliki keunikannya yang tersendiri – memetik ilham daripada enjin S70 yang terkenal dengan prestasi cemerlangnya. BMW M8 menyerlahkan keelegenan yang bersifat abadi, dan modifikasinya melengkapi iras keseluruhan jentera coupé sport besar ini dengan sempurna, menggambarkan sebuah jentera BMW M yang hampir sedia untuk produksi.
BMW X5 M dan BMW X6 M – Memenuhi Citarasa Kembara dan Kelajuan.
15 tahun yang lalu, BMW M telah mempersembahkan barisan SAV miliknya yang sulung: BMW X5 M dan BMW X6 M yang buat julung kalinya didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang serta pengecas turbo. Casis yang diberi penalaan sport serta enjin berkuasa tinggi pada kedua-dua jentera SAV berprestasi tinggi ini masih menjanjikan dinamik pemanduan yang mengagumkan sehingga ke hari ini. Bila ia diperkenalkan pada tahun 2009, dinamik pemanduannya tidak dapat ditandingi oleh jentera-jentera lain, menjadikan BMW X5 M dan BMW X6 M kenderaan yang paling popular dalam kelasnya ketika itu dan reputasinya masih lagi utuh.
Hari ini, famili BMW X yang disuntik nafas oleh DNA BMW M telah dilanjutkan untuk mencakupi jentera seperti BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition tahun 2019, membekalkan prestasi kereta M dalam bentuk jentera SAV yang lebih kompak. Kedua-dua SAV BMW M ini memetik populariti yang dicetuskan oleh BMW X5 M, lantas menarik perhatian para pemilik dan peminat M yang baharu.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia turut berkongsi, “Bagi BMW Group, M kekal sebagai huruf yang terunggul di dunia kerana ia melambangkan barisan jentera berprestasi tinggi kami yang terlahir daripada jiwa sukan permotoran yang tulen. Kekaguman terhadap kuasa, kelajuan dan dinamik telah meletakkan M di peta dunia sejak tahun 1972. Setelah 50 tahun, kami berasa teruja untuk meraikan legasi BMW Motorsport GmbH bersama para pemilik dan peminat di luar sana. Titik sejarah ini tidak dapat dicapai tanpa kesetiaan mereka selama ini.”
Misi Mencari Model-Model BMW M Tertua di Malaysia.
Sempena sambutan ulang tahun BMW M, BMW Group Malaysia ingin mencari model BMW M yang tertua bagi setiap siri model di dalam negara dan menyeru para pemilik di Malaysia untuk menghantar penyertaan masing-masing. Jika anda rasa anda tahu pemilik BMW M yang tertua di Malaysia, sertai misi pencarian ini dengan memberikan butiran mereka melalui link di sini.
Para pemenang akan berpeluang untuk membawa pulang hadiah BMW M serba eksklusif dan jentera mereka akan diberi sorotan oleh BMW Group Malaysia. Seorang pemenang akan dipilih bagi setiap siri model BMW M, dan hadiah-hadiah istimewa bagi penyertaan yang menarik juga menanti para peserta. Penyertaan akan ditutup pada 8 Jun 2022.