Pada tahun 2023 dielektrifikasi dengan sambutan ulang tahun ke-20 tahun BMW Group di Malaysia. Dengan perasaan yakin dan bangga, sambutan ke atas janji ‘Sheer Electric Driving Pleasure’ terbukti amat memberangsangkan sejak tahun 2003. BMW Group Malaysia mengambil peluang ini untuk membuat cerminan ke atas pelbagai inisiatif dan aktiviti yang diusahakan olehnya selama lebih dua dekad yang lalu, memperkukuhkan kedudukannya di tampuk industri ini serta sebagai peneraju segmen kenderaan premium di Malaysia.
Dari pengasasan Ibu Pejabat BMW di Malaysia hingga ke sokongan yang diterima daripada para pelanggan, wakil pengedar, sekutu, dan rakan kongsi, BMW Group Malaysia berjaya mengekalkan kedudukannya di atas, didukung oleh sebuah asas yang beramuankan kepercayaan dan kolaborasi yang utuh.
BMW Menubuhkan Ibu Pejabat di Cyberjaya.
Pada tahun 2003, BMW Group telah mengambil satu langkah yang besar dengan mendirikan ibu pejabatnya di Cyberjaya, Malaysia, membuktikan komitmen pengeluar kenderaan premium ini serta keyakinannya ke atas Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi tinggi. Keputusan ini juga menyuluh peranan penting Malaysia di rantau ini serta aspirasi BMW untuk menjadi pengeluar kenderaan premium yang terkemuka di negara ini. Sejak pengasasannya, ibu pejabat BMW telah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam saiz pasukannya serta giat memupuk persekitaran kerja yang menjulang prinsip kemajmukan dan keinklusifan, yang mencakupi seluruh tenaga kerjanya, termasuk barisan pengurusan.
Perluasan Fasiliti BMW di Malaysia.
Keberadaan BMW Group di Malaysia melangkaui ibu pejabatnya di Cyberjaya. Organisasi ini telah membangunkan pelbagai titik sentuh yang kritikal di seluruh negara bagi menjamin operasi dan perkhidmatan yang efisien. Di Cyberjaya, BMW telah mewujudkan Pusat Jualan Nasional dan Pusat Perkhidmatan Kewangan Nasional. Masing-masing berfungsi sebagai hab utama bagi khidmat jualan dan kewangan, menyokong operasi pengeluar kenderaan premium ini selain memfasilitasi pendekatannya yang berasaskan pelanggan di Malaysia.
Untuk memperkukuhkan keupayaan pembuatannya, BMW Malaysia telah menubuhkan Fasiliti Pemasangan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah bersama rakan kongsi premiumnya, INOKOM Corporation, iaitu perintis dalam kegiatan pembuatan dan pemasangan kenderaan motor di bawah naungan Sime Darby Motors yang terletak di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Fasiliti-fasiliti ini memainkan peranan yang amat penting dalam pengeluaran kenderaan BMW, menampung bukan sahaja pasaran Malaysia tapi juga keperluan BMW Group yang lebih luas di benua Asia Pasifik. Menyedari betapa pentingnya aspek pengurusan data, BMW kemudian telah mewujudkan Pusat Data BMW Group (GDC) di Cyberjaya. GDC berfungsi sebagai hab sentral bagi penyimpanan, pemprosesan, dan analisis data, membolehkan BMW menggunakan cerapan yang diperoleh bagi mengoptimumkan operasinya.
Sementara itu, Pusat Latihan Serantau BMW Group telah dibangunkan di Cyberjaya untuk menyediakan program-program latihan teknikal dan bukan teknikal serba komprehensif bagi jenama BMW, MINI dan Rolls Royce untuk rantau Asia Pasifik. Program-program ini juga kini merangkumi Kepakaran Sistem Digital dan Voltan Tinggi bagi mendukung penerimagunaan kenderaan elektrik (EV), memastikan tenaga kerja BMW di rantau ini mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang bertepatan.
Sementara itu, bagi memastikan alat ganti dan aksesorinya dapat diagihkan dengan efisien, BMW juga telah membangunkan Pusat Pengagihan Alat Ganti BMW Group di Zon Perindustrian Bebas yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. Fasiliti ini menampung keperluan lebih 23 pasaran di Asia Pasifik, mengurus rantaian bekalan dengan efisien di samping menjamin ketersediaan alat-alat ganti tulen bagi jenama-jenama BMW Group di rantau ini.
Rangkaian Pengedaran Ekstensif dan Khidmat Pelanggan yang Cemerlang di Malaysia.
Selama BMW Group menjalankan operasinya di Malaysia, pengeluar kenderaan premium ini juga telah menyaksikan rangkaian wakil pengedarannya terus berkembang, justeru membolehkan jenama ini memenuhi keperluan lebih ramai pelanggan serta membekalkan perkhidmatan yang terbaik. Dengan 23 pusat pengedar bertauliah di seluruh negara setakat ini bagi kenderaan BMW, MINI, dan BMW Motorrad, yang menawarkan keupayaan Jualan, Servis, Alat Ganti dan Sistem (4S) serba ekstensif, rangkaian tersebut kini dapat diakses dengan mudah oleh para pelanggan di serata negara. Penyebarluasan rangkaian wakil pengedar BMW Group di Malaysia adalah berdasarkan langkah strategiknya bagi memastikan para pelanggan dapat mengakses model-model kenderaan serta servis yang diinginkan, termasuk kemudahan pengecasan pantas serba premium untuk kenderaan elektrik mereka. Komitmen BMW ke atas kepuasan pelanggan juga terbukti melalui barisan kenderaan premium ekstensif yang ditawarkan di pusat-pusat pengedaran ini, termasuk khidmat pascajualan berkualiti tinggi yang disertakan bersama.
Menaik Taraf Perkhidmatan Kewangan.
BMW Group Financial Services telah diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2007. Ia menandakan satu titik sejarah di mana divisyen perkhidmatan kewangan BMW melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia, menawarkan pelbagai solusi kewangan buat para pelanggan BMW di negara ini. Sejak ia diperkenalkan, BMW Financial Services di Malaysia menawarkan khidmat pembiayaan, insurans, dan pemajakan, membekali pelanggan sebuah proses yang mudah lagi lancar bagi pembelian dan pemilikan kenderaan BMW. Menerusi pelan pembiayaan fleksibel dengan kadar faedah yang kompetitif, para pelanggan dapat memilih opsyen yang sesuai dengan bajet dan keinginan mereka. Pelan insurans khas juga ditawarkan bagi menjamin liputan yang komprehensif terhadap kemalangan, kecurian dan kerosakan. Di samping itu, organisasi bertaraf premium ini turut menawarkan pembiayaan peralatan bagi perusahaan kecil dan sederhana yang ingin meluaskan skalanya di Malaysia. Baru-baru ini, BMW Group Financial Services Malaysia juga mula menawarkan khidmat kewangan kepada organisasi yang berkecimpung dalam arena teknologi hijau, kelestarian, dan sirkulariti.
Merintis Kemewahan dan Prestasi di Malaysia.
Generasi kelima BMW 5 Series (E60) merupakan model sulung daripada portfolio BMW yang diperkenalkan sejajar dengan pengasasan BMW Group Malaysia. Sedan eksekutif premium ini membuat kemunculan di pasaran Malaysia pada tahun 2003, membuka satu lembaran baharu bagi jenama ini. Malah pada waktu itu, BMW 5 Series generasi tersebut mempamerkan komitmen pengeluar kenderaan premium ini ke atas aspek kemewahan, prestasi, dan inovasi. Sedan eksekutif premium tersebut tampil dengan reka bentuk moden yang bersifat kontroversial dan tersendiri, di samping aneka teknologi canggih dan opsyen-opsyen enjin berkuasa tinggi. BMW 5 Series generasi ini lekas meraih populariti dalam kalangan peminat kereta dan juga para eksekutif yang menginginkan pengalaman pemanduan serba premium lagi dinamik. Kereta ini telah membentuk asas bagi kejayaan berterusan BMW 5 Series di Malaysia, membina reputasi BMW 5 Series yang sinonim dengan kenderaan-kenderaan luar biasa yang menggabungkan elemen kemewahan, keselesaan, dan prestasi pemanduan.
Muncul Sebagai Peneraju Arena Automotif Serantau.
BMW telah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan di Malaysia, yakni melalui perluasan portfolionya yang tidak terhad kepada model-model BMW 3 Series, BMW 5 Series, dan BMW 7 Series sahaja. Dengan strategi yang tertumpu serta komitmen untuk memenuhi aneka keperluan pengguna, BMW telah mempelbagaikan penawarannya, menjurus kepada barisan model kenderaan yang lebih luas. Hari ini, BMW mengeluarkan bilangan kenderaan yang paling banyak mengikut model di Malaysia, mempamerkan dedikasinya bagi memenuhi spektrum keperluan pengguna yang luas. Bukan itu sahaja, BMW juga berjaya muncul sebagai pengeksport kenderaan terbesar ke Asia Tenggara dari Malaysia, menunjukkan betapa besarnya pengaruh dan keberadaan syarikat ini dalam pasaran automotif serantau. Pertumbuhan tersebut mencerminkan kejayaan BMW dalam menguasai permintaan pasaran terhadap kenderaan premium, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama automotif terkemuka di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara.
Memacu Inovasi dan Rintisan Idea untuk Kenderaan Penumpang.
BMW Malaysia mengepalai usaha pembangunan teknologi baharu untuk kenderaan penumpang, membuktikan keupayaannya sebagai perintis idea dalam industri ini. Dengan fokus yang tinggi ke atas Dinamik Pemanduan yang Efisien, BMW Malaysia giat mencabar batasan untuk menaik taraf keefisienan dan prestasi kenderaan mereka. Antara kejayaan utamanya ialah pengenalan Kenderaan Diesel Berteknologi Tinggi, menetapkan standard inovasi yang baharu pada waktu itu. Kenderaan ini bukan sahaja dilengkapi dengan teknologi bersofistikasi tinggi, tapi juga dipasang secara domestik, menonjolkan komitmen BMW Malaysia ke atas pasaran tempatan dan potensi pertumbuhannya dalam industri automotif. Berbekalkan azam mereka untuk membangunkan solusi-solusi yang tercanggih, BMW Malaysia terus menerajui usaha untuk mencorak alaf mobiliti baharu dan membawakan pengalaman pemanduan yang terunggul buat para pelanggan mereka.
BMW Malaysia Merintis Mobiliti Elektrik.
Di acara BMW World Malaysia pada tahun 2015, BMW Malaysia telah mempamerkan komitmennya ke atas Mobiliti Elektrik dengan merungkaikan pelbagai kenderaan yang benar-benar inovatif. Antara yang menjadi tumpuan ialah perungkaian Kenderaan Hibrid Ringan, yang menggandingkan kelebihan enjin pembakaran konvensional dan kuasa elektrik. Kenderaan ini menampilkan sistem hibrid ringan serba canggih yang menggunakan motor elektrik kecil bagi menyalurkan bantuan kepada enjin semasa memecut, justeru meningkatkan keefisienan bahan api dan mengurangkan emisi. Di samping itu, BMW Malaysia juga telah mempersembahkan barisan Kenderaan Hibrid ‘Plug-In’ tercanggihnya, dan suluhan diberikan jentera BMW i8. BMW i8 mencerminkan visi jenama tersebut ke atas mobiliti lestari masa depan, ia menggandingkan enjin pembakaran berkuasa tinggi dengan motor elektrik untuk membekalkan pengalaman pemanduan yang mengujakan sambil meminimumkan impak terhadap alam sekitar. Acara ini telah berfungsi sebagai platform untuk BMW Malaysia mendemonstrasikan peranan sebagai perintis di pentas mobiliti elektrik serta komitmen tidak berbelah bahaginya untuk mencorak landskap automotif yang lebih hijau di Malaysia.
Ketibaan Mobiliti Elektro Bertaraf Premium di Malaysia.
Pada tahun 2018, BMW Malaysia telah mengambil satu langkah yang besar dalam arena kenderaan elektrik di Malaysia dengan memperkenalkan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) premium yang sulung untuk pasaran Malaysia. Perungkaian jentera BMW i3s telah menjadi satu bukti kepada komitmen mereka untuk mencorak alaf mobiliti baharu di Malaysia. Ketibaan BMW i3s adalah sejajar dengan objektif BMW Malaysia untuk memacu usaha kelestarian, memberi sumbangan yang signifikan kepada Dasar Automotif Nasional 2014 yang berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan efisien tenaga (EEV) menjelang tahun 2022. Sejak itu, portfolio BMW i yang berciri 100% elektrik telah banyak berkembang, dengan empat model BEV BMW dan sebuah BEV MINI berkuasa tinggi yang ditawarkan untuk pasaran tempatan setakat hari ini.
Mara ke Alaf yang Lestari.
Baru-baru ini, BMW Malaysia telah memangkin usaha kelestariannya dengan menerapkan amalan sirkulariti, memberi tumpuan untuk mengurangkan pembaziran serta memaksimumkan keefisienan sumber, yang merentasi seluruh rantaian nilai perniagaannya di Malaysia. Pengeluar kenderaan premium ini telah melaksanakan pelbagai pendekatan dan inisiatif, termasuk mengitar semula dan menggunakan semula bahan-bahan yang terlibat dalam produksi kenderaan mereka, di samping berusaha untuk mewujudkan sebuah sistem pengitaran semula 360°. Dengan memanfaatkan bahan-bahan dikitar semula di samping sumber-sumber boleh baharu dalam kenderaannya, BMW Malaysia berhasrat untuk meminumkan jejak karbon mereka dan bantu mencorak alaf yang lebih lestari.
Atas sebahagian daripada inisiatif RE:THINK dan RE:GENERATE yang digagaskan olehnya, BMW Group Malaysia ingin menggalakkan amalan kelestarian dan sirkulariti di dalam organisasinya serta seluruh operasi perniagaan mereka di dalam negara. Bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi tempatan dalam ekosistem perniagaannya, BMW Group Malaysia sedang memetakan jejak karbonnya dan membangunkan inisiatif-inisiatif bermakna dalam proses perniagaan mereka dengan pendekatan sirkulariti sejajar dengan slogan “Reduce, Reuse and Recycle”.
Mobiliti Lestari dan Tanggungjawab Sosial: Visi BMW Malaysia Terhadap Alaf yang Lebih Hijau.
Komitmen BMW Malaysia ke atas kelestarian dan sirkulariti berputik daripada keperluan yang mendesak untuk menangani cabaran yang menggugat kesihatan alam sekitar. Menyedari bahawa industri automotif merupakan penyumbang besar kepada emisi karbon, BMW Malaysia ingin menunjukkan teladan serta mencetus impak yang positif terhadap alam sekitar. Selain inisiatif kelestarian mereka, BMW Malaysia juga memberi penekanan yang tinggi ke atas aspek keselamatan. Syarikat ini percaya bahawa keselamatan patut menunjangi setiap aspek sesebuah kenderaan, oleh itu, mereka telah memperkenalkan Safety 360, iaitu sebuah konsep keselamatan yang bersifat komprehensif. Pendekatan ini mengintegrasikan aneka teknologi canggih dengan ciri-ciri keselamatan bagi membekalkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat buat para pelanggan. Dari sistem bantuan pemandu serba pintar hinggalah ke reka bentuk strukturnya, BMW Malaysia mengutamakan keselamatan di setiap peringkat pembangunan dan pengeluaran kenderaan mereka.
Bukan itu sahaja, semasa wabak COVID-19 melanda, BMW Malaysia telah mendemonstrasikan komitmennya untuk membantu komuniti yang memerlukan dengan menawarkan bantuan logistik bagi memperkasa misi-misi bantuan di serata negara. Menyedari impak pandemik terhadap kelompok masyarakat yang rentan, syarikat ini telah berkolaborasi dengan organisasi-organisasi bukan kerajaan untuk membekalkan dan mengagihkan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan. Inisiatif ini menunjukkan dedikasi BMW Malaysia dalam mendukung masyarakat melangkaui perniagaan terasnya – mendemonstrasikan solidariti dalam detik yang mencabar.
Menyalakan Kreativiti dan Inovasi.
BMW Malaysia untuk sekian yang lama turut menghargai impak seni, kandungan digital, dan idea pada masyarakat, justeru mereka giat memupuk sebuah komuniti yang bertunjangkan kreativiti di Malaysia. Antara buktinya ialah program BMW Art Car, yang telah menyatukan jurusan seni dan automotif. Menerusi inisiatif ini, BMW Malaysia telah menjalin kerjasama dengan artis-artis watan yang ternama untuk mentransformasi kenderaan BMW kepada karya-karya seni yang menawan, menyulam kreativiti dan inovasi. Program ini bukan sahaja meraikan pertemuan antara seni dan mobiliti tapi juga menyediakan wadah bagi artis-artis tanah air untuk mempamerkan bakat mereka di persada global.
Membina di atas kejayaan program BMW Art Car, BMW Malaysia telah mengunjurkan sokongannya buat industri kreatif dengan memperkenalkan BMW Shorties, iaitu sebuah pertandingan filem pendek yang diadakan setiap tahun. Platform ini menggalakkan para pembikin filem yang beraspirasi untuk menunjukkan kemahiran dan kreativiti, menjadi batu loncatan bagi kerjaya mereka. Dengan mengiktiraf dan meraikan kuasa yang dimiliki oleh cerita melalui filem sebagai medium, BMW Malaysia telah memainkan peranan yang amat penting dalam mencetus inspirasi dan memperkasa pelapis bakat perfileman tanah air.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Sementara kita meraikan Ulang Tahun BMW Group Malaysia yang ke-20 pada tahun ini, kami diingatkan sekali lagi akan cita-cita dan strategi kami bagi sektor automotif Malaysia yang telah membolehkan kita berdiri di sini pada hari ini. Matlamat kami adalah bukan sahaja untuk menjadi pengeluar kenderaan premium yang terkemuka di negara ini, tapi juga memperkukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju bagi pasaran kenderaan elektrik di Malaysia.”
“Tahun-tahun yang terbentang di hadapan kita kelihatan amat mengujakan dan kami bersedia untuk terus membekalkan bukan sahaja Pengalaman Pemilikan Premium, seperti yang kami telah tunaikan sepanjang dua dekad yang lalu, tapi kini juga ‘Sheer Electric Driving Pleasure’. Sambil kami terus mara ke hadapan, kami juga akan merebut peluang-peluang baharu dalam segala aspek kelestarian, bermula dengan rakan-rakan kongsi yang sedia ada. Sekali lagi, kami ingin mengunjurkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan, rakan sekutu, dan wakil pengedar dalam jaringan kami kerana terus berjaya menjadikan jenama kita Nombor Satu untuk tahun ketiga berturut-turut, dan mendapat tempat di hati para pelanggan kita di Malaysia selama ini,” tambah de Visser